alhafizah.blogspot.com

Wacana Ilmu Seorang Mujahidah


Abstrak

Masalah kemiskinan merupakan masalah yang melanda umat manusia, khususnya negara-negara umat Islam yang kini tergolong dalam negara yang mundur dan membangun. Sedangkan pada masa yang sama negara-negara pengamal system ekonomi thagut kapitalisme dilihat sebagai negara-negara kuasa besar dan maju. Adakah Islam menyeru kepada kemiskinan atau kesilapan umat Islam menyebabkan mereka terpaksa bergelut dengan kemelut ini? Walhal, zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan kejayaan kerajaan Islam membasmi kemiskinan hingga ke peringkat tiada seorang yang berhak menerima zakat (sifar kemiskinan). Oleh itu, kita selaku umat Islam yang beriman bahawa Islam adalah sebaik-baik penyelesaian perlu mencari mutiara keindahan Islam yang sebenar agar sinarnya kembali menyinari alam buana ini.

Pandangan Islam Terhadap Kemiskinan

Hakikatnya, Islam menganggap kemiskinan sebagai suatu masalah yang memerlukan penyelesaian, bahkan merupakan bahaya yang wajib diperangi dan diubati. Usaha-usaha mencari penyelesaian perlu dilakukan,tetapi ini bukan bererti kita menafikan qada’ dan qadar Allah swt terhadap setiap makhlukNya. Di antara prinsip Islam, setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Setiap penyakit ada ubatnya. Dia yang menjadikan penyakit, dan Dia jugalah yang mencipta ubatnya. Jika kemiskinan ditakdirkan oleh Allah swt, maka pembebasan dari belenggu kemiskinan juga merupakan takdir Allah swt juga. Inilah yang difahami oleh Saidina Umar Al-Khattab apabila beliau berpatahbalik dari Syam kerana bimbang ditimpa waba’ yang melanda Syam ketika itu. Apabila ditanya kepada beliau,”Adakah tuan lari dari qadar Allah swt, wahai Amirul Mukminin?” Beliau menjawab,” Ya, lari dari qadar Allah swt kepada qadar Allah swt”.

Selain itu, timbul persoalan adakah usaha memerangi kemiskinan bertentangan dengan sifat qanaah? Adakah qanaah dan redha dengan rezeki yang Allah swt kurniakan bererti redha dengan kehidupan yang melarat, duduk tidak bekerja untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan membiarkan orang kaya dalam kemewahan dan pembaziran? Tidak! Sebenarnya, qanaah membawa dua maksud iaitu,pertama, keimanan yang mengekang tabiat manusia yang tamak dan cenderung kepada dunia seolah-olah kehendak mereka tidak mampu dipenuhi agar lebih mengutamakan akhirat yang kekal abadi. Hal ini dijelaskan dalam hadith yang bermaksud:”Kalaulah anak Adam memiliki 2 lembah emas sekalipun, nescaya dia akan mencari yang ketiga. Dan tidak akan tertutup mata anak Adam melainkan dengan tanah (mati)” dan hadith lain bermaksud: “Bukanlah kekayaan itu memiliki banyak harta tetapi kekayaan sebenar ialah kaya jiwa” .Maksud qanaah yang kedua ialah mengakui bahawa Allah menjadikan manusia berbeza-beza tahap rezekinya sepertimana Allah swt menjadikan bakat dan kebolehan yang berbeza bagi setiap manusia.Tugas manusia ialah berusaha dan berikhtiar. Allah swt berfirman dalam Surah an-Nahl ayat 71:” Dan Allah swt melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam soal rezeki”.Ini bererti sifat qanaah akan menjadikan manusia redha dengan apa yang dikurniakan oleh Allah swt yang tidak mampu diubah atau terhalang oleh suasana dan keadaan yang memaksa, serta tidak mengimpikan kelebihan yang Allah swt kurniakan kepada orang lain sehingga timbul perasaan hasad dengki.

Islam juga tidak mengiktiraf teori golongan mutazahhidin (zuhud) dan duat tasawuf yang berpendapat bahawa kemiskinan bukanlah perkara buruk atau masalah yang perlu diatasi, bahkan ia merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt bagi hambanya yang dikasihi agar hatinya sentiasa terikat dengan akhirat. Teori ini sebenarnya terpengaruh dengan sufi Hindu, rahbaniyah Kristian, dan seumpamanya kerana ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadith yang memuji sifat zuhud, bukan bererti memuji kefakiran. Sabda Rasulullah SAW : “Bukanlah zuhud dari dunia itu dengan mengharamkan yang halal dan mensia-siakan harta, tetapi menjadikan apa yang pada kekuasaan Allah swt itu lebih kuat pegangan bagimu daripada apa yang di tanganmu.” Zuhud yang sebenar ialah memiliki dunia di tangan bukan di hati.Zuhud yang diseru oleh Islam ialah zuhud dari perkara-perkara haram,makruh atau syubhat, zuhud dari apa yang ada pada manusia, memelihara diri dari akhlak yang keji dan berakhlak mulia.

Zuhud tidak menafikan usaha, bekerja dan infaq. Bahkan Allah swt menjadikan kekayaan sebagai suatu nikmat yang perlu disyukuri, dan kefakiran suatu musibah yang perlu dijauhi hingga Rasulullah sendiri berdoa agar dijauhi dari kefakiran. Zuhud golongan kaya dan berkemampuan lebih baik daripada zuhud golongan yang miskin dan lemah kerana ia merupakan sumber kekuatan masyarakat Islam, mendekatkan kepada ketaatan dengan pengeluaran zakat, sedekah ,serta infaq fi sabilillah seperti perbelanjaan tentera-tentera Islam dan sebagainya. Allah swt telah meneguhkan kedudukan Rasulullah dengan dikurniakan kekayaan dalam firmannya di dalam Surah Al-Dhuha ayat 8:”Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.” Dan firman Allah swt lagi : “Bersiap siagalah dengan segenap kekuatan yang kamu miliki yang menggentarkan musuh-musuh Allah swt dan musuh-musuhmu yang kamu ketahui dan tidak kamu ketahui”(Al-Anfal :60).

Selain itu, pendapat golongan Jabariyyin yang menganggap kemiskinan merupakan qada’ dan qadar Allah swt yang tidak mempunyai ubat untuk merawatnya melainkan berserah dan redha semata-mata tertolak berdasarkan firman Allah swt yang menempelak golongan kaya yang tidak mahu menginfaqkan harta mereka kepada golongan miskin yang berhujah bahawa itu adalah kehendak Allah swt dengan menyifatkan mereka sebagai orang yang sesat, yang bermaksud : “ Dan apabila dikatakan kepada mereka, infaqkanlah sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan Allah swt,Berkata orang-orang kafir kepada orang-orang beriman : Adakah kami memberi makan kepada orang yang kalau Allah swt kehendaki, Allah swt akan memberi makan kepada mereka? Sesungguhnya kamu tidak lain melainkan dalam kesesatan yang nyata.”(Yasin:47). Hakikatnya, Allah swt mengurniakan rezeki sebahagian manusia melalui sebahagian manusia yang lain dan Allah swt akan mencukupkan rezeki bagi orang yang memenuhi hajat orang yang lemah.

Di samping itu, Islam juga menolak pandangan golongan Kapitalisme yang berpendapat kemiskinan merupakan masalah yang dipertanggungjawabkan ke atas diri orang miskin sendiri, bukan tanggungjawab ummah, negara atau orang kaya. Ini kerana bagi mereka, kekayaan yang diperolehi adalah hak mutlak mereka dan setiap individu bebas menggunakan hartanya dan berbuat apa saja.Teori ‘Qarunisme’ ini meniru bulat-bulat keangkuhan Qarun yang menganggap kekayaannya adalah hasil kebijaksaannya sendiri, bukan anugerah Allah dan enggan menginfaqkan hartanya untuk membantu golongan yang lemah seperti yang disebut dalam Al-Quran,”Dia (Qarun) berkata: Sesungguhnya harta kekayaan ini adalah hasil kebijaksanaan ilmuku” (Al-Qasas:77). Hakikatnya, dalam Islam, harta adalah hak mutlak Allah swt,kerana Dialah yang menjadikan dan menganugerahkannya, manakala manusia hanyalah wakil (khalifah) yang ditugaskan untuk menjaga, membangunkan dan membelanjakan harta mengikut suruhan dan keredhaanNya.Allah swt menyatakan hal ini dalam firmannya:” Dan nafkahkanlah dari apa yang kami jadikan kamu menguasainya”(Al-Hadid:7).

Islam juga menolak pandangan golongan Sosialisme dan Marxisme yang berpendapat bahawa pembasmian kemiskinan tidak dapat dilakukan melainkan dengan menghapuskan kedudukan golongan kaya dan sumber harta mereka, menghalang mereka daripada kekayaan, sekaligus menghapuskan hak pemilikan harta individu.Tiada perbezaan ketara antara Komunisme dan Sosialisme kerana kemuncak Sosialisme ialah Komunisme. Yang pastinya, kedua-duanya memerangi agama dan terbina di atas kekerasan dan pertumpahan darah..Ini berbeza dengan prinsip Islam kerana walaupun wujudnya golongan kaya yang angkuh, masih ada golongan kaya yang menggunakan hartanya untuk menunaikan hak Allah swt dan hak manusia.Islam juga mengiktiraf pemilikan harta individu kerana sesuai dengan fitrah manusia ingin memiliki harta dengan menggariskan kaedah menguruskannya.Selain itu, Islam juga terbina di atas dasar kasih-sayang dan tolong-menolong, bukan atas dasar saling membenci dan bermusuhan.Teori sesat ini sebenarnya bukan menyelesaikan masalah, malah mencipta masalah yang lain yang lebih berbahaya.

Kaedah Islam Mengatasi Masalah Kemiskinan

Setelah meneliti pandangan Islam mengenai kemiskinan, kita akan melihat apakah manhaj Islam dalam membasmi kemiskinan. Prof. Dr. Rifaat Al-Iwady di dalam bukunya, ’Sistem Ekonomi Islam’ menjelaskan bahawa terdapat 5 kaedah utama dalam membasmi kemiskinan, iaitu:

(1) Memperbetulkan Aqidah Berkenaan Ekonomi

Dalam hal ini, usaha membasmi kemiskinan bermula daripada memastikan kesahihan aqidah berkenaan ekonomi pada diri individu fakir miskin terutamanya dan masyarakat. Ini merangkumi 3 perkara, iaitu: (i) kefahaman yang benar tentang qada’ dan qadar dalam masalah kemiskinan, (ii) kefahaman yang betul tentang keseimbangan antara pengeluaran ekonomi dan keperluan manusia, serta (iii) kefahaman yang betul tentang hak pemilikan harta sebenar kepada Allah swt.

Seseorang yang memiliki aqidah yang jelas dan menganggap kemiskinan suatu perkara yang boleh diubah akan rasa bertanggungjawab,optimis, berusaha dan bekerja untuk mengatasi kemiskinannya, mendorongnya memiliki harta dan tidak mengabaikan aspek material dalam kehidupan sehari-hari. Ini disebabkan sesuatu keadaan tidak akan dapat diubah melainkan diri sendiri yang berubah terlebih dahulu, dan semuanya bertitik tolak daripada keyakinan dan pemikiran seseorang individu.

Selain itu, keyakinan bahawa Allah swt menjadikan hasil ekonomi mencukupi bagi menampung keperluan manusia sejagat akan menjadikan manusia sentiasa positif dalam usaha membasmi kemiskinan. Allah berfirman,”Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-ganang dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu mengikut ukurannya. Dan Kami telah menjadikan untukmu keperluan-keperluan hidup, dan kami menciptakan pula makhluk-makhluk yang bukan kamu pemberi rezeki kapadanya.”(Al-Hijr:19&20). Kemudian, bagaimana manusia akan memperolehi bahagian rezeki masing-masing yang ditetapkan oleh Allah swt berhubungkait dengan kerja manusia, system masyarakat yang digunakan, kaedah pengurusan ekonomi (sama ada membazir dsb) dan system politik yang menaungi manusia.

Kefahaman terhadap prinsip harta adalah milik Allah swt pula akan mendatangkan sifat insaf bahawa harta yang dimiliki adalah amanah Allah swt untuk digunakan pada jalan yang disyariatkan dan manusia tertakluk kepada tanggungjawab kemasyarakatan yang perlu dilunaskan seperti zakat, nafkah, sedekah dan sebagainya.

(2) Pengagihan Hasil Ekonomi Mengikut Pengkhususan Yang Betul

Islam memiliki pengkhususan ekonomi yang tersendiri yang merangkumi 3 jenis pengkhususan iaitu:
(i) pengkhususan antara sector awam dan sector swasta
(ii) pengkhususan antara generasi kini dan generasi akan datang
(iii) pengkhususan dalam sektor awam

Contoh pengkhususan dalam sector awam ialah kisah Saidina Umar Al-Khattab pernah mengkhususkan suatu kawasan yang bernama ’As-Syaraf’ untuk golongan miskin menggembala ternakan mereka dan berpesan kepada petugas yang menjaga kawasan tersebut agar tidak mengizinkan kawasan tersebut dimasuki oleh ternakan golongan kaya. Selain itu, kerajaan boleh menggunakan sektor awam dalam bidang pertanian untuk melaksanakan projek ekonomi yang memberi peluang kerja kepada golongan miskin
Contoh pengkhususan untuk generasi akan datang pula ialah siasah Khalifah Umar Al-Khattab yang tidak membahagikan ‘ardhul sawad’ yang merupakan ghanimah hasil penaklukan Iraq, Khurasan , Mesir dan lain-lain kepada tentera Islam sebaliknya mengkhususkan tanah tersebut untuk kegunaan generasi akan datang. Hikmahnya adalah untuk mengatasi masalah kemiskinan warisan.Dengan erti kata lain pihak kerajaan bertanggungjawab mengagihkan ekonomi mengikut pengkhususan yang adil dan tepat agar masalah kemiskinan dapat diatasi dan hasil ekonomi tidak dikaut olah golongan tertentu sahaja.

(3) Pengurusan Ekonomi Terancang Dan Berstrategi

Pemimpin juga bertanggungjawab menguruskan ekonomi secara terancang dan berstrategi berdasarkan beberapa kaedah syara’, antaranya:

Kaedah 1 : Tindakan Pemimpin Ke Atas Rakyatnya Berdasarkan kepada Maslahah
( تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة )

Kaedah ini menyarankan kepada para pemimpin agar mengambil kira kemaslahatan rakyat dalam menentukan sesuatu dasar terutamanya pembasmian kemiskinan.

Kaedah 2 : Mengambil Mudarat Yang Khusus Bagi Mengelakkan Mudarat Yang Umum
( يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام )

Kaedah ini bererti mengutamakan maslahah yang lebih umum daripada maslahah yang khusus apabila bertembung dua maslahah.

Kaedah 3 : Mudarat Yang Lebih Berat Dihilangkan Dengan Mudarat Yang Lebih Ringan
( الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف )

Kaedah ini digunakan apabila bertembung dua kemudaratan, satu lebih ringan daripada yang lain. Sebagai contoh, menentukan dasar ekonomi yang tidak memudaratkan golongan miskin yang ramai sekalipun memudaratkan sebahagian golongan kaya.

(4) Mengamalkan Ekonomi Berkeutamaan

Kaedah ini digunakan oleh kerajaan dalam pengkhususan aktiviti ekonomi dan pengagihan hasil ekonomi agar selari dengan kehendak syara’. Ini dapat dilaksanakan mengikut keutamaan berdasarkan maqasid syariah (objektif syara’), iaitu:

(i) Maqasid Al-Dharuriyah
Iaitu mendirikan maslahah duniawi yang jika diabaikan akan membawa kematian dan kemusnahan hidup dan maslahah ukhrawi yang jika diabaikan membawa penyesalan di hari kiamat. Ini terangkum dalam 5 aspek daruriat iaitu menjaga agama, jiwa, keturunan, harta dan aqal. Contohnya: makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, bekalan air, keamanan, pertahanan dan pendidikan.

(ii) Maqasid Al-Hajiah
Iaitu perkara yang yang diperlukan oleh menusia untuk mengelakkan kepayahan dan kesempitan. Contohnya : perhubungan dan pengangkutan.

(iii) Maqasid al-Tahsiniah
Iaitu perkara yang mengindahkan kehidupan dan mengelakkan perkara yang ingin dijauhi oleh akal yang waras.Ini termasuk segala bentuk keperluan yang harus dan tidak ditegah oleh syara’.

Pengurusan ekonomi berdasarkan keutamaan sangat penting bagi memastikan sumber ekonomi mencukupi bagi menampung keperluan manusia. Keutamaan ini boleh berubah berdasarkan suasana dan keadaan masyarakat. Seringkali terjadi, hasil ekonomi tidak mencukupi akibat mengutamakan perkara hajiat dan tahsiniat berbanding dharuriat atau seumpamanya hingga menyebabkan masalah kemiskinan menjadi bertambah buruk walaupun negara mempunyai sumber bumi yang melimpah-ruah. Contohnya , berlumba-lumba membina bangunan yang mewah, sedangkan masih ramai rakyat yang terbiar tiada tempat kediaman dan tidak cukup makanan.

(5) Pengitaran Harta Daripada Golongan Kaya Kepada Golongan Miskin

Kaedah ini merupakan kaedah yang terakhir dalam membanteras kemiskinan.Kaedah ini pula terbahagi kepada 3 peringkat iaitu:
(i) Peringkat Wajib : iaitu kewajipan menunaikan nafkah yang wajib ke atas anggota keluarga dan mengeluarkan zakat bagi peringkat masyarakat.
(ii) Peringkat Pilihan : iaitu galakan Islam agar bersedekah secara sukarela (sunat). Ini adalah peringkat penyempurnaan, bukan satu-satunya cara yang digunakan oleh Islam seperti yang disangka oleh musuh Islam.
(iii) Peringkat Wajib : contohnya melalui kewajipan membayar cukai. Peringkat ini tidak diperlukan jika peringkat sebelumnya telah memadai dan ini merupakan peringkat terakhir dalam usaha memerangi kemiskinan.

Kaedah ini juga membuktikan keistimewaan manhaj Islam dalam membasmi kemiskinan kerana:
(i) Islam mengambil berat terhadap golongan yang tidak diambil berat oleh sistem lain seperti golongan penghutang yang tidak mempu melunaskan hutang mereka dan ibnu sabil (musafir yang kehabisan bekalan perjalanan) melalui pemberian zakat
(ii) Wujudnya hukuman berbentuk bantuan kemasyarakatan seperti kaffarah yang yang mewajibkan pengeluaran harta kepada golongan fakir miskin
(iii) Sedekah tidak diwajibkan, sebaliknya bergantung kepada pilihan individu sendiri sebagai peringkat penyempurnaan kepada peringkat sebelumnya (zakat dan nafkah).

Kesimpulannya, masalah kemiskinan bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk dibanteras sekalipun banyak halangan yang terpaksa ditempuhi. Antaranya ialah kesan penjajahan kuasa asing terhadap sistem ekonomi, politik, kemasyarakatan dan pemikiran di negara-negara umat Islam, lalu menjadikan kita terus terjajah, sekalipun sebenarnya kita telah lama merdeka. Tambahan pula, globalisasi bertunjangkan kapitalisme dan imperialisme versi baru yang menguasai dunia menjadikan masalah kemiskinan ini semakin rumit untuk diselesaikan. Namun, kita perlu yakin bahawa kebatilan pasti akan runtuh kerana Allah swt telah menjanjikan kemenangan untuk Islam, dengan syarat umat Islam kembali bersatu menjunjung perintah dan dustur Ilahi! Sekian, Wallahu ‘Alam.

(Artikel ini ditulis oleh penulis berdasarkan sukatan subjek Sistem Ekonomi Islam di American Open University , Cairo dan pernah disiarkan di dalam Suara Kampus edisi Kelantan (SUKEK))

Dalam kehidupan seharian, kita pasti berdepan dengan banyak tuntutan dan kewajipan yang mesti dilaksanakan. Sebagai mukmin yang memikul amanah menjadi khalifah di atas muka bumi Allah tidak kira sama ada sebagai pemimpin kepada masyarakat, organisasi, keluarga atau sekurang-kurannya diri sendiri, seseorang mesti merencanakan tugasannya agar semua tanggungjawab dapat diselesaikan pada masa yang sepatutnya dengan baik. Kemahiran dan pengetahuan tentang fiqh awlawiyat akan dapat membantu menilai prioriti (keutamaan) setiap tugasan yang hendak dilakukan lebih-lebih lagi apabila berlaku pertembungan antara tuntutan-tuntutan tersebut.

KEPENTINGAN MEMPELAJARI FIQH AWLAWIYAT :

1. Mengetahui dan meletakkan sesuatu perkara di tempat yang betul (adil), dengan mengutamakan yang paling utama daripada yang utama, dan mengutamakan yang penting daripada yang kurang penting dalam kehidupan seharian
2. Merencana gerak kerja lebih terancang, bersepadu dan efektif mengikut prioriti yang tepat, lantas memajukan diri, organisasi dan Islam
3. Mengelakkan pembaziran masa, tenaga dan sebagainya yang merugikan diri dan Islam kerana kesilapan mengutamakan yang kurang penting daripada lebih penting

Sheikh Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata :
“Bukanlah orang yang cerdik itu orang yang mengetahui mana yang baik dari yang buruk, tetapi orang yang cerdik ialah yang mengetahui perkara yang terbaik dari dua perkara yang baik dan perkara yang terburuk daripada dua perkara yang buruk.”

ASPEK-ASPEK PENTING DALAM FIQH AWLAWIYAT :

1. Mengetahui Maqasid Syariah (Objektif /tujuan syariat)

Maqasid Syariah ialah merealisasikan memaslahatan hamba (manusia) dan menghalang kemudaratan daripada mereka di dunia dan akhirat.

5 Jenis kemaslahatan manusia yang dijaga oleh syariah ( ( الكليات الخمسة:
a. Menjaga agama
b. Menjaga jiwa
c. Menjaga akal
d. Menjaga keturunan
e. Menjaga harta

Teknik penjagaan terhadap 5 aspek tersebut adalah mengikut urutan keutamaan berikut:
a. Ad-Doruriyat : Perkara yang amat diperlukan sama ada didunia atau di akhirat. Ketiadaannya akan membawa kemusnahan hidup di dunia dan akhirat

b. Al-Hajiyat : Perkara yang diperlukan manusia untuk mengelakkan daripada kepayahan dan kesulitan.Ketiadaannnya menyebabkan manusia berada dalam kesempitan tetapi tidak sampai kepada kemusnahan hidup.

c. Al-Tahsinat : Perkara kesempurnaan yang dituntut oleh maruah atau harga diri dan ketinggian akhlaq. Ketiadaan perkara ini tidak sampai memusnahkan hidup atau menyempitkannya, tetapi akan menjadikannya aib pada pandangan orang yang berakal.

2. Neraca Pemilihan (Tarjih) apabila berlaku pertembungan

a. Apabila bertembung antara beberapa maslahah
:
· Mengutamakan perkara doruriyat daripada hajiat dan perkara hajiat daripada tahsinat
· Mengutamakan menjaga agama, kemudian jiwa,kemudian akal,kemudian keturunan, dan terakhir harta.
· Mengutamakan maslahah umum daripada maslahah individu.

b. Apabila bertembung di antara beberapa mafsadah:
· Mengutamakan mafsadah yang lebih sedikit / ringan daripada mafsadah yang lain

c. Apabila bertembung di antara maslahah dan mafsadah
iaitu sekiranya mengambil maslahah terpaksa mendapat mafsadah, atau jika mengambil mafsadah akan menghilangkan maslahah, maka perlu melihat kepada saiz maslahah dan mafsadah tersebut :
· Jika mafsadah lebih besar / banyak daripada maslahah, maka tinggalkan perkara yang mendatangkan mafsadah tersebut walaupun akan kehilangan maslahah yang sedikit.
· Jika maslahah lebih besar / banyak daripada mafsadah, maka lakukan perkara yang mendatangkan mafsadah yang kecil tersebut kerana akan memperolehi maslahah lebih besar / banyak.

3. Kaedah Az-Zaraie’( الذرائع) dan hubungannya dengan Fiqh Al-Awlawiyat

الذرائع adalah jama’ kepada الذريعة yang bermaksud jalan (wasilah) atau sebab kepada sesuatu.

Kaedah usul ada berbunyi :

الوسائل له أحكام المقاصد . فما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجب .وما يتم المسنون إلا به فهو مسنون.
وطرق الحرام والمكروهات تابعة لها. ووسيئل المباح مباح.

Berdasarkan kaedah ini :
· setiap wasilah yang membawa kepada perkara yang haram, maka ia juga haram , dan setiap wasilah yang membawa kepada perkara yang wajib, maka ia juga menjadi wajib.
· Mafsadah adalah suatu yang terlarang dan setiap jalan kepada mafsadah adalah dilarang. Manakala maslahah adalah perkara yang dituntut dan setiap jalan membawa kepada maslahah adalah dituntut.
· Dari sinilah, timbulnya kaedah: الذرائع سد dan فتح الذرائع

4. Peringkat-peringkat dalam hukum-hakam syariat mengikut keutamaan

a. Peringkat-peringkat perkara suruhan
· Fardu Ain berkaitan hak orang ramai (jamaah)
· Fardu Ain berkaitan hak individu
· Fardu Kifayah
· Sunat Muakkad
· Sunat biasa / mustahabbah
( Nota :
· Suruhan yang memberi manfaat kepada orang ramai diutamakan daripada suruhan yang memberi manfaat kepada individu
· Diutamakan amalan hati daripada amalan anggota dan didahulukan aqidah daripada amal kerana aqidah adalah asas terbinanya amal )

b. Peringkat-peringkat larangan
· Haram
- Akbarul kabair (dosa paling besar)
- Al-Kabair (Dosa besar)
- As-Soghoir (Dosa Kecil)
· Makruh
(Nota : maksiat hati lebih terlarang daripada maksiat anggota)

5. Ibadah Yang Paling Afdhal

Ibadah yang paling afdhal di sisi Allah tidak dapat diputuskan secara qat’ie kerana ia berbeza mengikut tempat, masa, dan individu itu sendiri. Yang pasti, setiap waktu ada kewajipannya yang dikhususkan untuk mencapai keredhaan Allah dan kewajipan inilah yang paling afdhal pada waktu tersebut. Contoh : perkara paling afdhal apabila datang tetamu ialah menunaikan haknya dan melayannya. Ini lebih utama daripada berwirid yang sunat.

Wasiat Khalifah Abu Bakar As-Siddiq kepada Saidina Umar sebelum kewafatan baginda :
” Sesungguhnya bagi Allah amalan pada waktu malam yang tidak diterima (jika dilakukan) pada waktu siang, dan bagi Allah amalan siang hari yang tidak diterima( jika dilakukan)pada malam hari, sesungguhnya Allah tidak menerima amalan sunat sehingga diamalkan amalan fardhu.”

CONTOH PRAKTIKAL FIQH AWLAWIYAT DARI AL-QURAN DAN AS-SUNNAH :
· Surah At-Taubah ayat 24 : Tuntutan mengutamakan ketaatan kepada Allah, Rasul dan jihad di jalan Allah (menjaga agama) daripada kecintaan kepada ayah, anak, saudara, isteri, keluarga, perniagaan, dan harta (dunia)
· Perjanjian Hudaibiyah : Rasulullah menerima syarat musyrikin yang kelihatan merugikan kaum muslimin dalam jangka pendek kerana ada maslahah jangka panjang lebih besar hasil perjanjian tersebut
· dan banyak lagi..

Di dalam Islam, pemerintahan adalah wasilah, bukannya matlamat.Ia adalah wasilah yang efektif bagi menjayakan tujuan tertentu yang tidak dilaksanakan secara individu oleh kaum muslimin.Tujuan pemerintahan adalah untuk merealisasikan maqasid atau objektif Islam itu sendiri.

Pemerintahan menurut pandangan Islam ialah untuk merealisasikan 2 tujuan utama iaitu :
1. Menjaga agama (Islam)-حراسة الدين
2. Mentadbir dunia berdasarkan ajaran agama - سياسة الدنيا به

Pertama : Menjaga agama

Menjaga agama dapat dilakukan dengan 2 perkara iaitu : memelihara dan melaksanakannya.

Menjaga Islam ialah dengan mengekalkan hakikat Islam, maknanya,dan menyebarkannya di kalangan manusia sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi selepas mereka. Termasuk jua menjaga kesucian agama daripada diseleweng atau ditindas oleh golongan kuffar.

Melaksanakan Islam adalah dengan melaksanakan hukun hakam agama dalam segenap sudut muamalat,hubungan manusia sesama mereka, dalam konteks kenegaraan, undang-undang, hubungan antarabangsa dan sebagainya.Pemerintahan juga wajib melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar. Ini kerana mana mungkin kebaikan dapat bertahan sekiranya kefasadan dan kemungkaran dibiarkan berleluasa.

Kedua : Mentadbir Dunia Berdasarkan Agama

Maksud mentadbir dunia berlandaskan agama ialah mentadbir urusan negara dan rakyat dalam bentuk yang merealisasikan maslahah (kebaikan) dan menolak mafsadah (keburukan) berlandaskan kaedah syara', prinsip, hukum- hakam yang dinaskan atau yang diistinbat berdasarkan kaedah ijtihad yang betul.

Di antara bentuk pemerintahan yang dituntut Islam ialah :
1. Mendirikan keadilan di kalangan manusia, iaitu antaranya dengan memberikan setiap orang yang berhak akan hak mereka, tidak menzalimi sesiapa, melantik pegawai kerajaan yang berkemampuan dan amanah serta mengawasi tugas mereka.

2. Menyebarkan suasana keamanan dan ketenteraman di dalam negara, iaitu dengan menghukun penjenayah mengikut hukum syara' dengan adil serta tanpa teragak-agak.

3. Menyediakan keperluan rakyat, iaitu dengan menyediakan keperluan rakyat sama ada pendidikan, peluang pekerjaan, dan sebagainya yang diperlukan rakyat dalam kehidupan mereka.

4. Mengembangkan kekayaan negara, iaitu membuat usaha-usaha agar kekayaan negara dapat dinikmati oleh semua rakyat sehingga memberikan keselesaan dan tahap kehidupan yang baik untuk rakyat.

(Diolah berdasarkan kitab Usul Ad-Dakwah karangan Dr. Abdul Karim Zaidan)

Langgan: Catatan (Atom)