Menundukkan pandangan atau memelihara pandangan merupakan akhlak seorang mukmin dan mukminah yang sejati. Para ulama’ telah menggariskan perkara ini sebagai salah satu adab sebagai seorang muslim di dalam kitab-kitab mereka. Petunjuk Ilahi secara jelas menerangkan tentang suruhan kepada orang mukmin lelaki dan perempuan supaya menundukkan pandangan mereka daripada perkara yang diharamkan dan memelihara kehormatan mereka. Firman Allah SWT:
“ Katakanlah kepada orang-orang mukmin (lelaki) agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Demikian adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka”
( Surah An-Nur : ayat 30,31)
Bahkan Rasulullah SAW juga memperingatkan tentang perkara ini di dalam beberapa hadith baginda.Antaranya,ialah hadith yang diriwayatkan di dalam musnad Ahmad Ibn Hambal bahawa, daripada Jarir bin Abdullah radhiallahu’anhu berkata : Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan secara tidak sengaja, maka baginda menyuruhku memalingkan pandanganku.” Dalam hadith yang lain, baginda SAW diriwayatkan bersabda kepada Saidina Ali k.w.: “Wahai ‘Ali, janganlah kamu ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua, sesungguhnya bagi kamu yang pertama tetapi tidak yang kedua.”
Berdasarkan hadith di atas, dapat kita fahami bahawa pandangan secara tidak sengaja ( yang pertama) berlaku tanpa niat daripada orang yang memandang. Maka dia tidak dikira berdosa selagi tidak berlaku secara sengaja dengan niat di hatinya, lantas pandangan kedua yang mengikuti pandangan pertama dikira berdosa kerana sengaja. Justeru, kita melihat bagaimana Rasulullah SAW menyuruh memalingkan pandangan apabila terpandang secara tidak sengaja dan tidak merenung lama kerana merenung lama sama seperti mengulangi pandangan. Nabi Muhammad SAW juga bersabda: “Pandangan adalah panahan beracun daripada panahan iblis. Sesiapa yang menundukkan pandangannya daripada kecantikan wanita maka Allah mewariskan di hatinya kemanisan yang dimilikinya hingga hari bertemu denganNya.”
Mungkin timbul persoalan, mengapa kita disuruh untuk memelihara pandangan, sedangkan bukankah mata yang dikurniakan oleh Allah SWt ini fungsinya untuk melihat dan menikmati keindahan ciptaan Allah? Kadangkala begitulah hujah orang-orang yang menganggap remeh hukum Allah SWT dan mencari alasan di sebalik keburukan yang dilakukan. Sedangkan tidak diturunkan suatu perintah melainkan ia bertepatan dengan keadaan jiwa manusia dan memeliharanya daripada kefasadan.
Mungkin boleh dikatakan bahawa kefasadan yang berlaku pada hari ini, seperti berlakunya zina, rogol, sumbang mahram, homoseks, lesbian dan seumpamanya hasil daripada pandangan mata pelakunya yang pastinya tidak pernah terjaga. Mana mungkin berlaku perkara sedemikian jika arahan pertama (memelihara pandangan) ditaati. Justeru, apabila wasilah sudah dihalalkan, terbukalah seluas-luasnya jalan-jalan lain yang membinasakan jiwa dan maruah manusia itu sendiri. Pepatah yang mengatakan, dari mata turun ke hati, ada benarnya.
Dari pandanganlah bermulanya segala perkara yang diniatkan hati, lalu anggota yang akan membuktikannya, atau sebaliknya. Hanya iman yang mampu mengawal segalanya. Segalanya telah diungkapkan oleh Rasulullah SAW 1400 tahun yang lalu di dalam sebuah hadith sohih riwayat Bukhari bahawa baginda bersabda:”Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla menetapkan bagi anak Adam bahagiannya daripada zina . Mata berzina, dan zinanya ialah memandang. Dan lidah berzina, dan zinanya ialah berkata-kata. Dan kaki berzina, dan zinanya ialah melangkah. Dan tangan berzina , dan zinanya memegang, dan hati bernafsu dan berangan-angan, dan kemaluan (faraj )lah yang akan membenarkannya atau mendustakannya.”
Sifat memelihara pandangan ini mempunyai banyak faedah dan kelebihan yang disebutkan oleh Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziah di dalam kitabnya. Di antaranya ialah;
1. Membersihkan hati daripada keperitan kekesalan kesan daripada pandangan lantaran tidak mampu memiliki apa yang dipandangnya.
2. Mewariskan cahaya (nur) dan sinar cemerlang di hati, lalu terzahir pada mata, wajah dan anggotanya.
3. Mewarisi firasat yang benar hasil daripada hati yang bercahaya.
4. Membuka jalan-jalan ilmu dan pintu-pintunya, serta mudah mmperolehinya hasil nur di hati dengan mengetahui dan menyingkap hakikat sesuatu dengan cepat.
5. Mewariskan kekuatan jiwa, thabat dan berani.
6. Mewariskan hati kegembiraan, kelapangan jiwa lebih hebat daripada keindahan dan kegembiraan yang terhasil daripada pandangan. Kegembiraan ini adalah atas kejayaan memerangi hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan.
7. Membebaskan hati daripada menjadi tawanan syahwat.
8. Menjadi benteng penghalang daripada pintu neraka jahannam.
9. Menguatkan akal, menambahkan dan menthabatkannya
10. Menyucikan hati daripada kemabukan syahwat dan kelalaian daripada mengingati Allah dan hari akhirat.
Justeru, sebagai generasi yang mewarisi tugas para Nabi dan Rasul, sama-samalah kita beramal dengan sifat ini kerana kitalah yang akan memimpin ummah dan menyelamatkan yang mereka sedang terkapai-kapai kelemasan dek kefasadan yang diundang oleh mereka sendiri..Walaupun perkara ini nampak remeh dan kecil, namun kerosakan yang besar hakikatnya bermula daripada memandang remeh perkara yang kecil.
Seorang mukmin tidak akan memandang kecil dosa yang dilakukannya, malah menganggap dosa itu umpama gunung yang mahu menimpanya, tetapi seorang munafiq menganggap dosa itu umpama lalat yang hinggap di atas hidungnya yang perlu ditepis dengan mudah sedangkan kadangkala dosa yang kecillah yang akan memjunamkan manusia ke dalam api neraka, wal’iyazubillah.Mudah-mudahan Allah menggolongkan kita dalam golongan orang-orang mukmin yang bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya..Semoga ada manfaatnya buat kita bersama, wallahu’alam.
21 Januari 2008 pada 4:20 PTG
menjaga pandangan memang indah. seindah tahajud malam,tilawah quran dan ibadah lainnya.tapi demi alloh, ini adalah perkara yang sangat sulit buat dilakukan.