alhafizah.blogspot.com

Wacana Ilmu Seorang Mujahidah


Di dalam Islam, pemerintahan adalah wasilah, bukannya matlamat.Ia adalah wasilah yang efektif bagi menjayakan tujuan tertentu yang tidak dilaksanakan secara individu oleh kaum muslimin.Tujuan pemerintahan adalah untuk merealisasikan maqasid atau objektif Islam itu sendiri.

Pemerintahan menurut pandangan Islam ialah untuk merealisasikan 2 tujuan utama iaitu :
1. Menjaga agama (Islam)-حراسة الدين
2. Mentadbir dunia berdasarkan ajaran agama - سياسة الدنيا به

Pertama : Menjaga agama

Menjaga agama dapat dilakukan dengan 2 perkara iaitu : memelihara dan melaksanakannya.

Menjaga Islam ialah dengan mengekalkan hakikat Islam, maknanya,dan menyebarkannya di kalangan manusia sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi selepas mereka. Termasuk jua menjaga kesucian agama daripada diseleweng atau ditindas oleh golongan kuffar.

Melaksanakan Islam adalah dengan melaksanakan hukun hakam agama dalam segenap sudut muamalat,hubungan manusia sesama mereka, dalam konteks kenegaraan, undang-undang, hubungan antarabangsa dan sebagainya.Pemerintahan juga wajib melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar. Ini kerana mana mungkin kebaikan dapat bertahan sekiranya kefasadan dan kemungkaran dibiarkan berleluasa.

Kedua : Mentadbir Dunia Berdasarkan Agama

Maksud mentadbir dunia berlandaskan agama ialah mentadbir urusan negara dan rakyat dalam bentuk yang merealisasikan maslahah (kebaikan) dan menolak mafsadah (keburukan) berlandaskan kaedah syara', prinsip, hukum- hakam yang dinaskan atau yang diistinbat berdasarkan kaedah ijtihad yang betul.

Di antara bentuk pemerintahan yang dituntut Islam ialah :
1. Mendirikan keadilan di kalangan manusia, iaitu antaranya dengan memberikan setiap orang yang berhak akan hak mereka, tidak menzalimi sesiapa, melantik pegawai kerajaan yang berkemampuan dan amanah serta mengawasi tugas mereka.

2. Menyebarkan suasana keamanan dan ketenteraman di dalam negara, iaitu dengan menghukun penjenayah mengikut hukum syara' dengan adil serta tanpa teragak-agak.

3. Menyediakan keperluan rakyat, iaitu dengan menyediakan keperluan rakyat sama ada pendidikan, peluang pekerjaan, dan sebagainya yang diperlukan rakyat dalam kehidupan mereka.

4. Mengembangkan kekayaan negara, iaitu membuat usaha-usaha agar kekayaan negara dapat dinikmati oleh semua rakyat sehingga memberikan keselesaan dan tahap kehidupan yang baik untuk rakyat.

(Diolah berdasarkan kitab Usul Ad-Dakwah karangan Dr. Abdul Karim Zaidan)

0 ulasan

Catat Ulasan

Langgan: Catat Ulasan (Atom)