ABSTRAK
Islam Ad-Din yang syumul merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi. Dalam bidang muamalah, Allah telah mensyariatkan jual beli yang halal dan melarang urusniaga berbentuk riba. Firman Allah SWT :
وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Dan Allah menghalalkan Jualbeli dan mengharamkan riba”
Setiap muslim disarankan agar meneliti setiap urusan muamalah agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang haram. Rasulullah amat mengambil berat soal kesucian harta hingga apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda mendirikan pasar khas untuk kaum muslimin yang menjalankan muamalah secara halal kerana melihat pasar Madinah yang sedia ada didominasi oleh golongan Yahudi yang mengamalkan muamalah riba dan unsur-unsur yang haram.
Kertas kerja ini akan membincangkan bursa saham yang merupakan medan urusniaga yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap ekonomi negara masakini dan diceburi oleh ramai umat Islam. Perbincangan ini akan menganalisa aspek-aspek yang terdapat di dalam bursa saham secara terpisah kerana setiap aspek mempunyai hukum yang tersendiri.
1.0 DEFINISI BURSA SAHAM (STOCK EXCHANGE – بورصة الأوراق المالية )
Bursa (bourse/exchange) ialah lokasi berpusat yang menjalankan perdagangan instrumen kewangan. Terdapat pelbagai jenis bursa masa kini, antaranya: bursa komoditi, bursa mata wang asing, bursa opsyen, bursa sekuriti/saham dan sebagainya.
Bursa saham atau bursa sekuriti (stock exchange) ialah sebuah institusi (seumpama pasar) yang menjalankan urusniaga sekuriti di mana ia membentuk pangkalan utama yang memudahkan peredaran harta daripada individu, institusi dan sektor yang pelbagai, yang membantu mengembangkan harta dan menggalakkan pelaburan untuk kepentingan ekonomi.
Kebiasaannya, nama bursa diberikan kepada tempat yang dikhususkan untuk jualbeli sekuriti (sijl-sijil saham, bon dan sebagainya) di mana orang-orang yang bermuamalah dengan sekuriti ini berkumpul di situ untuk membeli atau menjual bon-bon kerajaan atau saham-saham syarikat yang disenaraikan. Biasanya proses jual beli dilakukan dengan perantaraan broker-broker atau orang tengah.
2.0 SEJARAH BURSA SAHAM
Perancis merupakan negara kelahiran bursa saham pertama, iaitu pada kurun ke-13 Masihi, di mana berlaku urusniaga bon antara para peniaga hingga Raja Perancis, King Philip (1268-1314M) telah mewujudkan broker mata wang bagi mengusun urusniaga antara para peniaga. Pada masa yang sama, gerakan perniagaan di Baljika memberangsangkan di mana para peniaga di negeri Bruges berhimpun di istana keluarga Van der Bourse untuk menjalankan urusniaga. Perkembangan ini telah menyebabkan mereka mengambil sempena nama keluarga pemilik istana tersebut bagi menggambarkan urusniaga ini hingga akhirnya perkataan Bourse atau Bursa ini digunakan untuk pasaran urusniaga sekuriti.
Perkembangan ini akhirnya menyaksikan penubuhan bursa saham di negara Belanda, Amerika Syarikat dan kebanyakan negara industri pada kurun ke-19 M. Bagi negara Islam pula, bursa saham diperkenalkan oleh negara yang menjajah. Mesir merupakan negara pertama di Timur Tengah yang mempunyai bursa saham iaitu pada akhir kurun ke-19 M. Di Malaysia, aktiviti broker dan syer dijalankan sejak akhir abad ke-19. Pasaran Saham Malaysia yang pertama ditubuhkan pada 1937 di bawah nama pasaran Broker Saham Malaya. Walau bagaimanapun perdagangan tidak dijalankan sehinggalah bulan Mei 1960.
3.0 OBJEKTIF DAN KEPENTINGAN BURSA SAHAM
Penubuhan bursa saham mempunyai beberapa objektif, antaranya:
1. Menyediakan tempat pasaran yang membolehkan pihak yang memerlukan modal mendapatkan modal melalui jual beli sekuriti yang disenaraikan
2. Menyediakan perkhidmatan yang bersangkutan urusan pelaburan dan maklumat saham kepada pelabur di samping mewujudkan minat terhadap pasaran sekuriti di kalangan pelabur dan orang awam
Antara kepentingan dan peranan bursa saham terhadap ekonomi ialah:
1. Mencairkan matawang dan menyalurkannya untuk projek-projek pelaburan
2. Memberikan indeks am tentang pergerakan harga, harta dan pelaburan, sekaligus menggambarkan kedudukan ekonomi negara
3. Menyumbang kepada meningkatkan keupayaan ekonomi dengan pelbagai projek pembangunan
4. Medan negara mencapai kestabilan matawang daripada urusniaga sekuriti bagi mengelakkan inflasi
4.0 INSTRUMEN KEWANGAN YANG DIDAGANGKAN DI BURSA SAHAM DAN PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA
Terdapat pelbagai instrumen kewangan yang diniagakan di bursa saham, antara yang utama ialah saham dan bon. Instrumen lain seperti : debentur, stok pinjaman, nota pinjaman, sijil pelaburan, unit amanah dan sebagainya. Untuk mengetahui hukum meniagakan instrumen ini, kita perlu menganalisa setiap instrumen ini dalam segenap sudut. Walau bagaimanapun, kertas kerja ini hanya akan menumpukan perbincangan tentang saham dan bon.
4.1 Saham ( الأسهم )
4.1.1 Definisi saham
Saham ialah sejumlah unit pemilikan pelabur dalam syarikat perkongsian/awam, yang berbeza keadaannya dengan jumlah bahagian modal dalam syarikat individu.
Ia juga bermaksud satu transkrip atau sijil yang diberikan kepada pelabur sebagi penyataan haknya yang sebenar dalam pemilikan modal syarikat.
4.1.2 Pandangan Islam terhadap urusniaga saham
Jumhur fuqaha’ muasirin berpendapat bahawa Islam secara umumnya mengharuskan penerbitan dan jual beli saham, dengan syarat tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti riba, gharar, perniagaan benda yang haram dan unsur-unsur haram yang lain. Oleh itu, hukum sesuatu saham berbeza mengikut sifat saham tersebut dan jenisnya.
4.1.3 Hukum urusniaga saham mengikut jenis aktiviti perniagaan sesuatu syarikat :
a. Syarikat yang aktivitinya halal.
Hukumnya harus bermuamalah dengan saham syarikat ini tanpa sebarang khilaf.
b. Syarikat yang aktivitinya haram.
Seperti bank yang mengamalkan riba, syarikat pembuatan arak dan sebagainya. Hukumnya haram secara ittifaq.
c. Syarikat yang aktivitinya syubhat.
Syarikat yang mengeluarkan perkhidmatan dan barangan yang halal, tetapi kadangkala bermuamalah dengan uruniaga yang haram , seperti syarikat barangan elektrik, ubat-ubatan, kenderaan dan lain-lain yang membiayai aktiviti syarikat dengan pinjaman ribawi atau urusniaga yang melibatkan riba.
Para fuqaha’ mu’asirin berselisih pendapat tentang masalah ini kepada 3 pendapat :
i. Pendapat pertama : Haram bermuamalah dengan saham syarikat ini selagimana tidak 100% halal.
Selagi saham ini mengandungi unsur haram atau syarikat berurusniaga dengan unsur haram, maka saham ini tetap haram berdasarkan dalil-dalil yang mewajibkan menjauhi perkara yang haram dan syubhat :
• Hadith :
عن عامر قال سمعت النعمان بن بشير يقول سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول الحلال بين والحرام بين وبينهما مشبهات لا يعلمها كثير من الناس فمن اتقي المشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات كراع يرعى حول الحمى يوشك أن يواقعه ألا وإن لكل ملك حمى ألا إن حمى الله في أرضه محارمه ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب
• Kaedah fiqh (إذا إجتمع الحلال والحرام غلب الحرام (
Berdasarkan kaedah ini, syarikat yang hartanya bercampur antara halal dan haram, maka haram menyertainya sebagai berhati-hati (ihtiat) kerana diriwayatkan Nabi Muhammad menjumpai buah yang jatuh dan berkata: “ Kalaulah tidak kerana aku takut ia daripada sedekah, nescaya aku memakannya.”
• Kaedah fiqh ( الملحوظ كالملفوظ )
ii. Pendapat kedua : Harus bermuamalah dengan saham ni tetapi dengan syarat, berdasarkan kaedah fiqh dan nas yang terbina di atas asas memudahkan dan mengangkat kesusahan . Antaranya :
• Bercampur sebahagian yang haram dengan harta tidak menjadikan kesemuanya haram , dengan membezakan haram lizatih seperti arak, dan haram lighairih seperti harta yang dirampas,harta ini (haram lighairih) tidak menjadikan harta yang lain menjadi haram.
Ibnu Taimiyah pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang hartanya yang bercampur di antara yang halal dan haram. Beliau menjawab : Keluarkan nilai yang haram dengan timbangan, dan berikan kepada pemiliknya dan kiralah nilai yang halal itu untuk dirinya.Sekiranya tidak diketahui atau tidak mampu untuk mengetahui pemiliknya, maka bersedekahlah dengan harta itu.
Atas prinsip inilah harus bermuamalah dengan saham syarikat yang bermuamalah dengan bank yang mengamalkan riba.
• Kaedah fiqh ( يجوز تبعا ما لا يجوز استقلالا (
Di dalam syarikat ini walaupun memiliki nisbah sedikit unsur yang haram, tetapi ia dalam bentuk tabi’ (mengikut) bukan asas yang menjadi tujuan selagi mana aktiviti syarikat halal , cuma syarikat itu terpaksa meminjam atau menyimpan di dalam bank ribawi untuk mendapat kecairan harta.
Aktiviti meminjam atau menyimpan di bank ribawi ini adalah haram dan pengurusan syarikat berdosa tetapi ia tidak menjadikan baki harta dan aktiviti lain menjadi haram kerana ia aktiviti yang mengikut ( تبعي ), dan bukan dasar aktiviti syarikat.
• Kaedah fiqh ( للأكثر حكم الكل )
Al-Kasani mengatakan : “ Setiap yang dirosakkan oleh perkara haram, sekiranya majoritinya yang halal makan tidak mengapa menjualnya.”
Imam Al- Izz bin Abdul Salam berkata :”Sekiranya majoritinya halal seperti bercampur satu dirham yang haram dengan seribu yang halal maka harus muamalah..”
• Kaedah fiqh (الحاجة تنزل منزلة الضرورة )
Syariat Islam terbina atas asas mengangkat kemudaratan dan kesusahan. Beberapa jenis akad diharuskan khilaf daripada qias kerana hajat manusia kepadanya sebagaimana sebahagian ulama’ contohnya Hanafiah mengharuskan muamalat yang asalnya haram seperti bai’ al-wafa’.
• Harus bermuamalah dengan non-muslim sedangkan wujud syubhat pada hartanya.Sebahagian fuqaha’ mengatakan harus dan makruh, kerana tidak aman daripada muamalah riba dan perkara lain yang tidak syar’ie.Harus muamalah ini jika tidak melibatkan muamalah yang tidak syar’ie. Ertinya haram atau harus muamalah ini bergantung kepada adanya ‘illah atau tidak.
iii. Pendapat ketiga : Makruh
• Berdasarkan pendapat As-Syafie , Imam Ahmad dan lain-lain
Imam Nawawi menyebut daripada Ibnu Munzir bahawa mereka khilaf dalam masalah jualbeli dengan orang yang hartanya bercampur halal dan haram, menerima hadiah dan pemberiannya, di mana Hasan, Makhul , Az-Zuhri dan As-Syafie memberi rukhsoh. Syafie berkata : Aku tidak suka demikian. Dan sekelompok yang lain menyatakan makruh.
Imam Ahmad berkata: Aku tidak ingin memakannya, kerana diriwayatkan An-Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas dan di antara keduanya perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh kebanyakan menusia.Siapa mengelak dari perkara syubhat dia telah membebaskan agama dan kehormatannya…..”
Dan Nabi pernah bersabda: “ Tinggalkanlah apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan “
Pendapat yang rajih :
Berdasarkan ketiga-tiga pendapat tadi, pendapat yang rajih ialah pengurusan syarikat tidak harus bermuamalah dengan urusniaga haram melainkan terpaksa contohnya dia terpaksa mengikut undang-undang muamalat tertentu yang haram, tetapi bukan dengan kerelaannya , jika tidak dia berdosa. Manakala penyertaan orang Islam dalam syarikat dan membeli sahamnya adalah harus selagimana sebahagian besar hartanya halal dan transaksinya halal, jika tidak, sebaik-baiknya menjauhi perbuatan tersebut.
Sepatutnya orang yang menyertai syarikat tersebut berniat dengan membeli saham syarikat itu, dia akan menukar aktiviti syarikat itu kepada 100% halal dengan menyatakan suaranya dalam mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat pengurusan syarikat, dan dia juga perlu mengeluarkan kadar yang haram –jika berkemampuan menetapkannya- dan membelanjakan kadar tersebut itu untuk kebajikan awam, tetapi tidak harus bagi seorang muslim mengasaskan atau membeli saham syarikat yang telah menaskan dalam sistem asasinya bahawa syarikat itu bermuamalah dengan riba, arak, khinzir dan lain-lain muamalah yang diharamkan.
Walaupun begitu, penulis bersetuju dengan pendapat yang mengatakan perlu adanya beberapa syarat dalam menentukan boleh atau tidaknya bermuamalah dengan syarikat tersebut :
• Pendapat Sheikh Mustafa Al-Zarqa mengatakan harus bermuamalah dengan saham syarikat ini sekiranya syarikat itu aktif memberi khidmat kepada orang awam, dan kemusnahan syarikat ini akan menyebabkan kepayahan masyarakat, bukan umum kepada semua syarikat.Malah haram bermuamalah dengan syarikat yang bermuamalah dengan riba sekiranya syarikat itu tidak aktif dan masyarakat tidak terjejas dengan kemusnahannya.
• Tujuan pembelian saham syarikat itu adalah untuk mengubah ke arah halal 100%. Sekiranya mereka mampu tetapi tidak melakukannya, maka mereka adalah berdosa.
• Tidak harus mereka menggunakan wang haram yang menjadi pendapatan syarikat, bahkan mesti menilaikan dan menghilangkannya dengan cara memberikan kepada fakir miskin.
• Aktiviti asas syarikat adalah halal.
Oleh itu, pengharusan ini adalah kerana dorurat dan dorurat ini mestilah berdasarkan kepada syarat –syarat tadi dan tidak boleh melangkaui batas dorurat kerana dorurat diukur mengikut kadar keperluannya الضرورات تقدر بقدرها . Jika tidak mencapai tahap dorurat , maka hukumnya haram.
4.1.4 Jenis-jenis Nilai / Harga saham dan Hukumnya
a. Nilai catatan (القيمة الإسمية ) : iaitu nilai yang tercatat pada sijil, merupakan nilai yang dibayar pelabur ketika pengasasan syarikat.Hukum : Harus menerbitkan saham dengan nilai ini kerana ia menggambarkan nilai saham yang dibayar oleh pelabur daripada keseluruhan modal syarikat.
b. Nilai terbitan (قيمة الإصدار) : iaitu nilai penerbitan saham baru ketika syarikat ingin menambah modal syarikat.
Hukum : Harus sekiranya nilai terbitan sama dengan nilai sebenar atau nilai pasaran. Harus juga menerbitkan saham baru dengan nilai terbitan sama ada lebih tinggi, kurang atau sama dengan nilai catatan , kerana perlu melihat kepada realiti semasa , suasana pasaran dan risiko untung rugi. Tetapi tidak harus sekiranya kurang daripada nilai sebenar kerana akan menyebabkan kemudaratan kepada pelabur lama. Jika lebih tinggi daripada nilai sebanar, maka dinilaikan mengikut harga pasaran meka hukumnya harus.
c. Nilai sebenar / instrinsik(الفيمة الحقيقية) : iaitu bahagian yang sebenarnya dimiliki daripada harta bersih syarikat termasuk modal yang dibayar, keuntungan,harta benda syarikat,setelah ditolak hutangnya. Hukum : harus kerana keuntungan dan harta benda syarikat bertambah hingga menyebabkan nilai sebenar lebih tinggi daripada nilai catatan, dengan syaat pertambahan harta itu melalui cara yang halal.
d. Nilai pasaran (القيمة السوقية) : iaitu nilai saham di bursa saham yang mengikut pemintaan dan penawaran , spekulasi ,suasana politik dan ekonomi semasa serta kebiasaannya berubah-ubah. Hukum : harus menjual saham mengikut harga pasaran sama ada kurang atau lebih daripada nilai catatan kerana ia seumpama barangan lain yang terdedah kepada faktor permintaan dan penawaran serta kewangan syarikat.
4.1.5 Jenis-jenis Saham Mengikut Kategori dan Hukumnya
a. Dari Sudut Hak Pelabur
i. Saham Biasa ( Ordinary Shares الأسهم العادية - ) : iaitu saham yang memberi pemiliknya persamaan hak mendapat keuntungan setelah dibahagikan keuntungan saham keutamaan. Pemilik saham ini mempunyai hak mengundi dalam mesyuarat agung syarikat, hak melantik proksi, hak mendapat terbitan hak, hak terhadap aset dan hak membuka buku akaun. Pemilik saham ini akan dipertanggungjawabkan berdasarkan nilai saham yang dipegang dalam syarikat.
Saham ini hukumnya harus selagimana pelaburan syarikat bukan pada aktiviti yang haram.
ii. Saham Keutamaan (Preference Shares-الأسهم الممتازة ) : iaitu saham yang memberikan keistimewaan/ keutamaan kepada pemiliknya berbanding pemilik saham biasa.
Antara keistimewaannya ialah :
• Keutamaan dari sudut tuntutan perolehan syarikat. Pemegang saham keutamaan akan dibayar dividen terlebih dahulu dan dividennya telah ditetapkan terlebih dahulu kadarnya pada masa ia diterbitkan, tidak kira syarikat untung atau rugi
• Sekiranya syarikat dibubarkan ,pemegang saham keutamaan akan diutamakan dalam pengagihan aset syarikat berbanding pemegang saham biasa
• Kuasa mengundi yang lebih dalam mesyuarat tahunan (di Malaysia, pemilik saham ini tidak mempunyai kuasa mengundi).
Saham ini hukumnya tidak harus kerana pemilik saham ini mempunyai kelebihan berbanding pemegang saham lain. Ini tidak adil kerana dengan nilai saham yang sama sepatutnya mereka memiliki persamaan hak. Begitu juga tidak harus memberikan dividen atau keuntungan yang tetap kepada mereka dalam keadaan risiko keuntungan dan kerugian ditanggung oleh pelabur lain.
Dividen ini merupakan riba yang diharamkan oleh syara’ kerana bertentangan konsep syarikat yang diharuskan oleh syara’, iaitu sama-sama menanggung risiko untung rugi berdasarkan kadar saham masing-masing. Hak mengundi yang lebih juga tidak harus diberikan kepada mereka kerana sepatutnya pemegang saham yang sama nilainya mesti mempunyai hak yang sama.
Bentuk keistimewaan yang diharuskan oleh syara’ ialah hak keutamaan kepada pelabur sedia ada untuk menambah pelaburan apabila syarikat menawarkan saham-saham baru berbanding pelabur-pelabur yang baru. Ini kerana mereka lebih berhak terhadap pemilikan syarikat dan tidak harus syarikat mengeluarkan saham baru kecuali dengan persetujuan mereka. Ini sesuai dengan prinsip syaf’ah yang diakui oleh syara’.
--
b. Dari sudut bentuk pemilikan yang dibayar pelabur
i. Matawang/tunai (Cash Shares – الأسهم النقدية ) : iaitu saham yang dibayar dalam bentuk mata wang. Saham ini hukumnya harus secara ittifaq kerana asal dalam syarikat ialah mengemukakan modal dalam bentuk matawang, sama ada emas, perak atau mata wang masakini.
ii. Barangan (Vendors Sharesالأسهم المعينة-) : iaitu saham yang berbentuk barangan yang menjadi modal syarikat
Para fuqaha’ berselisih pendapat tentang saham ini kepada 3 pendapat :
• Ulama’ Malikiah dan satu pendapat Imam Ahmad : Harus jika barang berbentuk qiymi.
• As-Syafi’e dan Muhamad bin Hasan dari ulama’ Hanafiah : Harus jika barang berbentuk mithli.
• Imam Abu Hanifah dan zahir mazhab Hambali : Tidak harus secara mutlak
Pendapat yang rajih : ialah pendapat yang pertama kerana pendapat yang kedua dan ketiga melihat dari sudut zat barang dan tidak terjamin selagi tidak digunakan. Pendapat pertama mengatakan harus setelah dipersetujui barang dan nilainya. Dengan itu, nilai itu menjadi modal syarikat dan terjamin. Apatah lagi pada zaman sekarang, banyak cara untuk menilai harga barangan dengan lebih tepat iaitu dengan nilai mata wang.
c. Dari Sudut bentuk Sijil
i. Saham Penama (Nominal Shares – الأسهم الإسمية) : iaitu sijil yang tercatat nama pemiliknya
Saham ini hukumnya harus dari sudut syara’ kerana pemilikan hak pelabur thabit dengan tertulis di atas sijil saham.
ii. Saham Pembawa ( Bearer Shares – الأسهم لحاملها ) : Sijil yang tidak dicatat nama pelabur yang menjadi pemiliknya , tetapi pembawanya. Oleh itu pembawa sijil itu dikira pemilik saham mengikut pandangan syarikat.
Saham ini tidak harus dari sudut syara’ kerana tidak diketahui pemilik sebenar saham tersebut. Ini akan membawa kepada risiko perselisihan, permusuhan dan kemungkinan kehilangan hak serta mudarat kepada pemiliknya sama ada dirampas atau dicuri.
iii. Saham Dengan Perintah (An Order Shares الأسهم للأمر او الإذن -): saham yang mengandungi perkataan dengan perintah. Saham ini boleh ditandatangani untuk tujuan perpindahan milik, sama seperti sjil-sijil bon yang memakai syarat ‘dengan perintah’.
Saham ini mengikut pendapat Dr Abd Aziz Khayyat adalah harus kerana pemilik saham tersebut masih dapat dikenalpasti kerana ditulis di atas sijil saham. Pemilik kedua dikira pengganti kepada pemilik pertama.
e. Dari sudut modal boleh ditebus/dipulangkan atau tidak
i. Saham Modal ( Capital Shares – أسهم رأس المال): saham yang nilainya tidak boleh ditebus. Saham ini harus kerana merupakan prinsip asal dalam syarikat.
ii. Saham Boleh Tebus ( Redeemable Shares – أسهم التمتع) : saham yang boleh ditebus dengan dipulangkan semula modal kepada pelabur sebelum syarikat ditutup.
Pada asalnya tidak harus bagi pelabur menebus sahamnya. Namun, terdapat beberapa keadaan yang berbeza yang menentukan sama ada saham tersebut harus atau tidak.
Antara bentuk saham boleh tebus yang tidak harus ialah :
• Jika nilai sebenar saham dikembalikan sama ada lebih tinggi atau lebih rendah daripada nilai catatan. Ini kerana hubungan pelabur dengan syarikat terputus, maka dia tidak berhak mendapat keuntungan atau dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kerugian
• Jika dipulangkan nilai catatan dan nilai itu lebih tinggi daripada nilai sebenar saham kerana dia mendapat modal yang dibayar secara sempurna. Dalam hal ini ,sama seperti di atas, dia tidak berhak mendapat keuntungan kerana hubungannya dengan syarikat telah terputus.
Keuntungan syarikat berhak dimiliki dengan 3 sebab : harta, kerja atau jaminan. Dalam 2 bentuk saham boleh tebus di atas, pemegang saham yang telah menebus sahamnya tidak mempunyai satu pun sebab mendapat keuntungan syarikat .
Bentuk saham boleh tebus yang harus ialah :
• Syarikat memberikan nilai catatan saham yang lebih rendah daripada nilai sebenar, maka masih berbaki modalnya di dalam syarikat. Dengan itu, dia berhak mendapat keuntungan berdasarkan nisbah baki modal yang masih belum dipulangkan oleh syarikat.
• Penawaran secara berjuzu’ dan berterusan oleh syarikat dengan memberikan setiap pelabur nisbah tertentu daripada saham secara sama rata dan mengikut bilangan saham.
• Memotong nilai tertentu daripada keuntungan tahunan dan menyimpannya atas nama pelabur,hingga nilainya terkumpul ketika berakhirnya syarikat, lalu pelabur boleh mengambilnya.
4.2 Bon (السندات)
4.2.1 Definisi Bon
Bon ialah instrumen hutang jangka panjang yang penerbitnya berjanji untuk membayar pokok pada tarikh matang dan membayar kupon secara berkala.
Oleh kerana bon merupakan hutang penerbitnya, maka pemegang bon dikira pemiutang, bukan pemilik. Bon merupakan salah satu sekuriti hutang jangka panjang, di mana tempoh matangnya adalah melebihi satu tahun.
4.2.2 Perbezaan bon dengan saham
Saham Bon
1. Sekuriti yang merupakan sebahagian daripada modal syarikat. 1. Sekuriti yang merupakan sebahagian daripada hutang syarikat.
2. Pemegangnya adalah rakan kongsi. 2. Pemegangnya adalah pemiutang bukan rakan kongsi.
3. Diterbitkan sebelum pengasasan syarikat dan selepasnya. 3. Diterbitkan selepas pengasasan syarikat.
4. Setiap syarikat awam mempunyai saham. 4. Tidak semestinya semua syarikat menerbitkan bon.
5. Pemegang saham berhak hadir dan bersuara dalam mesyuarat agung tahunan syarikat. 5. Pemegang bon tidak berhak hadir dan bersuara dalam mesyuarat agung tahunan syarikat.
6. Pemegang saham berisiko untuk kehilangan bahagiannya apabila syarikat muflis. 6. Pemegang bon tidak berisiko kerana bahagiannya terjamin.
7. Pemegang saham berhak mendapat keuntungan yang berubah-ubah mengikut keuntungan syarikat. 7. Pemegang bon berhak mendapat faedah yang tetap dan tidak berubah sama ada syarikat untung atau rugi.
8. Tidak dikembalikan nilainya melainkan apabila syarikat dibubarkan. 8. Bon mempunyai waktu yang ditetapkan untuk tuntutan nilai.
9. Penerbitan saham kaedah pembiayaan daripada pemodal syarikat. 9. Penerbitan bon kaedah pembiayaan dengan cara peminjaman daripada pihak lain.
4.2.3 Jenis-jenis Bon Mengikut Kategori dan Hukumnya
Terdapat pelbagai jenis bon yang diniagakan di bursa saham seluruh dunia, di bawah ini disebutkan sebahagian daripadanya.
a. Dari sudut pihak yang menerbitkan
i. Bon kerajaan (Government Bonds – السندات الحكومية) : Bon ini diterbitkan untuk membiayai projek pembangunan ekonomi negara, perbelanjaan peperangan, mengatasi masalah kelemahan dalam imbangan belanjawan negara atau mengatasi inflasi. Bon ini diterbitkan secara penawaran awam, disenarai di bursa saham secara berperingkat atau dengan bantuan institusi kewangan.
Di Malaysia, bon kerajaan dikenali sebagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MDS) dan tidak diniagakan di bursa saham. Keistimewaan bon kerajaan ialah tidak berisiko , memiliki kecairan yang tinggi dan dikecualikan daripada cukai. Bon ini mempunyai faedah yang tetap dan dijamin oleh kerajaan.
ii. Bon korporat / swasta (Corporate Bonds – ستدات الشركات) : Bon yang diterbitkan oleh institusi kewangan, syarikat swasta, syarikat peniagaan, perindustrian atau perkhidmatan untuk membiayai projek mereka dan biasanya terjamin. Keistimewaan bon ini berbanding bon kerajaan ialah kadar faedah yang lebih tinggi , tetapi berisiko tinggi untuk ketidakmampuan syarikat membayar faedah yang dijanjikan dan faedah tahunan.
Bon korporat terbahagi kepada 5 jenis :
• Bon Biasa (Ordinary Bonds السندات العادية - ) : Bon yang diterbitkan dengan nilai catatan tertentu, ditetapkan pembayaran penuh oleh penerbitnya, mendapat faedah tetap secara berkala sepanjang tempoh pinjaman dan mendapat bayaran pokok sepenuhnya pada tarikh matang.
• Bon Terbitan Premium (Issue Premium Bonds سندات علاوة الإصدار - ) : Bon yang diterbitkan dengan nilai yang lebih rendah daripada nilai catatan, tetapi syarikat yang menerbitkan akan membayar nilai catatan secara sempurna ketika akhir tarikh matang. Oleh itu, perbezaan antara nilai catatan dan nilai terbitan dikira sebagai sebagai premium yang merupakan faedah tetap yang dibayar bukan secara berkala, tetapi secara sekaligus pada akhir tempoh matang. Kebiasaannya peratus faedah itu lebih rendah berbanding bon biasa.
• Bon Cabutan (Lottery Bonds سندات ذات النصيب-) : Bon ini memberikan peluang kepada pemiliknya untuk mendapat premium atas faedah tetap yang diperolehi setiap tahun dengan mendapat ganjaran harta yang besar melalui proses cabutan yang melayakkannya memiliki ganjaran harta. Sesebuah syarikat menerbitkan bon jenis ini untuk menggalakkan masyarakat membeli bon syarikat tersebut.
• Bon Gadai Janji (Mortgage Bondsالسندات المضمونة -) : Bon yang diterbitkan dengan nilai catatan seumpama bon biasa, yang membolehkan pemiliknya mendapat faedah tetap, tetapi bezanya bon ini dijamin dengan jaminan sama ada jaminan peribadi, contohnya bon yang dijamin oleh bank atau kerajaan, atau jaminan benda contohnya bon yang dijamin dengan cagaran rasmi ke atas harta benda syarikat.
• Bon Boleh Tukar ( Convertible Bonds السندات القابلة للتحويل -) : Bon membolehkan pemiliknya mendapat hak untuk menukar bon tersebut kepada saham biasa yang diterbitkan oleh syarikat. Kadangkala pertukaran itu adalah pilihan mengikut kehendak pemilik dan kadangkala secara ijbari mengikut panggilan syarikat.
b. Dari sudut bentuk
i. Bon Penama (Nominal Bonds ( السندات الإسمية - : Bon yang tercatat nama pemiliknya dan berubah pemilik dengan cara pendaftaran.
ii. Bon Pembawa (Bearer Bondsالسندات لحامله - ) : Bon yang tidak tercatat nama pemiliknya, bertukar pemilikan dengan cara penyerahan ,maka pemegangnya akan mendapat faedah dengan menuntut nilai kupon yang beserta bon tersebut di bank yang tertentu.
c. Dari Sudut Cara Penjelasan Faedah
i. Bon Biasa (Ordinary Bondsالسندات العادية - ) : Bon yang memberi pemiliknya faedah tetap secara berkala sehingga berakhir tempoh matang.
ii. Bon Perkongsian Untung (Profit Sharing Bondsسندات مشاركات في الربح-) : Bon yang memberikan pemiliknya hak untuk mendapat keuntungan yang diperolehi oleh projek syarikat apabila mencapai kadar tertentu, selain daripada mendapat faedah tetap yang dijanjikan oleh syarikat.
iii. Bon Faedah Tertangguh (Deferred Bondsالسندات متزايدة سعر الفائدة لأجل معلوم-) : Bon yang diterbitkan dengan kadar faedah lebih rendah daripada yang ditawarkan di pasaran, tetapi harga akan meningkat secara berperingkat-peringkat sehingga pada tarikh tertentu yang ditetapkan, kadar faedah akan menjadi tetap.
iv. Bon Kadar Indeks (Indexed Rate Bonds سندات سعر الفائدة المرتبط بمستوى الأسعار-) : Kuasa membeli bagi matawang bergantung kepada kadar indeks secara bertentangan, iaitu kuasa membeli meningkat apabila indeks matawang turun, manakala kuasa membeli menurun apabila indeks meningkat. Perkara ini menyebabkan pelabur tidak melabur dalam insrumen pelaburan yang mempunyai faedah tetap yang nilainya kurang daripada peratus inflasi, yang menyebabkan berkurangnya kuasa membeli instrumen pelaburan. Oleh itu, bon ini dicipta di mana kadar faedahnya berubah secara berkala tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih dari dua tahun , dan perubahan ini bergantung kepada perubahan kadar indeks harga .
v. Bon Pendapatan (Income Bonds سندات الدخل - ) : Bon yang memberi pemiliknya hak untuk mendapat faedah tetap yang ditetapkan, tetapi dengan syarat syarikat mencapai target yang mencukupi untuk membayar faedah. Sekiranya syarikat tidak mencapai target tersebut, syarikat perlu membayar pendapatan yang kurang daripada faedah yang ditetapkan , ataupun gugur sepenuhnya kewajipan pembayaran di mana pemilik bon ini tidak boleh meminta untuk syarikat dibubarkan atau mengisytiharkan syarikat tersebut muflis jika tidak mampu membayar faedah tersebut.
4.2.4 Pandangan Islam Terhadap Bon
Oleh kerana bon termasuk dalam kategori pinjaman atau hutang, maka penentuan hukum mestilah melihat kepada hukum qardh dalam fiqh Islam.
Qardh dalam fiqh bererti ialah meminjamkan sejumlah harta kepada orang yang berhajat untuk memanfaatkannya dan dipulangkan gantinya. Hukum qardh pada asalnya ialah sunat bagi yang memberi pinjaman dan harus bagi yang meminjam. Bagaimanapun haram pemiutang mengambil tambahan manfaat daripada pinjaman yang diberikan, dan sebarang bayaran tambahan yang dikenakan kepada pinjaman tersebut dikira riba. Oleh sebab itu, bon menjadi haram kerana pertambahan faedah dalam urusniaga bon terhimpun padanya ciri-ciri riba hutang yang tiga iaitu: hutang, bertempoh dan pertambahan hutang disyaratkan berdasarkan pertambahan tempoh.
Hukum riba adalah haram secara ijma’ berdalilkan ayat Al-Quran dan hadith yang banyak. Antaranya :
a. Firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ{278} فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ فَأْذَنُواْ بِحَرْبٍ مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ{ 279
Maksudnya :”Hai orang-orang beriman,bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba) maka bagimu hartamu, kami tidak akan menaniaya dan tidak (pula) dianiaya.”
b. Hadith sohih :
ما رواه مسلم عن جابر قال : لعن رسول الله آكل الربا و موكله وكاتبه وشاهديه ، وقال : هم سواء.
Maksudnya :”Diriwayatkan oleh Muslim dariapda Jabir bahawa Rasulullah melaknat pemakan riba, orang yang mewakilkan, penulisnya dan saksinya. Baginda bersabda: Mereka adalah sama.”
Para ulama’ ijma’ mengatakan sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan manfaat dikira riba berdasarkan kepada hadith :
روي الحارث بن أسامة من حديث علي رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن قرض جرى منفعة .
وفي رواية :"كل قرض جر منفعة فهو ربا ".
Maksudnya :Al-Harith bin Usamah meriwayatkan daripada hadith Ali r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW melarang daripada pinjaman yang mengambil manfaat. Dalam satu riwayat : “ Setiap pinjaman yang ada manfaat adalah riba”.
Hadith ini walaupun dhoif, para ulama’ ijma’ mengatakan beramal dengan hadith ini. Hadith ini dikuatkan beberapa hadith mauquf daripada Ibnu Mas’ud, Ubai bin Kaab, Abdullah bin Salam dan Ibnu Abbas bahawa mereka melarang daripada pinjaman yang mengambil faedah.
Ketetapan Majma’ Fiqh Islami di Jeddah dalam Daurah keenam berkenaan bon ialah :
“Bon yang mewajibkan pembayaran nilai muka beserta pembayaran faedah atau manfaat yang disyaratkan adalah haram dari sudut syara’ sama ada menerbitkannya, membeli atau menjual semula, kerana ia adalah pinjaman ribawi sama ada penerbitnya sector swasta atau awam yang berkait dengan kerajaan, atau menamakan faedah tetap ribawi itu dengan nama keuntungan, komisen atau pendapatan.”
4.2.5 Alternatif kepada Bon
Antara ketetapan Majma’ Fiqh Islami dalam daurah Keenam di Jeddah ialah :
“ Antara alternatif bagi bon yang haram hukumnya ialah bon atau sekuriti yang dibina atas asas mudharabah bagi sesuatu projek atau aktiviti pelaburan yang tertentu, di mana pemiliknya tidak mendapat faedah atau manfaat yang tetap, tetapi berdasarkan nisbah keuntungan projek tersebut dan kadar sekuriti tersebut, dan keuntungan tersebut tidak akan diperolehi melainkan betul-betul tercapai.”
4.3 Instrumen Kewangan Lain dan Hukumnya
4.3.1 Sekuriti Kewangan ( Finance Securities) : Dokumen kewangan yang membolehkan pemiliknya mendapat faedah yang berubah-ubah tetapi tidak melebihi had tertentu, di samping mendapat nilai muka pada tarikh matang , tetapi pemiliknya tidak berhak terhadap pengurusan syarikat.
Hukumnya : Tidak harus sama seperti bon, kerana pemiliknya merupakan pemiutang bukan pemegang saham.Manakala pulangan yang diperolehi bukan berdasarkan keuntungan syarikat, tetapi ditetapkan oleh bank pusat berdasarkan kadar faedah semasa,kadar inflasi dll.
4.3.2 Sekuriti Pelaburan ( Investment Securities) : Dokumen kewangan yang membolehkan pemiliknya mendapat keuntungan atau kerugian berdasarkan kadar wang yang dilaburkan, dan pemiliknya berhak mendapat pulangan berkala berdasarkan keuntungan , cuma tidak boleh menyertai pengurusan syarikat. Pemilknya bukan pemiutang seperti bon, dan berbeza dengan saham kerana tidak boleh menyertai pengurusan.
Hukumnya: Harus dengan syarat syarikat itu tidak melabur dalam aktiviti yang diharamkan.
4.3.3 Sijil Pelaburan ( Investment Certificate) : Dokumen kewangan yang membolehkan pemiliknya mendapat hak keuntungan dan kerugian berdasarkan nilai pelaburannya , tetapi dia tidak berhak terhadap pengurusan syarikat. Pemiliknya akan memperoleh pendapatan berkala dan pertambahan modal.
Hukumnya : Harus dengan syarat syarikat menjalankan peniagaan yang dihalalkan.
4.3.4 Saham Pengasas (Founders Shares): Dokumen kewangan yang memberi pemiliknya hak untuk mendapat keuntungan syarikat tanpa memiliki apa-apa bahagian dalam modal syarikat, di mana saham ini diberikan sebagai ganjaran kepada khidmat yang diberi oleh para pengasas syarikat. Saham ini tidak mempunyai nilai catatan. Pemegang saham juga tidak terlibat dengan pengurusan syarikat, tiada hak ke atas mana-mana bahagian syarikat apabila syarikat dibubarkan dan biasanya saham ini boleh diperdagangkan.
Hukumnya: Pemilik saham ini bukan ahli kongsi(syarik) atau pemiutang (dain). Pemilik saham ini seolah-olah penjual yang redha menjual dengan harga yang tidak pasti kadarnya bagi suatu barang jualan yang maknawi. Oleh itu, jualbeli ini tidak harus mengikut syara’ kerana harga barang tidak diketahui.Maka tidak harus syarikat menerbitkan saham ini. Sebagai gantinya, syarikat boleh memberikan ganjaran wang kepada pengasas syarikat, menilai usaha mereka dengan nilai wang yang diberikan dalam bentuk beberapa saham yang akan menjadikan mereka sebagai ahli kongsi syarikat.
5.0 OPERASI DAGANGAN DI BURSA SAHAM DAN PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA
5.1 Broker dalam Bursa dan Pandangan Islam mengenainya
5.1.1 Definisi Broker Dalam Bursa dan Fiqh Islam
Broker (mengikut istilah ekonomi) ialah individu yang menjadi pengantara bagi penjual dan pembeli dan mendapat komisen atas khidmat yang diberikan.
Broker (سمسرة ) dalam fiqh Islam ialah nama bagi individu yang bekerja bagi pihak orang lain untuk jualbeli.
Kesimpulannya, tidak terdapat perbezaan yang jelas antara definisi broker dalam urusniaga bursa dan fiqh Islam.
5.1.2 Tugas Broker Dalam Urusniaga Bursa Saham
c. Melaksanakan arahan pelanggan
d. Bermuamalah mengikut tatacara kerja di bursa
e. Memastikan kejayaan operasi dagangan
f. Mendahulukan urusan kewangan pelanggan
g. Tidak melanggar batasan tugas seorang broker
5.1.3 Broker (سمسرة ) di dalam Fiqh Islam
Broker –mengikut takrif fiqh dan bursa- ialah kerja yang dilaksanakan oleh profesional yang memberi khidmat kepada orang lain dengan suatu ganjaran yang tertentu sebagai balasan kerja tersebut. Sesetengah fuqaha’ menamakan broker sebagai dallal (tukang tunjuk). Kerja ini hukumnya harus selagi mana barangan yang diniagakan itu harus diurusniagakan mengikut hukum syara’.
Dalil keharusan tugas ini ialah berdasarkan :
• Firman Allah SWT :
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya :” Dan bertolong-tolonglah kamu dalam kebaikan dan kebenaran, dan janganlah tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.”
• Nabi tidak pernah mengingkari tugas ini sewaktu hayat baginda berdasarkan hadith:
عن أبي وائل عن قيس بن أبي غرزة قال كنا بالمدينة نبيع الأوساق ونبتاعها وكنا نسمي أنفسنا السماسرة ويسميناه الناس فخرج إلينا رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم فسمانا باسم هو خير من الذي سمينا أنفسنا وسمانا الناس فقال يا معشر التجار انه يشهد بيعكم اللغو فشوبوه بالصدقة
Tiada fuqaha’ yang mengatakan tidak harus akad ini, maka dikira ijma’.
Terdapat juga pendapat fuqaha’ mu’asirin yang mengatakan broker boleh dikategorikan dalam bab wakalah dalam fiqh Islam dari sudut jual beli. Akad wakalah adalah harus dari sudut syara’ berdasarkan dalil Al-Quran iaitu :
فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَاماً فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ
Maksudnya : ”Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak ini, maka hendaklah dia melihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu.”
Komisen yang diambil oleh broker juga harus hukumnya kerana Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh pekerja baginda mengutip zakat dan memberikan mereka komisen.
5.2 Kontrak Lani (Spot Contract- العقود العاجلة )dan Pandangan Islam mengenainya
5.2.1 Definisi Kontrak Lani
Kontrak lani ialah kontrak jual beli sekuriti di mana transaksi dibuat sejurus selepas berlaku kontrak, penjual terus menyerahkan sekuriti tersebut, manakala pembeli menyerahkan harganya secara serta-merta atau dalam tempoh yang singkat biasanya kurang 48 jam. Dengan itu pembeli akan memiliki sekuriti tersebut dan berhak memperoleh untung atau ruginya.
Transaksi ini biasanya berlangsung di dewan penjelasan di bursa saham yang hanya boleh dimasuki oleh broker dan pegawai bursa, di mana penyerahan dilaksanakan oleh broker bagi pihak pembeli dan penjual sekuriti.
5.2.2 Pandangan Islam terhadap Kontrak Lani
Apabila melihat kepada sifat kontrak ini, ia mempunyai cukup syarat jualbeli sebagaimana yang digariskan oleh Islam : cukup syarat ijab dan qabul, syarat pihak penjual dan pembeli serta syarat barang yang dijualbeli iaitu sekuriti dan harga.Oleh itu, transaksi ini adalah harus hukumnya mengikut syara’ jika sekuriti/instrumen kewangan yang diniagakan adalah halal dan dimiliki oleh syarikat yang aktiviti perniagaannya halal.
5.3 Kontrak Hadapan ( Forward Contract ( عقود الآجلة - dan Pandangan Islam Mengenainya
5.3.1 Definisi Kontrak Hadapan
Kontrak hadapan ialah kontrak yang ditangguhkan transaksi pembayaran barang dan harga ke satu tempoh yang tertentu dinamakan tarikh penjelasan (settlement date – يوم التصفية ), yang penjual dan pembeli akan menyerahkan dan menerima sekuriti dan harga berdasarkan kepada tarikh, cara dan syarat penangguhan yang disepakati.
Tujuan utama kontrak ini ialah mendapat keuntungan daripada perbezaan harga antara hari akad dan hari penjelasan, di mana penjual mendapat untung jika harga naik dan pembeli mendapat untung apabila harga turun. Kontrak ini pasti akan menyebabkan salah satu pihak akan mengalami kerugian, melainkan kedua-dua harga itu sama.
5.3.2 Pandangan Islam Terhadap Kontrak Hadapan
Di dalam fiqh Islam, terdapat jual beli bertangguh (البيوع الآجلة) yang dibolehkan dan tidak dibolehkan. Jualbeli bertangguh yang dibolehkan ialah :
a. Jualbeli salam ( بيع السلام ) : iaitu jualan yang mendahulukan harga dan menangguhkan/menta’khirkan barang.
b. Jualbeli tangguh ( البيع إلى أجل ) : iaitu jualan yang mendahulukan barang dan menangguhkan harga.
Manakala jualan bertangguh yang diharamkan ialah :
a. Jualan hutang dengan hutang (بيع الكالئ بالكالئ ) : iaitu jualan di mana harga dan barang kedua-duanya ditangguhkan.
b. Jualan matawang secara tangguh ( الصرف الآجل ) : iaitu menjual matawang ( sama ada emas,perak atau wang kertas ) secara bertangguh.
Ini bermakna, sesuatu jualan bertangguh dibolehkan jika salah satu sama ada harga atau barang secara tangguh dan bukan jualan matawang. Manakala jualan yang melibatkan pertangguhan kedua-dua harga dan barang adalah diharamkan.
Jika diteliti, dalam kontrak hadapan di bursa saham, penyerahan kedua-dua harga dan barang (sekuriti) tidak dilakukan secara tunai tetapi ditangguhkan ke suatu tarikh dan ini menyamai bai’ al-kali’ bil kali’ yang diharamkan oleh syara’.
Dalil pengharaman bai’ al-kali’ bil kali’ :
Pengharaman bai’al-kali’ bil kali’ sabit daripada hadith Nabi dan ijma’ ulama’.
سنن الدارقطني ج3/ص71
عن موسى بن عقبة عن نافع عن بن عمر أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الكالئ بالكالئ
Maksudnya:
Al-Kali’ bererti tangguh (النسيئة) dan maksud bai’ al-kali’ bil kali’ ialah bai’ an-nasiah bi an- nasiah atau bai’ ad-dayn bi ad-dayn.
Ibnu Qayyim berkata: Al-Kali’ ialah benda yang ditangguhkan yang tidak diserahkan sebagaimana kalau seseorang menyerahkan sesuatu yang menjadi tanggungjawabnya dan kedua-duanya bertangguh, in tidak harus secara ittifaq dan ia adalah bai’ kali’ bil kali’.
Ibnu Munzir mengatakan dalam kitab Al-Ijma’ bahawa para fuqaha’ telah ijma’ bahawa jualan hutang dengan hutang adalah tidak harus.
5.4 Kontrak Opsyen ( Options Contract – ( عقود الإختيارات / الآجلة الشرطية dan Pandangan Islam Mengenainya
5.4.1 Definisi Kontrak Opsyen
Kontrak Opsyen ialah sekuriti boleh pasar iaitu kontrak antara dua individu yang memberikan pemegangnya hak untuk membeli atau menjual sesuatu aset pada harga tertentu dalam satu jangka masa tertentu.
Berdasarkan takrif ini, jelas bahawa yang dijual atau dibeli bukanlah sekuriti tersebut tetapi hak untuk membeli atau menjual sekuriti tersebut.Penjual atau pembeli hak ini mestilah menjual atau membeli sekuriti tersebut pada harga yang disepakati ( harga laksana / exercise price )dalam tempoh tersebut dan amaun yang dibayar untuk jualbeli opsyen ini dikenali sebagai premium opsyen (علاوة الصفقة الشرطية ).
Kontrak ini terbahagi kepada dua kontrak asas iaitu:
a.Opsyen jual (Put Option): iaitu kontrak yang memberi hak kepada pembeli opsyen untuk menjual beberapa sekuriti dengan harga tertentu dalam jangka masa tertentu.Maka pembeli sekuriti wajib membeli sekuriti daripada pembeli opsyen dalam tempoh yang disepakati dengan harga yang disepakati juga. Biasanya yang memilih untuk membeli opsyen jual ini adalah mereka yang meramal harga sekuriti akan turun.
b.Opsyen beli (Call Option): iaitu kontrak yang memberi hak kepada pembeli opsyen untuk membeli beberapa sekuriti dengan harga tertentu dalam jangka masa tertentu.Maka penjual sekuriti wajib menjual sekuritinya kepada pembeli opsyen jika dituntut oleh pembeli opsyen dalam tempoh yang disepakati dengan harga yang disepakati juga. Biasanya yang memilih membeli opsyen beli ini adalah mereka yang meramal harga sekuriti akan naik.
Satu lagi jenis kontrak opsyen ialah : Opsyen Berkembar ( Double Option) iaitu kontrak yang memberikan pembeli opsyen ini hak untuk membeli atau menjual sekuriti pada harga tertentu dan pada jangka masa tertentu dan menghimpunkan dua akad (jual dan beli) dalam satu kontrak.
5.4.2 Pandangan Islam Terhadap Kontrak Opsyen
Para fuqaha’ mensyaratkan bahawa mahal al-aqd (barang jualan/belian) mestilah benda yang sah untuk dijualbeli, dan tidak sah akad sekiranya benda tersebut bukan mal mutaqauwim yang dimiliki.Dalam kontrak opsyen, hak membeli atau menjual bukanlah benda yang boleh dibeli dan dijual, juga bukan mal mutaqawwim yang menjadi syarat sah sesuatu akad. Justeru, kontrak opsyen adalah tidak sah. Kontrak opsyen juga berbeza dengan khiyar yang disyariatkan kerana khiyar syarat dalam Islam tidak terpisah dripada akad jualbeli sesuatu barang tertentu, sedangkan kontrak opsyen pula terpisah daripada akad jualbeli sekuriti berkenaan dan hak tersebut bukanlah barang yang sah untuk dijualbeli. Kontrak opsyen juga berbeza dengan bai’ urbun (jualbeli dengan deposit) kerana deposit adalah sebahagian daripada harga sebenar barangan , tetapi premium opsyen adalah hak.
5.5 Dagangan dengan Margin ( Trading On The Margin -( التعامل بالهامش dan Pandangan Islam Mengenainya
5.5.1 Definisi Dagangan dengan Margin
Dagangan dengan margin ialah urusniaga di mana pelabur membayar sebahagian harga secara tunai,manakala bakinya dipinjam dengan mencagarkan sekuriti yang dibeli sebagai jaminan.
Untuk urusniaga ini, pelabur membuka akaun margin di firma broker, dan dengan persetujuan khas, broker meminjam daripada bank untuk mencukupkan nilai sekuriti yang ingin dibeli setelah ditolak wang tunai yang telah dijelaskan sebagai margin dengan mencagarkan sekuriti yang ingin dibeli. Pinjaman ini akan dikenakan faedah bulanan.
5.5.2 Pandangan Islam Mengenai Dagangan dengan Margin
Berdasarkan penjelasan tadi, dapat disimpulkan bahawa dagangan dengan margin terbina atas dasar pinjaman yang disyaratkan faedah tetap yang telah ditentukan kadar dan tempohnya. Oleh itu, urusniaga ini termasuk dalam pinjaman ribawi yang terhimpun padanya 3 ciri riba hutang iaitu : adanya hutang bagi sebelah pihak kepada pihak yang lain, tempoh dan pertambahan yang disyaratkan berdasarkan jangka masa pinjaman. Riba adalah haram secara ijma’ berdasarkan dalil yagtelah disebutkan sebelum ini.
5.6 Jualan Singkat ( Short Sale - ( البيع على المكشوف dan Pandangan Islam Mengenainya
5.6.1 Definisi Jualan Singkat / Jual Dahulu
Jualan singkat (short sale) ialah penjualan sekuriti yang tidak dimiliki oleh penjual.
Pelabur membuat jualan singkat ini sekiranya mereka menjangkakan harga sesuatu sekuriti akan turun dan akan membeli sekuriti tersebut semula apabila harga benar-benar turun. Ini bermakna pelabur menjual sekuriti dengan harga yang tinggi kemudian membelinya semula dengan harga yang lebih rendah apabila harga benar-benar jatuh.
Bagi menjalankan jualan singkat ini, kebiasaanya pelabur tidak mempunyai sekuriti dalam simpanannya. Mereka menjual sekuriti yang dipinjam daripada pihak broker. Apabila harga benar-benar turun, pelabur membeli semula dengan harga yang lebih rendah . Skrip yang diterima akan menggantikan skrip yang dipinjam. Pelabur mendapat untung modal iaitu perbezaan antara harga jual dan harga beli. Sekiranya jangkaan pelabut tidak tepat, maka pelabur akan menanggung kerugian.
5.6.2 Pandangan Islam Mengenai Jualan Singkat
Berdasarkan takrif tadi, hukum jualan singkat adalah tidak harus kerana boleh disamakan dengan 2 jenis jualan yang disebut oleh ulama’ iaitu:
a. Jualan sesuatu barang yang tidak dimiliki
Jualan ini thabit pengharamannya dalam hadith Nabi Muhammad SAW :
عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لا يحل سلف وبيع ولا شرطان في بيع ولا ربح ما لم يضمن ولا بيع ما ليس عندك هذا حديث على شرط حمله من أئمة المسلمين صحيح
b. Jualan sesuatu barang yang dibeli sebelum diterima
Jualan ini hukumnya haram berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW:
من عمرو بن دينار سمع طاوسا يقول سمعت بن عباس رضي الله عنهما يقول أما الذي نهى عنه النبي صلى الله عليه وسلم فهو الطعام أن يباع حتى يقبض قال بن عباس ولا أحسب كل شيء إلا مثله
6.0 KESIMPULAN
Berdasarkan perbahasan tadi, jelas kepada kita bahawa hukum bermuamalah dalam bursa saham adalah harus , sekiranya seseorang pelabur muslim bermuamalah dengan sekuriti halal yang diterbitkan oleh syarikat yang aktivitinya halal, juga menggunakan operasi dagangan yang tidak menyalahi syara’. Jika tidak, maka hukum akan menjadi haram.
Dewasa ini, pelabur muslim di tanahair boleh merujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti, sebuah badan yang memantau pasaran modal di Malaysia untuk memastikan kedudukan sesebuah syarikat sama ada 100% halal atau sebaliknya sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam apa jua sekuriti. Kita menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan untuk mengislamisasikan bursa saham di Malaysia walaupun masih belum 100 peratus berjaya. Kemampuan fiqh Islam menyelesaikan masalah semasa manusia menjadi bukti bahawa Islam sebagai Ad-Din yang relevan di setiap tempat dan zaman. Semoga cita-cita melihat Islam didaulatkan secara syumul akan menjadi nyata dengan syarat Al-Quran dan As-Sunnah kembali dijadikan dustur dan panduan hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Wallahu’alam.
Al-Faqirah ila ‘afwi Rabbiha,
Ust.Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi,
BA Syariah, Universiti Al-Azhar, Mansurah,
Sedang menulis tesis MA Syariah , Universiti Terbuka Amerika, Cairo.
14 September 2006
BIBLIOGRAFI
Al-Quran Al-Karim dan terjemahan
Abd. Aziz al-Khayyat,(Dr), Al-Ashum wa As-Sanadat min Al-Manzur Al-Islami, terjemahan Abu Al-Amin As-Sakandari, As-Syabab Media, Bandar Baru Bangi,cet.pertama, 2002
Abdullah Mohamad Zain, Glosari Pasaran Modal ,Dewan Bahasa dan Pustaka, cet. pertama,2005
Adnan Fadhil, Kertas Kerja Saham dan Bursa Sekuriti, Damanhur, 1997
Al-Barwary, Sya’ban Muhamad Islam, Bursoh Al-Awraq Al-Maliah min Manzur Islami :Dirosah Tahliliah Naqdiah, Dar al-Fikr, Damsyiq, cet. pertama, 2002
Asyraf Muhamad Dawabah, (Dr), Nahwa Suq Maliah Islamiah, Dar As-Salam, Kaherah, cet.pertama 2006
Ismail Ibrahim, Pelaburan dalam Pasaran Sekuriti, Hadapan dan Opsyen, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994
Kumpulan Profesor Fakulti Syariah dan Qanun Kaherah, Qodhoya Fiqhiyah Mu’asirah, Juzu’ 4, Fakulti Syariah dan Qanun, Al-Azhar, Kaherah, tt
Majma’ Al-Fiqh Al-Islamy, Qararat wa Tausiat Majma’ Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Qalam, Damsyiq, cet kedua,1998
Othman Yong, Saham Satu Pengenalan tentang Gelagat Perubahan Harga Saham dan Maklumat Asas Bursa Saham Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1995
Samir Abdul Hamid Radwan, Aswaq Al-Awraq Al-Maliah wa Dauruha fi At-Tanmiah Al-Iqtisodiah, Al-Ma’had Al-‘Alami li al-Fikr al-Islami, tt.
Suruhanjaya Sekuriti, Capital Market Development in Malaysia: History and Perspectives, Kuala Lumpur, 2003
________________, Majallah As-Syariah wa Ad-Dirasat Al-Islamiah, Majlis An-Nasyr Al-‘Ilmy fi Jami’ah Kuwait, bil 18, Zulhijjah 1412H
________________,Majallah Majma’Al-Fiqh Al-Islami, Ad-Daurah As-Sadisah,li Mu’tamar Majma’ Al-Fiqh Al-Islami, Majma’ Al-Fiqh Al-Islamy, Bil 6, Juzuk 2, 1410 H = 1990M
CD Al-Maktabah Al-Alfiah li As-Sunnah An-Nabawiyah, Vol 3.0
http://www.klse.com.my
http://sc.com.my
http://sin.com.my
http://lfxsys.lfx.com.my
iTheme Techno Blogger by Black Quanta. Theme & Icons by N.Design Studio. Distributed by eBlog Templates