alhafizah.blogspot.com

Wacana Ilmu Seorang Mujahidah


(Menjawab Tohmahan Terhadap Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.)

Abstrak

Gerakan mencela dan mentohmah sahabat Nabi radiallahu anhum telah lama wujud sejak zaman berzaman hinggalah ke hari ini. Golongan ini begitu berani mereka pelbagai tuduhan,umpamanya mentohmah isteri Rasulullah saw berzina, para sahabat melakukan seks luar tabie dan lain-lain. Hakikatnya, walaupun golongan ini mencela sahabat Nabi, namun tindakan mereka seumpama mencela Rasulullah SAW. Ini disebabkan apabila mereka tidak mampu mencela Rasulullah secara terang-terangan yang akan menyebabkan terbukanya rahsia mereka, lalu mereka mengalih perhatian dengan menyelewengkan sirah sahabat-sahabat baginda yang mulia demi niat jahat mereka. Gejala ini sangat berbahaya kerana orang yang tidak menghormati sahabat Nabi yang merupakan orang yang paling mulia di sisi Rasulullah SAW, sudah tentu lebih berani untuk memfitnah sesama mukmin tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka di hari akhirat kelak, sedangkan perbuatan memfitnah dijanjikan oleh Allah dengan azab yang pedih. Firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat.dan Allah mengetahui , sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Kejahilan terhadap sirah yang sahih akan menyebabkan umat Islam tertipu dan keliru dalam menentukan pendirian apabila berdepan dengan sesuatu isu berkaitan maruah Islam dan umatnya. Ditambah lagi dengan serangan pemikiran yang dilancarkan oleh pihak kuffar dan orientalis yang dengkikan Islam, selain daripada peranan golongan munafiqin yang menjadi duri dalam daging tanpa disedari. Salah satu daripada peristiwa bersejarah yang terkenal tetapi mula luput daripada penghayatan kaum muslimin dan sering dieksploitasikan oleh musuh-musuh Islam ialah peristiwa Hadith Al-Ifki yang menimpa Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a. Justeru , dalam kertas kerja ini, penulis cuba untuk membawa kita agar menghayati Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat ridwanullah ‘alaihim yang kaya dengan pengajaran yang cukup bermakna sebagai panduan kita dalam menentukan sikap dan pendirian selaku seorang mukmin sebenar.


Sepintas Lalu Mengenai Hadith Al-Ifki

Maksud Hadith Al-Ifki

Hadith bermaksud kata-kata , manakala Al-Ifk bermaksud penipuan dan tohmahan. Selain disebut sebagai hadith al-ifki, kadangkala disebut juga sebagai khabar al-ifki.

Hadith Al-Ifki merujuk kepada kata-kata dusta dan tohmahan yang dilemparkan kepada Saidatina Aishah r.a. yang dituduh melakukan perkara yang tidak baik (berzina) dengan seorang sahabat Nabi bernama Safwan bin Mu’attol ketika pulang daripada peperangan Bani Al-Mustoliq atau juga dikenali sebagai Perang Al-Muraisi’ .

Waktu Berlaku Hadith Al-Ifki (Perang Bani al-Mustoliq

Peperangan Bani Mustaliq berlaku pada bulan Sya’ban tahun kelima hijrah . Sebelum berlaku peperangan ini, datang berita tentang Bani Mustoliq di bawah kepimpinan Al-Harith bin Abi Dharar telah berkumpul dan bersiap sedia untuk memerangi umat Islam. Maka Rasulullah segera memerintahkan umat Islam bersiap sedia menghadapi kabilah tersebut sebelum mereka datang menyerang. Dalam peperangan ini, golongan munafiqin yang sebelum ini sering berdolak-dalik untuk keluar berperang turut serta bersama Rasulullah. Manakala Rasulullah saw pula , sudah menjadi kebiasaan baginda akan melakukan pengundian bagi memilih salah seorang isteri baginda bagi turut sama dalam peperangan. Isteri yang naik undiannya akan terpilih menemani Rasulullah dalam peperangan tersebut. Di dalam peperangan ini, undian kena kepada Saidatina Aishah r.a. dan beliau turut sama dalam peperangan menemani Rasulullah.

Peperangan ini berlaku di Lembah Al-Muraisi’ , tempat berkumpul Bani Al-Mustoliq dan telah berakhir dengan kemenangan bagi kaum muslimin dengan mendapat tawanan yang ramai. Dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas peperangan inilah berlaku peristiwa hadith al-ifki yang merupakan ujian terhebat yang pernah menimpa maruah ahli bait Rasulullah dan umat Islam dalam sejarah. Semua ini hasil propaganda golongan munafiqin dan muslimin yang terpedaya dengan hawa nafsu serta tidak berhati-hati menerima sebarang berita yang tidak pasti.


Hadith Al-Ifki Di Dalam Al-Quran dan As-Sunnah

Hadith Al-Ifki Di dalam al-Quran


Peristiwa Hadith Al-Ifk dicatatkan secara jelas di dalam Al-Quran melalui firmanNya :

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّى كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ * لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ* لَوْلَا جَاءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَئِكَ عِنْدَ اللَّهِ هُمُ الْكَاذِبُون * وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ لَمَسَّكُمْ فِي مَا أَفَضْتُمْ فِيهِ عَذَابٌ عَظِيم ٌ * إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمٌ * وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَتَكَلَّمَ بِهَذَا سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ * يَعِظُكُمُ اللَّهُ أَنْ تَعُودُوا لِمِثْلِهِ أَبَدًا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ * وَيُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ * إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ * وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ وَأَنَّ اللَّهَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ *َ

Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu menyangka bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang daripada mereka akan mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyebaran berita bohong ini, baginya azab yang besar. Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata : “ Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”.Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi,maka mereka itulah di sisi Allah swt orang-orang yang dusta. Sekiranya tidak ada kurnia Allah swt dan rahmatNya kepada kamu semua di dunia dan akhirat, nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar, kerana perbicaraan kamu tentang berita bohong itu. (Ingatlah ) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan apa yang kamu tidak ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja. Padahal ia di sisi Allah swt adalah besar. Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu, : “ Sekali-kali tidak wajar bagi kita memperkatakan hal ini. Maha Suci Engkau Ya Tuhan kami, ini adalah dusta yang besar. Allah swt memperingatkan kamu agar (jangan) kembali memperbuat yang seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman. Dan Allah swt menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu. Dan Allah swt Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar berita perbuatan yang amat keji itu tersebar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah swt mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. Dan sekiranya bukan kerana kurnia Allah swt dan rahmatNya kepada kamu semua, dan Allah swt Maha Penyantun lagi Maha Penyayang,(nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar).”

Hadith Al-Ifki Di Dalam As-Sunnah

Kisah hadith al-ifki ini diceritakan secara terperinci dan diriwayatkan di dalam kebanyakan kitab tafsir dan hadith muktabar termasuk Sohih Bukhari dan Muslim, di mana empat orang sahabat meriwayatkan hadith ini dengan lafaz yang berbeza tetapi maksud yang sama daripada Saidatina Aishah r.a. sendiri dalam hadith yang panjang yang berbunyi:


أن عائشة زوج النبي صلى الله عليه وسلم قالت: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا أراد سفرا أقرع بين نسائه، فأيتهن خرج سهمها خرج بها. قالت عائشة: فأقرع بيننا في غزاة غزاها، فخرج سهمي، فخرجت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وذلك بعد ما أنزل الحجاب، وأنا أحمل في هودجي وأنزل فيه. فسرنا، حتى إذا فرغ رسول الله صلى الله عليه وسلم من غزوه وقفل إلى المدينة، آذن ليلة بالرحيل، فقمت حين آذنوا بالرحيل، فمشيت حتى جاوزت الجيش؛ فلما قضيت شأني، أقبلت إلى الرحل، فلمست صدري، فإذا عقد لي من جزع ظفار قد انقطع، فرجعت فالتمست عقدي، فحبسني ابتغاؤه. وأقبل الرهط الذين كانوا يرحلون لي، فاحتملوا هودجي، فرحلوه على بعيري الذي كنت أركب، وهم يحسبون أني فيه.
قالت: وكانت النساء إذ ذاك خفافا لم يهبلهن ولم يغشهن اللحم، إنما يأكلن العلقة من الطعام. فلم يستنكر القوم ثقل الهودج حين رحلوه ورفعوه، وكنت جارية حديثة السن، فبعثوا الجمل وساروا، فوجدت عقدي بعد ما استمر الجيش، فجئت منازلهم وليس بها داع ولا مجيب. فتيممت منزلي الذي كنت فيه، وظننت أن القوم سيفقدوني ويرجعون إلي. فبينا أنا جالسة في منزلي، غلبتني عيني، فنمت حتى أصبحت. وكان صفوان بن المعطل السلمي ثم الذكواني، قد عرس من وراء الجيش، فادلج فأصبح عند منزلي، فرأى سواد إنسان نائم، فأتاني، فعرفني حين رآني، وكان يراني قبل أن يضرب الحجاب علي، فاستيقظت باسترجاعه حين عرفني، فخمرت وجهي بجلبابي، والله ما تكلمت بكلمة ولا سمعت منه كلمة غير استرجاعه! حتى أناخ راحلته، فوطئ على يديها فركبتها، فانطلق يقود بي الراحلة، حتى أتينا الجيش بعد ما نزلوا موغرين في نحر الظهيرة. فهلك من هلك في شأني، وكان الذي تولى كبره عبد الله بن أُبي ابن سلول.


Bahawa Saidatina Aishah r.a. berkata : “Rasulullah SAW apabila ingin bermusafir melakukan pengudian di antara isteri-isteri baginda, maka sesiapa yang keluar undiannya maka Rasulullah akan ditemani olehnya.

Kata Aishah: Maka kami melakukan pengundian di antara kami dalam satu peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW, kemudian keluarlah undian bagi Aishah.Maka Aishah keluar bersama Rasulullah SAW, dan ketika itu selepas turunnya perintah berhijab. Dan aku berada dalam sekedupku. Maka kami berangkat hingga setelah Rasulullah selesai daripada peperangannya dan ingin kembali ke Madinah, baginda mengizinkan gerombolan untuk berangkat pada waktu malam. Aku berdiri ketika mereka diizinkan untuk berangkat, kemudian berjalan hingga berada agak jauh daripada tentera Islam (untuk menunaikan hajat). Apabila aku selesai menunaikan hajatku, aku kembali ke gerombolan itu. Kemudian aku memegang dadaku,aku dapati kalungku buatan Zafar,Yaman telah terputus. Maka aku berpatah balik dan mencari kalungku dengan harapan menjumpainya . (Dalam masa yang sama) gerombolanku telah berangkat bersama sekedupku dalam keadaan mereka menyangka aku berada di dalamnya.

Aishah berkata : Wanita-wanita pada ketika itu ringan iaitu tidak berat dengan daging dan lemak badan,(kerana) mereka makan sedikit. Maka , mereka tidak merasa perbezaan berat sekedup itu ketika mengalih dan mengangkatnya, dan aku wanita yang masih muda. Maka unta itu dibawa pergi dan mereka pun berangkat. Aku menjumpai kalungku selepas tentera –tentera itu pergi. Aku kembali ke penempatan gerombolan tadi, tetapi tiada lagi sesiapa yang tinggal. Aku kembali ke tempat rehatku sebelum ini dengan harapan gerombolan itu akan menyedari kehilanganku dan kembali kepadaku.

Ketika aku duduk di situ, aku merasa mataku amat mengantuk dan aku tertidur hingga ke subuh. Manakala Safwan bin al-Mu’attol al-Salmy al-Zakwany yang berehat atau tidur pada akhir malam di belakang tentera Islam (kerana sesuatu hajat) , pagi itu sampai di tempatku berehat dan dia melihat ada bayang manusia sedang tidur dan dia mendekatiku lantas mengenaliku apabila melihatku kerana dia pernah melihatku sebelum aku memakai hijab. Kemudian, aku terjaga kerana mendengar istirja’nya (membaca Inna lillah wa inna ilaihi raji’un) ketika dia mengecamku. Lantas , dia membawa haiwan tunggangannya dan mendudukkannya, lalu aku menaiki tunggangannya itu. Dia memimpin tunggangannya hinggalah kami tiba di tempat tentera Islam berehat pada waktu tengah hari yang sangat panas, lalu musnahlah segala-galanya tentang diriku ( menjadi buah mulut orang) dan orang yang bertanggungjawab membesar-besarkan ialah Abdullah bin Ubai bin Salul.


فقدمنا المدينة فاشتكيت شهرا، والناس يقبضون في قول أهل الإفك ولا أشعر بشيء من ذلك، وهو يريبني في وجعي أني لا أعرف من رسول الله الله اللطف الذي كنت أرى منه حين أشتكي، إنما يدخل فيسلم ثم يقول: "كيف تيكم؟ " فذلك يريبني، ولا أشعر بالشر. حتى خرجت بعد ما نقهت، فخرجت مع أم مسطح قبل المناصع، وهو متبرزنا، ولا نخرج إلا ليلا إلى ليل، وذلك قبل أن نتخذ الكنف قريبا من بيوتنا، وأمرنا أمر العرب الأول في التنزه، وكنا نتأذى بالكنف أن نتخذها عند بيوتنا. فانطلقت أنا وأم مسطح، وهي ابنة أبي رهم بن عبد المطلب بن عبد مناف، وأمها ابنة صخر بن عامر، خالة أبي بكر الصديق، وابنها مسطح بن أثاثة بن عباد بن المطلب. فأقبلت أنا وابنة أبي رهم قبل بيتي حين فرغنا من شأننا، فعثرت أم مسطح في مرطها، فقالت: تعس مسطح! فقلت لها: بئس ما قلت! أتسبين رجلا قد شهد بدرا؟ فقالت أي هنتاه، أو لم تسمعي ما قال؟ قلت: وما قال؟ فأخبرتني بقول أهل الإفك، فازددت معرضا على مرضي. فلما رجعت إلى منزلي، ودخل علي رسول الله صلى الله عليه وسلم ، ثم قال: "كيف تيكم؟ " فقلت: أتأذن لي أن آتي أبوي؟ قال: "نعم". قالت: وأنا حينئذ أريد أن أستثبت الخبر من قبلهما. فأذن لي رسول الله صلى الله عليه وسلم، فجئت أبوي، فقلت لأمي: أي أمتاه، ماذا يتحدث الناس؟ فقالت: أي بنية، هوني عليك! فوالله لقلما كانت امرأة قط وضيئة عند رجل يحبها ولها ضرائر، إلا أكثرن عليها. قالت: قلت: سبحان الله، أو قد تحدث الناس بهذا وبلغ رسول الله صلى الله عليه وسلم؟ قالت: نعم، فبكيت تلك الليلة حتى أصبحت لا يرقأ لي دمع ولا أكتحل بنوم، ثم أصبحت، فدخل علي أبو بكر وأنا أبكي، فقال لأمي: ما يبكيها؟ قالت: لم تكن علمت ما قيل لها. فأكب يبكي، فبكى ساعة، ثم قال: اسكتي يا بنية! فبكيت يومي ذلك لا يرقأ لي دمع ولا أكتحل بنوم، ثم بكيت ليلي المقبل لا يرقأ لي دمع ولا أكتحل بنوم، ثم بكيت ليلتي المقبلة لا يرقأ لي دمع ولا أكتحل بنوم، حتى ظن أبواي أن البكاء سيفلق كبدي.


Kami sampai di Madinah, kemudian aku jatuh sakit sebulan lamanya setelah tiba di Madinah . Dan orang ramai sibuk membicarakan tentang kata-kata dusta itu, sedangkan aku tidak mengetahui apa-apa tentang perkara itu, tetapi apa yang meragukan aku ialah aku mendapati Rasulullah tidak menunjukkan kelembutannya (perhatiannya) yang biasanya diberikan jika aku mengadu sakit. Rasulullah masuk menemuiku dan memberi salam kemudian berkata : “ Bagaimana keadaanmu?” . Ini meragukanku dan aku tidak mengesyaki sesuatu yang buruk, sehinggalah aku keluar bersama Ummu Mistoh untuk menunaikan hajat dan biasanya kami keluar pada waktu malam. Itu adalah sebelum kami menyediakan tempat berdekatan rumah kami dan kami mengikut kebiasaan Arab terdahulu dalam membersihkan diri (kerana) kami tidak selesa dengan tempat yang diletakkan berdekatan dengan rumah kami.

Maka aku dan Ummu Mistoh,( anak perempuan Abi Rahm bin al-Muttalib bin Abd Manaf ,dan ibunya anak perempuan Sakhar bin Amir ibu saudara Abu Bakar as-Siddiq,dan anaknya Mastoh bin Uthathah bin Ubad bin Al-Muttalib) pergi menunaikan hajat. Dalam perjalanan pulang menuju ke rumahku selepas selesai urusan kami, Ummu Mistoh terjatuh kerana terpijak bajunya, dan dia berkata: “ Celaka Mastoh!” .Maka aku berkata kepadanya :”Alangkah buruknya apa yang kau katakan itu! Adakah kau mencela lelaki yang menyertai Perang Badar?” . Kata Ummu Mistoh :”Aduhai, adakah kau tidak mendengar apa yang diperkatakannya?” Aku berkata : “Apa yang diperkatakannya?” Kata Ummu Mistoh: Dia pun menceritakan tentang tohmahan yang diperkatakan , maka sakitku menjadi bertambah teruk.
Apabila aku pulang ke rumahku, Rasulullah SAW masuk menemuiku dan bertanya “ Bagaimana keadaan mu?” . Aku berkata: “ Adakah Rasulullah izinkan aku balik ke rumah orang tuaku?”.

Kata Aishah: Aku pada ketika itu ingin mengesahkan berita itu daripada mereka. Maka Rasulullah mengizinkan aku dan aku menemui kedua ibubapaku. Aku berkata kepada ibuku:” Wahai ibuku, apakah yang diperkatakan oleh orang ramai?”. Ibuku berkata: “ Wahai anakku, demi Allah, mana-mana wanita jelita yang disayangi suaminya dan memiliki madu,orang akan memperkatakan tentang dirinya. “ Aku berkata : “ Subhanallah! Adakah mereka memperkatakan begitu dan telah sampai kepada Rasulullah SAW?”. Ibuku menjawab : “Benar”. Aku menangis sepanjang malam itu hingga ke Subuh, hingga aku rasa habis air mata untuk menangis dan aku tidak bercelak sebelum tidur. Pagi itu, Abu Bakar masuk dan aku sedang menangis. Beliau bertanya kepada ibuku: “Apa yang menyebabkannya menangis?’.Ibuku berkata: “ Dia tidak mengetahui apa yang telah diperkatakan orang tentang dirinya.”Aku menangis lagi, kemudian bapaku berkata :”Diamlah, wahai anakku” . Aku menangis tidak berhenti-henti dan aku tidak bercelak untuk tidur pada malam seterusnya, kemudian aku menangis lagi pada malam seterusnya hingga hampir kering air mataku dan aku tidak bercelak untuk tidur malam seterusnya lagi , hingga kedua ibu bapaku merasa hampir-hampir tangisanku memecahkan dadaku.”


فدعا رسول الله صلى الله عليه وسلم علي بن أبي طالب وأسامة بن زيد، حين استلبث الوحي، يستشيرهما في فراق أهله؛ قالت: فأما أسامة، فأشار على رسول الله صلى الله عليه وسلم بالذي يعلم من براءة أهله وبالذي في نفسه من الود، فقال: يا رسول الله، هم أهلك، ولا نعلم إلا خيرا. وأما علي فقال: لم يضيق الله عليك، والنساء سواها كثير، وإن تسأل الجارية تصدقك، يعني بريرة. فدعا رسول الله صلى الله عليه وسلم بريرة، فقال: "هل رأيت من شيء يريبك من عائشة؟ " قالت له بريرة: والذي بعثك بالحق، ما رأيت عليها أمرا قط أغمصه عليها، أكثر من أنها حديثة السن تنام عن عجين أهلها فتأتي الداجن فتأكله! فقام النبي صلى الله عليه وسلم خطيبا، فحمد الله وأثنى عليه بما هو أهله، ثم قال: "من يعذرني ممن قد بلغني أذاه في أهلي؟ " يعني عبد الله بن أُبي ابن سلول. وقال رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو على المنبر أيضا: "يا معشر المسلمين، من يعذرني من رجل قد بلغني أذاه في أهلي؟ فوالله ما علمت على أهلي إلا خيرا، ولقد ذكروا رجلا ما علمت عليه إلا خيرا، وما كان يدخل على أهلي إلا معي!" فقام سعد بن معاذ الأنصاري، فقال: أنا أعذرك منه يا رسول الله، إن كان من الأوس ضربنا عنقه، وإن كان من إخواننا الخزرج أمرتنا ففعلنا أمرك. فقام سعد بن عبادة، فقال، وهو سيد الخزرج، وكان رجلا صالحا، ولكن احتملته الحمية، فقال: أي سعد بن معاذ، لعمر الله لا تقتله، ولا تقدر على قتله! فقام أسيد بن حضير، وهو ابن عمة سعد بن معاذ، فقال لسعد بن عبادة: كذبت، لعمر الله لنقتلنه، فإنك منافق تجادل عن المنافقين! فثار الحيان: الأوس والخزرج، حتى هموا أن يقتتلوا، ورسول الله صلى الله عليه وسلم قائم على المنبر، فلم يزل رسول الله صلى الله عليه وسلم يخفضهم حتى سكتوا.

Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid ketika wahyu tidak turun-turun ,untuk meminta pendapat mereka berdua tentang perpisahan dengan isterinya.Aishah berkata: Usamah memberi pendapat kepada Rasulullah SAW berdasarkan kepada pengetahuannya bahawa isteri baginda bebas dari tohmahan dan dengan sifat pengasih yang ada pada dirinya berkata :”Wahai Rasulullah, dia adalah isterimu. Dan kami tidak mengetahui tentang dirinya melainkan perkara yang baik-baik sahaja.” Manakala Ali pula berkata :” Allah tidak menyusahkanmu. Wanita selainnya masih ramai. Sekiranya engkau bertanya kepada jariah (iaitu Barirah) tentu dia akan berkata benar kepadamu. “ Maka Rasulullah pun memanggil Barirah dan bertanya: “ Adakah kamu lihat sesuatu yang meragukanmu pada Aishah?”. Jawab Barirah: “Demi Tuhan yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak melihat sesuatu perkara pun yang meragukan padanya, paling tidak pun dia masih muda. Dia pernah tertidur ketika menjaga masakan keluarganya sehingga tidak sedar kambing dating memakan makanan itu!”

Rasulullah SAW pun bangun berkhutbah, memuji Allah dengan pujian yang selayaknya, kemudia bersabda: “Wahai kaum muslimin, siapakah yang akan memohon maaf kepadaku kerana sampai kepadaku kata-katanya tentang keluargaku? Demi Allah, aku tidak tahu tentang isteriku melainkan perkara yang baik sahaja. Begitu juga mereka memperkatakan tentang lelaki (Safwan) yang tidak aku ketahui tentang dirinya melainkan yang baik, dan dia tidak pernah masuk ke rumahku melainkan aku bersamanya.”

Maka bangun Saad bin Muaz Al-Ansori dan berkata :’ Saya memohon maaf kepadamu, wahai Rasulullah.Sekiranya dia dari kaum Aus, kami akan penggal kepalanya dan sekiranya dia dari kaum Khazraj, arahkan kami dan kami akan patuhi arahan mu.” Kemudian bangun Saad bin Ubadah yang merupakan pemimpin kabilah Khazraj dan merupakan lelaki yang soleh tetapi telah dipengaruhi sikap perkauman : “ Wahai Saad, demi Allah, kamu tidak akan membunuhnya dan kamu juga tidak mampu untuk membunuhnya!”. Maka bangun Usaid bin Khudhoir, sepupu Saad bin Muaz, lalu berkata kepada Saad bin Ubadah :”Demi Allah, kami akan membunuhnya, kamu munafiq yang mempertahankan orang munafiq!”. Keadaan gawat antara Aus dan Khazraj hingga hampir ingin berbunuhan, sedangkan Rasulullah masih berada di atas mimbar. Rasulullah terpaksa menenangkan mereka sehingga mereka semua diam.


ثم أتاني رسول الله صلى الله عليه وسلم وأنا في بيت أبوي، فبينا هما جالسان عندي وأنا أبكي، استأذنت علي امرأة من الأنصار، فأذنت لها، فجلست تبكي معي؛ قالت: فبينا نحن على ذلك دخل علينا رسول الله صلى إليه في شأني بشيء ، ثم جلس عندي الله عليه وسلم ، ولم يجلس عندي منذ قيل ما قيل، وقد لبث شهرا لا يوحى ؛ قالت: فتشهد رسو ل الله صلى الله عليه وسلم حين جلس، ثم قال: "أما بعد يا عائشة فإنه بلغني عنك كذا وكذا، فإن كنت بريئة فسيبرئك الله، وإن كنت ألممت بذنب، فاستغفري الله، وتوبي إليه، فإن العبد إذا اعترف بذنبه ثم تاب تاب الله عليه". فلما قضى رسول الله صلى الله عليه وسلم مقالته، قلص دمعي، حتى ما أحسن منه دمعة؛ قلت لأبي: أجب عني رسول الله صلى الله عليه وسلم فيما قال! قال: والله ما أدري ما أقول لرسول الله صلى الله عليه وسلم فقلت لأمي: أجيبي عني رسول الله صلى الله عليه وسلم ! قالت: والله ما أدري ما أقول لرسول الله صلى الله عليه وسلم فقلت وأنا جارية حديثة السن لا أقرأ كثيرا من القرآن: إني والله لقد عرفت أن قد سمعتم بهذا، حتى استقر في أنفسكم، حتى كدتم أن تصدقوا به، فإن قلت لكم: إني بريئة والله يعلم أني بريئة، لا تصدقوني بذلك، ولئن اعترفت لكم بأمر والله يعلم أني منه بريئة، لتصدقني، وإني والله ما أجد لي ولكم مثلا إلا كما قال أبو يوسف: {والله المستعان على ما تصفون} [يوسف: 18] ثم توليت واضطجعت على فراشي، وأنا والله أعلم أني بريئة وأن الله سيبرئني ببراءتي، ولكني والله ما كنت أظن أن ينزل في شأني وحي يتلى، ولشأني كان أحقر في نفسي من أن يتكلم الله في بأمر يتلى، ولكن كنت أرجو أن يرى رسول الله صلى الله عليه وسلم في المنام رؤيا يبرئني الله بها.

Kemudian,Rasulullah SAW dating kepadaku ketika aku di rumah ibu bapaku. Ketika mereka berdua duduk di sisiku dan aku menangis, datang seorang wanita Ansor meminta izin bertemu denganku dan aku izinkannya, lalu dia duduk menangis bersamaku. Aishah berkata lagi :Ketika kami dalam keadaan begitu, Rasulullh SAW masuk bertemu kami. Baginda tidak duduk di sisiku sejak orang memperkatakan tentang berita itu, dan telah berlalu sebulan wahyu tidak turun, kemudian baginda duduk di sisiku.

Aishah berkata: Rasulullah bertasyahhud ketika baginda duduk , lalu bersabda: “ Wahai Aishah, telah sampai kepadaku tentang dirimu begitu dan begini. Sekiranya engkau bebas, maka Allah akan membebaskanmu, dan sekiranya dirimu berdosa, beristighfar dan bertaubatlah kepada Allah . Sesungguhnya seseorang hamba jika mengakui dosanya kemudian bertaubat , Allah akan mengampuninya. Apabila Rasulullah selesai berkata-kata, mengalir air mataku hingga aku tak mampu menangis lagi, aku berkata kepada bapaku: “ Jawablah bagi pihakku kepada Rasulullah SAW.” Bapaku berkata: “ Demi Allah, aku tidak tahu apa yang mesti aku perkatakan kepada Rasulullah SAW.” Lalu aku berkata kepada ibuku :”Jawablah kepada Rasulullah SAW untukku”. Ibuku berkata: ‘ Demi Allah, aku tidak mengetahui apa yang perlu aku perkatakan kepada Rasulullah SAW.

Aku berkata: “Aku wanita yang masih remaja, tidak banyak membaca Al-Quran. Sesungguhnya, Demi Allah aku mengetahui engkau telah mendengar tentang ini hingga membekas dalam dirimu, hingga engkau pun seolah-olah mempercayainya. Sekiranya aku mengatakan aku bebas ,yang Allah mengetahui aku memang bebas, tetapi engkau tidak mempercayainya. Sekiranya aku mengakui perkara itu, yang Allah mengetahui bahawa aku bebas, ,engkau tentu akan percaya. Sesungguhnya Demi Allah, aku tidak ada contoh melainkan sebagaimana kata-kata bapa Yusuf (Nabi Yaaqub):” Maka kesabaran yang baik itulah kesabaranku“ . Kemudian aku berpaling dan berbaring di pembaringanku, sesungguhnya demi Allah aku bebas dan Allah akan membebaskanku, tetapi aku tidak menyangka wahyu akan turun sebagai ayat Al-Quran yang dibaca, kerana aku merasa kerdil untuk Allah membicarakan tentang diriku melalui ayat yang dibaca, tetapi aku berharap wahyu turun kepada Rasulullah tentang diriku dalam bentuk mimpi yang dialami oleh Rasulullah di dalam tidurnya yang membebaskan aku dari tohmahan ini .

قالت: والله ما رام رسول الله صلى الله عليه وسلم مجلسه ولا خرج من البيت أحد حتى أنزل الله على نبيه، فأخذه ما كان يأخذه من البرحاء عند الوحي، حتى إنه ليتحدر منه مثل الجمان من العرق في اليوم الشاتي من ثقل القول الذي أنزل عليه. قالت: فلما سري عن رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو يضحك، كان أول كلمة تكلم بها أن قال: "أبشري يا عائشة، إن الله قد برأك!" فقالت لي أمي، قومي إليه! فقلت: والله لا أقوم إليه، ولا أحمد إلا الله، هو الذي أنزل براءتي. فأنزل الله: {إن الذين جاءوا بالإفك عصبة منكم} عشر آيات، فأنزل هذه الآيات براءة لي. قالت: فقال أبو بكر، وكان ينفق على مسطح لقرابته وفقره: والله لا أنفق عليه شيء أبدا بعد الذي قال لعائشة! قالت: فأنزل الله: {ولا يأتل أولوا الفضل منكم والسعة} [النور: 22] . حتى بلغ: {غفور رحيم} [النور: 22] فقال أبو بكر: إني لأحب أن يغفر الله لي. فرجع إلى مسطح النفقة التي كان ينفق عليه، وقال: لا أنزعها منه أبدا. قالت عائشة: وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يسأل زينب بنت جحش عن أمري وما رأت وما سمعت، فقالت: يا رسول الله، أحمي سمعي وبصري، والله ما رأيت إلا خيرا. قالت عائشة: وهي التي كانت تساميني، فعصمها الله بالورع، وطفقت أختها حمنة تحارب فهلكت فيمن هلك.
قال الزهري بن شهاب: هذا الذي انتهى إلينا من أمر هؤلاء الرهط.

Aishah berkata: Demi Allah, Rasulullah tidak berganjak dari tempat duduknya dan tiada seorang pun yang keluar dari rumah kami sehingga Allah menurunkan wahyu kepada NabiNya. Kemudian baginda mengambil apa yang biasa digunakan ketika turunnya wahyu, sehingga baginda bercucuran peluh seumpama berlian pada musim sejuk dek kerana beratnya wahyu yang turun kepada baginda.

Aishah berkata:Apabila selesai, Rasulullah ketawa,dan perkataan pertama yang keluar daripada Rasulullah ialah: “ Bergembiralah , wahai Aishah, sesungguhnya Allah telah membebaskanmu!” Maka ibuku berkata kepadaku: “Bangunlah kepada Rasulullah”. Aku berkata : “ Demi Allah, aku tidak bangun kepadanya dan aku tidak memuji selain Allah.Dia yang menurunkan ayat membebaskanku.” Allah telah menurunkan ayat :
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُم )ْ ( ( yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga”) sepuluh ayat , dan ayat ini turun untuk membebaskan aku (dari tohmahan).

Aishah berkata : Abu Bakar yang sebelum ini memberi nafkah kepada Mistoh kerana hubungan kerabat dan kemiskinannya berkata: “ Demi Allah, aku tidak akan membelanjakan sesuatu untuknya selama-lamanya selepas apa yang dikatakan Mistoh terhadap Aishah!”
Aishah berkata: Maka turunlah ayat : “
وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Yang bermaksud : “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di aantara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kerabatnya, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “

Abu Bakar berkata: “ Aku mahu Allah mengampuniku.” Maka beliau mengembalikan nafkah yang sebelum ini diberi kepada Mistoh dan berkata: “ Demi Allah, aku tidak akan menariknya daripada Mistoh selama-lamanya.”

Aishah berkata : Rasulullah bertanya Zainab binti Jahsy tentang diriku,mengenai apa yang dilihat dan didengarinya. Zainab berkata: “ Wahai Rasulullah, aku menjaga pandanganku dan pendengaranku. Aku tidak melihat tentang dirinya melainkan yang baik.” Kata Aishah: Zainab membelaku, dan Allah memeliharanya dengan sifat wara’. Sebaliknya saudara perempuannya Hamnah memerangiku, dan dia musnah bersama orang-orang yang musnah.


Hukum –hakam berkaitan peristiwa Hadith Al-Ifki:

Terdapat beberapa hukum-hakam penting berkaitan peristiwa hadith al-ifki ini yang mesti diketahui. Antaranya seperti berikut:

Pertama : Hukuman bagi Orang Yang Menuduh Seseorang Berzina Tanpa Bukti (Qazaf)

Maksud Qazaf ialah : Menuduh seseorang yang muhson berzina atau menafikan nasabnya. Hukum qazaf adalah haram dan qazaf merupakan salah satu daripada dosa besar. Hukuman had qazaf adalah disyariatkan berdasarkan dalil daripada ayat:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُون

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik berbuat zina dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu terima kesaksiannya selama-lamanya . Dan mereka itulah orang yang fasiq.“ َ

Dalam satu hadith berkenaan hadith al-ifki dalam riwayat yang lain, ada disebutkan bahawa Rasulullah menjatuhkan hukuman had qazaf kepada orang yang menuduh Saidatina Aishah berzina, berbunyi :

عن عائشة رضى الله عنها قالت : لما نزل عذري قام رسول الله صلى الله عليه وسلم على المنبر، فذكر ذلك وتلا القرآن، فلما نزل أمر برجلين وامرأة فضربوا الحد
.

Maksudnya:Daripada Aishah r.a. berkata: “Apabila turun ayat tentang kebebasanku, Rasulullah berdiri di atas mimbar, dan menyebut perkara itu dan membaca ayat Al-Quran (yang turun kerana peristiwa itu) .Apabila baginda turun, baginda menyuruh ( membawa ) dua orang lelaki dan seorang perempuan , lalu dijatuhkan hukuman had (qazaf).

Apabila turunnya ayat, Rasulullah telah menyuruh agar dibawa dua orang lelaki ,iaitu Hasan bin Thabit dan Mastoh bin Uthathah, dan seorang wanita , iaitu Hamnah binti Jahsy dan mereka dihukum dengan had qazaf iaitu disebat sebanyak 80 sebatan.

Berdasarkan zahir hadith, qazaf hanya thabit kepda tiga orang sahaja dan Abdullah bin Ubai bin Salul yang mempelopori fitnah itu tidak thabit dalam hadith bahawa dia dijatuhi hukuman had qazaf.


Syarat-syarat dijatuhi hukuman had qazaf ialah :

Orang yang menuduh mestilah mukallaf, iaitu berakal, baligh dan tidak dipaksa.
Oleh itu, tidak dikenakan hukuman had bagi penuduh yang gila, belum baligh atau dipaksa.

Orang yang dituduh mestilah muhson , iaitu orang Islam yang merdeka, berakal, suci (tidak pernah berzina), dan boleh melakukan jima’.
Tidak jatuh hukuman jika yang tertuduh tidak cukup syarat muhson, seumpama orang gila, kanak-kanak, hamba, kafir dan tidak boleh bersetubuh kerana masih kecil, atau tidak memiliki kemaluan. Walau bagaimanapun, sekiranya seorang yang dituduh biasa melakukan perkara yang meragukan seperti mendedahkan aurat, bebas bergaul dengan yang bukan mahram, dan pergi ke tempat-tempat maksiat boleh menggugurkan had qazaf.

Orang yang menuduh bukan bapa, ibu,datuk atau nenek kepada yang dituduh.
Ini kerana qazaf adalah hak manusia, maka tidak boleh dihukum bapa yang menuduh anak sebagaimana tidak boleh qisas kepada bapa yang membunuh anak. Tetapi sekiranya anak menuduh ibu atau ayahnya berzina, bolah dijatuhkan had qazaf. Manakala sekiranya suami menuduh isteri berzina, boleh dijatuhi had qazaf melainkan dia melakukan li’an. Suami yang melakukan li’an akan tergugur daripada had qazaf , dan isteri bolah dijatuhi had zina , kecuali dia melawan dengan melakukan li’an juga.Sekiranya isteri melakukan li’an juga, gugur had zina ke atasnya, maka anak itu tidak dinasabkan kepada suaminya dan suami isteri itu dipisahkan serta tidak boleh kembali bersama selama-lamanya.

Menuduh dengan tuduhan zina yang mewajibkan kena hukuman, iaitu secara jelas (sorih), bukan kinayah (sindiran atau kiasan). Ini adalah mengikut pendapat jumhur fuqaha’ kecuali Imam Malik yang mewajibkan hukuman had qazaf kepada penuduh secara jelas atau sindiran.Imam Syafie pula berpendapat hukuman had dijatuhkan jika tuduhan secara jelas dan kinayah jika disertai dengan niat.

Tidak mendatangkan empat orang saksi sebagai bukti.
Sekiranya , penuduh dapat membawa empat orang saksi, gugur had qazaf darinya.

Kedua : Hukum dan Bahaya Golongan Munafikin

Berdasarkan peristiwa hadith al-ifki ini juga, terdapat beberapa hukum berkaitan golongan munafikin. Allah menyebut tentang bahaya golongan munafikin dan sifat-sifat mereka di dalam Al-Quran secara jelas sehingga terdapat satu surah khusus tentang mereka iaitu Surah Al-Munafiqun.

Maksud munafik ialah : Menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran.

Tanda-tanda orang munafik turut disebut dalam hadith , antaranya:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : آية المنافق ثلاث: اذا حدث كذب ، واذا وعد أخلف ، واذا أئتمن خان . (متفق عليه )
ومن حديث عبد الله بن عمر رضي الله عنهما : اذا خاصم فجر.

Maksudnya : Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata : Bahawa Rasulullah SAW bersabda “:Tanda munafiq itu tiga : Apabila bercakap dia berdusta, dan apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianat.” (Muttafaq Alaih) .Dan daripada hadith riwayat Abdullah bin Umar r.a. : “Apabila bertengkar dia melampaui batas.”

As-Son’ani menyebut bahawa sesiapa yang memiliki sifat yang disebut di dalam hadith ini diitlaq sifat munafik secara majaz, walaupun hatinya tidak kufur kerana sifat-sifat ini merupakan sifat munafikin pada zaman Rasulullah SAW. Namun , hadith ini merupakan peringatan Allah supaya orang Islam tidak mencapai tahap nifaq yang sebenarnya. Justeru, sifat-sifat di atas perlu dihindari oleh setiap orang Islam.

Dalam peristiwa hadith al-ifki, telah terzahir tembelang golongan munafikin yang sebenar terhadap Rasulullah dan Islam, khususnya Abdullah bin Ubai, pemimpin golongan Munafikin. Namun, timbul persoalan, mengapa Abdullah bin Ubai tidak dikenakan had qazaf sedangkan dia yang mempelopori cerita bohong itu? Di dalam kitab Zad Al- Ma’ad , Ibnu Qayyim Al-Jauziah menyebutkan bahawa terdapat beberapa pendapat mengapa ketua munafikin itu tidak dikenakan had qazaf, iaitu:

• Hudud meringankan orang yang melakukan dosa, sedangkan Abdullah bin Ubai tidak layak menerima keringanan kerana Allah telah menjanjikan azab yang pedih di akhirat kepadanya
• Abdullah bin Ubai mereka cerita, menghimpunkan dan menyampaikannya, tetapi cerita ini dikeluarkan oleh orang lain tanpa disandarkan asal cerita itu kepadanya
• Hudud tidak thabit melainkan dengan pengakuan atau bukti, sedangkan Abdullah bin Ubai tidak mengaku dan tiada saksi kerana dia menyebut cerita itu di hadapan kawan-kawannya (munafikin), bukan di depan orang-orang mukmin.
• Had qazaf adalah hak manusia, maka ia tidak dilaksanakan melainkan dengan tuntutan daripada yang diqazaf, dan Aishah tidak menuntut supaya dia dikenakan had qazaf
• Dia tidak dihukum kerana menjaga maslahah yang lebih besar, sama dengan sebab dia tidak dibunuh walaupun terzahir nifaq dan kata-kata yang mewajibkannya untuk dibunuh, iaitu maslahah menjaga hati kaumnya supaya tidak lari daripada Islam kerana Abdullah bin Ubai merupakan pimpinan yang ditaati. Sekiranya dia dihukum, kemungkinan akan berlaku fitnah atau timbul kekacauan di kalangan mereka dan umat Islam.

Ibnu Qaiyyim mengatakan kemungkinan Abdullah bin Ubai tidak dihukum had qazaf kerana semua sebab di atas. Namun, pendapat yang terakhir ini turut dipersetujui oleh Dr. Muhamad Said Ramadhan al-Buti, kerana dalam peperangan Al-Muraisi’ juga berlaku suatu peristiwa pergaduhan antara dua orang hamba, satu dari golongan Ansar dan satu dari golongan Muhajirin, hingga menyebabkan hampir berlaku pembunuhan antara golongan Muhajirin dan Ansor akibat hasutan golongan munafikin. Peristiwa ini menyebabkan Abdullah bin Ubai sangat marah sehingga berkata : “ Apabila kita kembali ke Madinah , kita akan mengeluarkan yang siapa lebih mulia (Ansor) daripada siapa yang lebih hina (Rasulullah dan Muhajirin).” Kata-kata ini didengari oleh seorang pemuda mukmin bernama Zaid bin Arqam, dan dia mengadu kepada Rasulullah SAW. Umar Al-Khattab yang bersama Rasulullah berkata: “ Wahai Rasulullah , suruhlah Ubad bin Basyar supaya memenggal kepalanya ( Abdullah bin Ubai)!” . Rasulullah bersabda: “Bagaimana sekiranya manusia mengatakan bahawa Muhammad membunuh sahabatnya?”

Hadith ini secara tidak langsung memberi isyarat bahawa tindakan Rasulullah SAW tidak membunuh Abdullah bin Ubai juga seiring dengan sebab baginda tidak menghukum had qazaf kepadanya.

Ketiga : Keutamaan Para Sahabat r.a dan Ahlul Bait Rasulullah SAW dan Hukum Mencela Mereka

Keutamaan Para Sahabat r.a.

Para sahabat r.a mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah dan RasulNya. Sifat-sifat mereka diabadikan di dalam wahyu Ilahi yang berbunyi :

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيما

Maksudnya: “Muhammad itu utusan Allah dan orang-orang yang bersamanya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih-sayang sesama mereka, kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka tampak pda muka mereka dari bekas sujud.Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Injil,, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya,tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang mukmin). Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka dengan ampunan yang besar."

Begitu juga di dalam ayat yang lain , Allah berfirman dengan menjanjikan keredhaan dan ganjaran syurga kepada mereka:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Orang-orang yang terdahulu lagi mula-mula memeluk Islam di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka itu kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.”

Selain itu, Rasulullah ada bersabda:
خير النلس قرنى ثم الذى يلونهم ، ثم الذى يلونهم ، ثم يجىء قوم تسبق شهادة أحدهم يمينه ، ويمينه شهادته.


Maksudnya : “ Sebaik-baik manusia kurunku, kemudian selepasnya, kemudian selepasnya.kemudian dating kaum yang persaksian mereka mendahului sumpah mereka, dan sumpah mereka persaksian mereka.”


Hukum Mencela Sahabat radhiallahu ‘anhum

Rasulullah SAW bersabda :

لا تسبوا أصحابي فان أحدكم لو أنفق مثل أحد ذهبا ما أدرك مد أحدهم ولا نصيفه
.
Maksudnnya : “ Jangan mencela sahabat-sahabatku, sesungguhnya seseorang daripada kamu, sekiranya membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud tidak akan menyamai secupak seorang pun daripada mereka ataupun setengahnya.”

Para ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah ijma’ mengatakan bahawa wajib bagi setiap muslim mengithbatkan sifat adil kepada sahabat Rasulullah dan mengelakkan diri daripada mencela mereka, bahkan sepatutnya memuji mereka kerana Allah dan RasulNya memuji mereka.

Pengajaran Hadith Al-Ifki Kepada Umat Islam

Pertama: Berhati-hati Terhadap Berita yang Tidak Pasti Kesahihannya dan Bahaya Buruk Sangka

Peristiwa hadith Al-Ifki ini memberi pengajaran kepada orang mukimn agar berhati-hati dengan berita yang tidak dipastikan kesahihannya, dan bahaya buruk sangka lebih-lebih lagi berkaitan dengan maruah orang-orang mukmin yang tidak berdosa. Allah telah berfirman di dala surah Al-Hujurat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْم
ٌ
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.”

Rasulullah juga ada berpesan :

عن أبي هريرة : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " اياكم والظن فان الظن أكذب الحديث
"
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah Saw bersabda: “ Hindarilah prasangka, sesungguhnya prasangka itu sedusta-dusta perkataan.”

Az-zon ialah apa yang terlintas pada diri yang kemungkinan betul, dan kemungkinan salah , kemudian menghukum dan bergantung kepada sangkaan itu. Al-Zamhasyri membahagikan az-zon kepada beberapa bahagian:
Wajib : iaitu bersangka baik kepada Allah , dan kepada mukmin yang zahirnya bersifat adil. Oleh itu, haram untuk bersangka buruk dalam keadaan ini (seperti maksud hadith).
Sunat : iaitu bersangka baik kepada orang yang zahirnya adil di kalangan orang Islam.
Harus : Contohnya kata-kata Abu Bakar kepada Aishah : “Mereka berdua saudara lelaki atau saudara perempuanmu “ apabila mengagak jantina anak di dalam kandungan isterinya.
Dikira harus juga bersangka buruk kepada orang yang sudah mahsyur di kalangan orang ramai sentiasa bercampur gaul dengan perkara yang meragukan dan terang-terangan melakukan perkara yang tercela. Oleh itu , tidak haram bersangka buruk kerana dia telah menunjukkan sendiri keburukannya, sama seperti jika sesiapa yang pergi ke tempat yang tidak elok akan dipandang serong dan sesiapa yang menutup keburukannya disangka baik.

Kesimpulannya, perkara yang membezakan antara zon yang dibolehkan dan zon yang tidak dibolehkan ialah setiap yang tidak mempunyai petanda yang sahih dan sebab yang zahir, maka haram bersangka buruk. Contohnya , sekiranya orang yang disangka itu dikenali memiliki sifat yang baik, zahirnya amanah, maka haram zon khianat dan fasad padanya, berbeza dengan orang yang masyhur melakukan perkara yang meragukan, maka hukumnya adalah sebaliknya.

Suatu yang tidak dapat digambarkan bagaimana manusia sanggup menyangka buruk kepada isteri Rasulullah SAW, buah hati baginda yang dididik sebaiknya di dalam madrasah tarbiyah Rasulullah dan terpelihara dengan akhlak mulia, sehingga sanggup menuduh beliau berzina hanya kerana satu peristiwa yang tidak pasti sebab-musababnya? Oleh itu , Allah menempelak golongan ini dan mengajar mereka bagaimana akhlak sebenar sebagai seorang mukmin sepertimana Allah berfirman di dalam surah An-Nur ,ayat 16:

وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَتَكَلَّمَ بِهَذَا سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ

Maksudnya : “Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu, : “ Sekali-kali tidak wajar bagi kita memperkatakan hal ini. Maha Suci Engkau Ya Tuhan kami, ini adalah dusta yang besar.”

Selain itu, dalam keadaan seumpama itu, seharusnya orang-orang mukmin mencontohi sikap Abu Ayyub Al-Ansori dan isterinya Ummu Ayyub apabila mendengar mengenai hadith al-ifki seperti yang dikisahkan dalam kitab-kitab sirah tentang perbualan mereka:

Ummu Ayub bertanya kepada suaminya: “Adakah engkau dengar apa yang diceritakan orang tentang Aishah? Abu Ayub menjawab: “ Ya , dan itu semua bohong. Adakah engkau akan melakukan sedemikian, wahai Ummu Ayub?” Ummu Ayub menjawab:” Tidak. Aku tidak akan berbuat sebegitu.”Abu Ayub berkata :” Demi Allah, Aishah lebih baik daripadamu.”

Sikap Abu Ayyub dan isterinya membuktikan ma’rifah mereka terhadap Allah dan RasulNya dengan meletakkan kemuliaan yang selayaknya terhadap bait an-nubuwwah. Seorang mukmin sepatutnya menganggap bahawa pemimpin orang beriman tidak kurang daripada mereka dalam soal memelihara hal-hal berkaitan maruah diri dan agama, apatah lagi isteri seorang nabi dan rasul.

Justeru, sebarang berita yang diterima perlu dipastikan terlebih dahulu dan tidak sepatutnya terus disebarkan kepada orang lain. Sesungguhnya, berbaik sangka sesama mukmin akan menyelamatkan umat Islam daripada kekusutan dan musibah yang tidak diduga. Allah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman, jika dating orang fasiq kepadamu membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu.”

Kedua : Ujian Sunnatullah Bagi Orang-orang Mukmin

Peristiwa hadith al-ifki merupakan ujian yang amat berat bagi Rasulullah SAW, Saidatina Aishah r.a. , Abu Bakar As-Siddiq dan keluarganya serta umat Islam seluruhnya. Sebagai seorang bapa, Saidina Abu Bakar yang dipandang mulia dan dihormati masyarakat sejak zaman jahiliyyah di Mekah tidak dapat menahan kehairanannya terhadap tohmahan kepada anak kesayangannya sehingga diriwayatkan bahawa Abu Bakar berkata : “ Demi Allah, sesungguhnya kami tidak pernah dikata seperti ini pada zaman jahiliyah ketika kami tidak menyembah Allah, tetapi kami dikata semasa kami telah Islam!”

Namun, sudah menjadi sunnatullah, Allah akan menguji semua manusia , lebih-lebih lagi hamba-hamba yang disayangiNya. Allah berfirman :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُون *
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan : Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka ,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Setiap ujian yang ditimpakan ke atas hamba-hambaNya mempunyai hikmah yang hanya Dia sahaja mengetahuiNya. Oleh itu, Allah menyebut peristiwa ini sebagai perkara yang baik walaupun zahirnya amat memedihkan jiwa-jiwa yang menanggungnya. Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ

Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu menyangka bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu.”

Dalam peristiwa hadith al-ifki ini, Allah menunjukkan kebijaksanaanNya dalam mengatur setiap ketentuanNya. Antara hikmah peristiwa hadith al-ifki ialah:

• Allah ingin menambahkan keimanan Rasulullah SAW,Saidatina Aishah, ahli keluarga baginda dan orang-orang mukmin
• Menunjukkan kepada umat Islam bahawa Rasulullah adalah seorang manusia walaupun baginda seorang nabi. Ini dapat dilihat apabila wahyu tidak turun selama sebulan lamanya untuk membebaskan baginda, ahlul bait dan umat Islam daripada kemelut ini, maka baginda terpaksa menyelesaikan perkara ini dengan kemampuan baginda selaku manusia biasa.
• Menunjukkan kebijaksanaan dan ketelitian Rasulullah dalam menyelesaikan masalah, lebih-lebih lagi ia berkaitan rumahtangga baginda dan kedudukan baginda selaku pemimpin umat Islam. Ini dapat dilihat daripada tindakan baginda meminta pendapat daripada Usamah bin Zaid dan Ali bin Abi Talib, dan tidak cepat membuat keputusan secara melulu atau mengikut keyakinan dirinya sendiri walaupun terdapat tanda-tanda bahawa Saidatina Aishah tidak bersalah.
• Menunjukkan keburukan golongan munafikin dan aktiviti mereka
• Membulatkan pergantungan Saidatina Aishah terhadap Allah SWT dan menghilangkan pergantungan terhadap makhlukNya, walaupun suami beliau seorang nabi, sepertimana kata-kata beliau apabila turunnya wahyu:
“ Sesungguhnya aku tidak akan bangun kepadanya (Rasulullah) dan aku tidak akan memuji melainkan Allah kerana Dialah yang menurunkan ayat yang membebaskanku.”
• Menguatkan sangkaan baik terhadap Allah, Rasulullah dan ahlil bait baginda dalam diri orang-orang yang beriman
• Kesabaran dan kethabatan dalam menempuh ujian akan digantikan oleh Allah dengan kemenangan dan kegembiraan sebagai hadiah yang tidak ternilai.

Ketiga : Kebijaksanaan Pemimpin Menangani Masalah

Peristiwa hadith al-ifki juga menonjolkan sikap kepimpinan Rasulullah SAW dan kebijaksanaan baginda dalam menyelesaikan masalah dalaman umat Islam yang seharusnya dicontohi oleh pemimpin umat Islam sekarang.

Apabila isteri baginda ditohmah, walaupun baginda boleh menggunakan kuasa sebagai pemimpin umat Islam dan ketua keluarga untuk memutuskan keputusan berdasarkan pendapatnya sendiri, tetapi baginda tidak berbuat demikian. Sebaliknya, baginda meminta pendapat daripada Usamah bin Zaid dan Ali bin Abi Talib dalam soal berpisah dengan isterinya. Usamah memberi pendapat berdasarkan pengetahuannya tentang kebaikan Aishah dan mendalamnya cinta Rasulullah terhadap Aishah , manakala Ali pula memberi pendapat sebagai memberi jalan untuk meringankan bebanan Rasulullah SAW, bukan mengiakan tohmahan terhadap Aishah. Ini dapat dilihat dengan kata-kata beliau yang mencadangkan Rasulullah menyelidik gerak-geri Aishah melalui jariah yang rapat dengan Aishah.

Malah apabila Aus dan Khazraj hampir bergaduh disebabkan satu pihak mempertahankan pembuat cerita dan satu pihak berpendirian sebaliknya, baginda hanya menenangkan mereka tanpa menyokong mana-mana pihak kerana masih tidak terdapat bukti yang jelas yang menolak tohmahan itu.

Disebut di dalam kitab sirah bahawa Safwan bin Mu’attol pada suatu hari tidak dapat menahan kemarahannya dan memukul Hasan bin Thabit yang mengejinya. Namun Rasulullah tidak menyokong Safwan walaupun baginda tahu kebebasan Aishah dari tohmahan. Maka, Hasan dan Safwan dibawa ke hadapan Rasulullah.

Safwan berkata :” Wahai Rasulullah, dia(Hasan) telah menyakitiku , mengejiku, lalu aku naik marah dan memukulnya.Rasulullah berkata kepada Hasan: “ Berbuat baiklah , wahai Hasan. Adakah kamu memburukkan kaumku setelah mereka diberi hidayah dengan Islam?”Baginda menyambung lagi: “Berbuat baiklah, wahai Hasan atas apa yang menimpamu. “Hasan menjawab : “ Dia untukmu, wahai Rasulullah” .
Ibnu Ishak berkata bahawa Muhammad bin Ibrahim meriwayatkan bahawa Rasulullah memberi ganti kepada Hasan seorang jariah Qibti bernama Sirin dan kemudian lahir dari jariah itu Abdul Rahman bin Hasan.


Peristiwa ini menunjukkan sikap Rasulullah yang tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman kepada Hasan , bahkan Rasulullah meminta Safwan memberi ganti rugi tanah kepada Hasan dan baginda memberi jariah kepada Hasan akibat dipukul oleh Safwan sekalipun Hasan mengata Safwan kerana pada ketika itu, tidak terdapat sebarang bukti yang membebaskan Aishah dan Safwan daripada tohmahan itu. Namun, setelah turun ayat tentang kebebasan Aishah dari tohmahan, Hasan binThabit turut dihukum had qazaf atas tohmahan zina yang dilemparkannya.

Kesimpulan

Peristiwa hadith al-ifki sebenarnya memiliki terlalu banyak pengajaran dan hukum yang boleh diistinbatkan daripadanya.Kertas kerja ini hanya memaparkan sebahagian kecil daripadanya. Apa yang jelas ialah Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. adalah insane terpilih di sisi Allah merupakan qudwah (tauladan) kepada orang mukmin dalam meneruskan kehidupan dan menegakkan syariat Allah di muka bumi ini. Walaupun pihak musuh sama ada orang kafir dan munafik sentiasa berusaha untuk menipu dan menyelewengkan kebenaran, namun Allah telah menjanjikan bahawa kebenaran akan tetap terbukti. Firman Allah swt :

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُون

Maksudnyaَ: “Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan ) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membenci.”

Justeru, umat Islam perlu bersedia memikul amanah meneruskan risalah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama’ terdahulu bagi memastikan kedaulatan Islam dikembalikan ke tempat yang selayaknya. Keimanan yang teguh, keilmuan yang mantap, keikhlasan yang tulus, akhlak yang terpuji, gerak kerja yang berstrategi dan sebagainya merupakan antara inti pati pra-syarat kejayaan yang harus dimiliki. Terpenting, semua kekeliruan dan kekusutan perlu dirujuk kepada sumber penyelesai masalah hakiki sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
“ Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya ,
kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya.”

Wallahu’alam.

Disediakan oleh :
Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi
BA Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar, Mansurah
Penuntut Ijazah Lanjutan Universiti Terbuka Amerika, Kaherah.
18 September ‏2005


Bibliografi :

1. Al-Quran Al-Karim dan terjemahan
2. Sayyid Qutb, Fi Zilal Al-Quran, Dar As-Syaruq: Beirut,tt.
3. Al-Qurtubi, Ahkam Al-Quran, Dar al-Hadith: Kaherah, 1996.
4. As-San’ani, Subul As-Salam Syarah Bulugh Al-Maram, Dar Sadir :Beirut , 1998.
5. Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, Zad-Al-Ma’ad fi Hadyi Khairil ‘Ibad, Dar Al-Qalam li at-Turath.
6. Ali Abdul Halim Mahmud (Dr), At-Tarbiyyah al-Islamiyyah fi Surah An-Nur, Dar At-Tauzi’ wa an-Nasyr al-Islamiyyah: Kaherah, 1994.
7. Munir Muhammad Ghadban, Al-Manhaj Al-Haraki li As-Sirah An-Nabawiyyah, Maktabah Al-Manar, 1998.
8. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti(Dr.),Fiqh As-Sirah An-Nabawiyyah,.Dar-As-Salam:Kaherah, 1997.
9. Sa’ad Yusuf Abu Aziz, Rijal wa Nisa’ haula ar-Rasul, Dar Al-Fajr li at-Turath: Kaherah, 1999.
10. Dr. Amir Abdul Aziz, Al-Fiqh Al-Jina’ie fi Al-Islam, Dar As-Salam: Kaherah, 1997
11. Ibnu Hajar al-Haithami, Ibnu Taimiah Al-Harani, Ibnu Abidin, Hukmu Sabbu as-Sahabah ridwanullah ‘alaihim, Dar Ibnu Luqman, 2002
12. CD Ensiklopedia al-Hadith as-Syarif, Versi 2.0, Syarikat Al-Baramij Al-Islamiah Ad-Dauliah
13.CD Al-Maktabah As-Syamilah,versi 1.0

ABSTRAK

Islam Ad-Din yang syumul merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi. Dalam bidang muamalah, Allah telah mensyariatkan jual beli yang halal dan melarang urusniaga berbentuk riba. Firman Allah SWT :
وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Dan Allah menghalalkan Jualbeli dan mengharamkan riba”

Setiap muslim disarankan agar meneliti setiap urusan muamalah agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang haram. Rasulullah amat mengambil berat soal kesucian harta hingga apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda mendirikan pasar khas untuk kaum muslimin yang menjalankan muamalah secara halal kerana melihat pasar Madinah yang sedia ada didominasi oleh golongan Yahudi yang mengamalkan muamalah riba dan unsur-unsur yang haram.

Kertas kerja ini akan membincangkan bursa saham yang merupakan medan urusniaga yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap ekonomi negara masakini dan diceburi oleh ramai umat Islam. Perbincangan ini akan menganalisa aspek-aspek yang terdapat di dalam bursa saham secara terpisah kerana setiap aspek mempunyai hukum yang tersendiri.

1.0 DEFINISI BURSA SAHAM (STOCK EXCHANGE – بورصة الأوراق المالية )

Bursa (bourse/exchange) ialah lokasi berpusat yang menjalankan perdagangan instrumen kewangan. Terdapat pelbagai jenis bursa masa kini, antaranya: bursa komoditi, bursa mata wang asing, bursa opsyen, bursa sekuriti/saham dan sebagainya.

Bursa saham atau bursa sekuriti (stock exchange) ialah sebuah institusi (seumpama pasar) yang menjalankan urusniaga sekuriti di mana ia membentuk pangkalan utama yang memudahkan peredaran harta daripada individu, institusi dan sektor yang pelbagai, yang membantu mengembangkan harta dan menggalakkan pelaburan untuk kepentingan ekonomi.

Kebiasaannya, nama bursa diberikan kepada tempat yang dikhususkan untuk jualbeli sekuriti (sijl-sijil saham, bon dan sebagainya) di mana orang-orang yang bermuamalah dengan sekuriti ini berkumpul di situ untuk membeli atau menjual bon-bon kerajaan atau saham-saham syarikat yang disenaraikan. Biasanya proses jual beli dilakukan dengan perantaraan broker-broker atau orang tengah.

2.0 SEJARAH BURSA SAHAM

Perancis merupakan negara kelahiran bursa saham pertama, iaitu pada kurun ke-13 Masihi, di mana berlaku urusniaga bon antara para peniaga hingga Raja Perancis, King Philip (1268-1314M) telah mewujudkan broker mata wang bagi mengusun urusniaga antara para peniaga. Pada masa yang sama, gerakan perniagaan di Baljika memberangsangkan di mana para peniaga di negeri Bruges berhimpun di istana keluarga Van der Bourse untuk menjalankan urusniaga. Perkembangan ini telah menyebabkan mereka mengambil sempena nama keluarga pemilik istana tersebut bagi menggambarkan urusniaga ini hingga akhirnya perkataan Bourse atau Bursa ini digunakan untuk pasaran urusniaga sekuriti.

Perkembangan ini akhirnya menyaksikan penubuhan bursa saham di negara Belanda, Amerika Syarikat dan kebanyakan negara industri pada kurun ke-19 M. Bagi negara Islam pula, bursa saham diperkenalkan oleh negara yang menjajah. Mesir merupakan negara pertama di Timur Tengah yang mempunyai bursa saham iaitu pada akhir kurun ke-19 M. Di Malaysia, aktiviti broker dan syer dijalankan sejak akhir abad ke-19. Pasaran Saham Malaysia yang pertama ditubuhkan pada 1937 di bawah nama pasaran Broker Saham Malaya. Walau bagaimanapun perdagangan tidak dijalankan sehinggalah bulan Mei 1960.

3.0 OBJEKTIF DAN KEPENTINGAN BURSA SAHAM

Penubuhan bursa saham mempunyai beberapa objektif, antaranya:
1. Menyediakan tempat pasaran yang membolehkan pihak yang memerlukan modal mendapatkan modal melalui jual beli sekuriti yang disenaraikan
2. Menyediakan perkhidmatan yang bersangkutan urusan pelaburan dan maklumat saham kepada pelabur di samping mewujudkan minat terhadap pasaran sekuriti di kalangan pelabur dan orang awam

Antara kepentingan dan peranan bursa saham terhadap ekonomi ialah:
1. Mencairkan matawang dan menyalurkannya untuk projek-projek pelaburan
2. Memberikan indeks am tentang pergerakan harga, harta dan pelaburan, sekaligus menggambarkan kedudukan ekonomi negara
3. Menyumbang kepada meningkatkan keupayaan ekonomi dengan pelbagai projek pembangunan
4. Medan negara mencapai kestabilan matawang daripada urusniaga sekuriti bagi mengelakkan inflasi

4.0 INSTRUMEN KEWANGAN YANG DIDAGANGKAN DI BURSA SAHAM DAN PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA

Terdapat pelbagai instrumen kewangan yang diniagakan di bursa saham, antara yang utama ialah saham dan bon. Instrumen lain seperti : debentur, stok pinjaman, nota pinjaman, sijil pelaburan, unit amanah dan sebagainya. Untuk mengetahui hukum meniagakan instrumen ini, kita perlu menganalisa setiap instrumen ini dalam segenap sudut. Walau bagaimanapun, kertas kerja ini hanya akan menumpukan perbincangan tentang saham dan bon.

4.1 Saham ( الأسهم )

4.1.1 Definisi saham

Saham ialah sejumlah unit pemilikan pelabur dalam syarikat perkongsian/awam, yang berbeza keadaannya dengan jumlah bahagian modal dalam syarikat individu.

Ia juga bermaksud satu transkrip atau sijil yang diberikan kepada pelabur sebagi penyataan haknya yang sebenar dalam pemilikan modal syarikat.

4.1.2 Pandangan Islam terhadap urusniaga saham

Jumhur fuqaha’ muasirin berpendapat bahawa Islam secara umumnya mengharuskan penerbitan dan jual beli saham, dengan syarat tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti riba, gharar, perniagaan benda yang haram dan unsur-unsur haram yang lain. Oleh itu, hukum sesuatu saham berbeza mengikut sifat saham tersebut dan jenisnya.

4.1.3 Hukum urusniaga saham mengikut jenis aktiviti perniagaan sesuatu syarikat :

a. Syarikat yang aktivitinya halal.
Hukumnya harus bermuamalah dengan saham syarikat ini tanpa sebarang khilaf.

b. Syarikat yang aktivitinya haram.
Seperti bank yang mengamalkan riba, syarikat pembuatan arak dan sebagainya. Hukumnya haram secara ittifaq.

c. Syarikat yang aktivitinya syubhat.
Syarikat yang mengeluarkan perkhidmatan dan barangan yang halal, tetapi kadangkala bermuamalah dengan uruniaga yang haram , seperti syarikat barangan elektrik, ubat-ubatan, kenderaan dan lain-lain yang membiayai aktiviti syarikat dengan pinjaman ribawi atau urusniaga yang melibatkan riba.

Para fuqaha’ mu’asirin berselisih pendapat tentang masalah ini kepada 3 pendapat :

i. Pendapat pertama : Haram bermuamalah dengan saham syarikat ini selagimana tidak 100% halal.

Selagi saham ini mengandungi unsur haram atau syarikat berurusniaga dengan unsur haram, maka saham ini tetap haram berdasarkan dalil-dalil yang mewajibkan menjauhi perkara yang haram dan syubhat :
• Hadith :
عن عامر قال سمعت النعمان بن بشير يقول سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول الحلال بين والحرام بين وبينهما مشبهات لا يعلمها كثير من الناس فمن اتقي المشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات كراع يرعى حول الحمى يوشك أن يواقعه ألا وإن لكل ملك حمى ألا إن حمى الله في أرضه محارمه ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب


Kaedah fiqh (إذا إجتمع الحلال والحرام غلب الحرام (
Berdasarkan kaedah ini, syarikat yang hartanya bercampur antara halal dan haram, maka haram menyertainya sebagai berhati-hati (ihtiat) kerana diriwayatkan Nabi Muhammad menjumpai buah yang jatuh dan berkata: “ Kalaulah tidak kerana aku takut ia daripada sedekah, nescaya aku memakannya.”
Kaedah fiqh ( الملحوظ كالملفوظ )

ii. Pendapat kedua : Harus bermuamalah dengan saham ni tetapi dengan syarat, berdasarkan kaedah fiqh dan nas yang terbina di atas asas memudahkan dan mengangkat kesusahan . Antaranya :

Bercampur sebahagian yang haram dengan harta tidak menjadikan kesemuanya haram , dengan membezakan haram lizatih seperti arak, dan haram lighairih seperti harta yang dirampas,harta ini (haram lighairih) tidak menjadikan harta yang lain menjadi haram.

Ibnu Taimiyah pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang hartanya yang bercampur di antara yang halal dan haram. Beliau menjawab : Keluarkan nilai yang haram dengan timbangan, dan berikan kepada pemiliknya dan kiralah nilai yang halal itu untuk dirinya.Sekiranya tidak diketahui atau tidak mampu untuk mengetahui pemiliknya, maka bersedekahlah dengan harta itu.

Atas prinsip inilah harus bermuamalah dengan saham syarikat yang bermuamalah dengan bank yang mengamalkan riba.

Kaedah fiqh ( يجوز تبعا ما لا يجوز استقلالا (

Di dalam syarikat ini walaupun memiliki nisbah sedikit unsur yang haram, tetapi ia dalam bentuk tabi’ (mengikut) bukan asas yang menjadi tujuan selagi mana aktiviti syarikat halal , cuma syarikat itu terpaksa meminjam atau menyimpan di dalam bank ribawi untuk mendapat kecairan harta.

Aktiviti meminjam atau menyimpan di bank ribawi ini adalah haram dan pengurusan syarikat berdosa tetapi ia tidak menjadikan baki harta dan aktiviti lain menjadi haram kerana ia aktiviti yang mengikut ( تبعي ), dan bukan dasar aktiviti syarikat.

Kaedah fiqh ( للأكثر حكم الكل )

Al-Kasani mengatakan : “ Setiap yang dirosakkan oleh perkara haram, sekiranya majoritinya yang halal makan tidak mengapa menjualnya.”

Imam Al- Izz bin Abdul Salam berkata :”Sekiranya majoritinya halal seperti bercampur satu dirham yang haram dengan seribu yang halal maka harus muamalah..”

Kaedah fiqh (الحاجة تنزل منزلة الضرورة )

Syariat Islam terbina atas asas mengangkat kemudaratan dan kesusahan. Beberapa jenis akad diharuskan khilaf daripada qias kerana hajat manusia kepadanya sebagaimana sebahagian ulama’ contohnya Hanafiah mengharuskan muamalat yang asalnya haram seperti bai’ al-wafa’.

Harus bermuamalah dengan non-muslim sedangkan wujud syubhat pada hartanya.Sebahagian fuqaha’ mengatakan harus dan makruh, kerana tidak aman daripada muamalah riba dan perkara lain yang tidak syar’ie.Harus muamalah ini jika tidak melibatkan muamalah yang tidak syar’ie. Ertinya haram atau harus muamalah ini bergantung kepada adanya ‘illah atau tidak.

iii. Pendapat ketiga : Makruh


• Berdasarkan pendapat As-Syafie , Imam Ahmad dan lain-lain

Imam Nawawi menyebut daripada Ibnu Munzir bahawa mereka khilaf dalam masalah jualbeli dengan orang yang hartanya bercampur halal dan haram, menerima hadiah dan pemberiannya, di mana Hasan, Makhul , Az-Zuhri dan As-Syafie memberi rukhsoh. Syafie berkata : Aku tidak suka demikian. Dan sekelompok yang lain menyatakan makruh.
Imam Ahmad berkata: Aku tidak ingin memakannya, kerana diriwayatkan An-Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas dan di antara keduanya perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh kebanyakan menusia.Siapa mengelak dari perkara syubhat dia telah membebaskan agama dan kehormatannya…..”

Dan Nabi pernah bersabda: “ Tinggalkanlah apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan “

Pendapat yang rajih :

Berdasarkan ketiga-tiga pendapat tadi, pendapat yang rajih ialah pengurusan syarikat tidak harus bermuamalah dengan urusniaga haram melainkan terpaksa contohnya dia terpaksa mengikut undang-undang muamalat tertentu yang haram, tetapi bukan dengan kerelaannya , jika tidak dia berdosa. Manakala penyertaan orang Islam dalam syarikat dan membeli sahamnya adalah harus selagimana sebahagian besar hartanya halal dan transaksinya halal, jika tidak, sebaik-baiknya menjauhi perbuatan tersebut.

Sepatutnya orang yang menyertai syarikat tersebut berniat dengan membeli saham syarikat itu, dia akan menukar aktiviti syarikat itu kepada 100% halal dengan menyatakan suaranya dalam mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat pengurusan syarikat, dan dia juga perlu mengeluarkan kadar yang haram –jika berkemampuan menetapkannya- dan membelanjakan kadar tersebut itu untuk kebajikan awam, tetapi tidak harus bagi seorang muslim mengasaskan atau membeli saham syarikat yang telah menaskan dalam sistem asasinya bahawa syarikat itu bermuamalah dengan riba, arak, khinzir dan lain-lain muamalah yang diharamkan.

Walaupun begitu, penulis bersetuju dengan pendapat yang mengatakan perlu adanya beberapa syarat dalam menentukan boleh atau tidaknya bermuamalah dengan syarikat tersebut :

• Pendapat Sheikh Mustafa Al-Zarqa mengatakan harus bermuamalah dengan saham syarikat ini sekiranya syarikat itu aktif memberi khidmat kepada orang awam, dan kemusnahan syarikat ini akan menyebabkan kepayahan masyarakat, bukan umum kepada semua syarikat.Malah haram bermuamalah dengan syarikat yang bermuamalah dengan riba sekiranya syarikat itu tidak aktif dan masyarakat tidak terjejas dengan kemusnahannya.
• Tujuan pembelian saham syarikat itu adalah untuk mengubah ke arah halal 100%. Sekiranya mereka mampu tetapi tidak melakukannya, maka mereka adalah berdosa.
• Tidak harus mereka menggunakan wang haram yang menjadi pendapatan syarikat, bahkan mesti menilaikan dan menghilangkannya dengan cara memberikan kepada fakir miskin.
• Aktiviti asas syarikat adalah halal.

Oleh itu, pengharusan ini adalah kerana dorurat dan dorurat ini mestilah berdasarkan kepada syarat –syarat tadi dan tidak boleh melangkaui batas dorurat kerana dorurat diukur mengikut kadar keperluannya الضرورات تقدر بقدرها . Jika tidak mencapai tahap dorurat , maka hukumnya haram.

4.1.4 Jenis-jenis Nilai / Harga saham dan Hukumnya

a. Nilai catatan (القيمة الإسمية ) : iaitu nilai yang tercatat pada sijil, merupakan nilai yang dibayar pelabur ketika pengasasan syarikat.Hukum : Harus menerbitkan saham dengan nilai ini kerana ia menggambarkan nilai saham yang dibayar oleh pelabur daripada keseluruhan modal syarikat.

b. Nilai terbitan (قيمة الإصدار) :
iaitu nilai penerbitan saham baru ketika syarikat ingin menambah modal syarikat.

Hukum : Harus sekiranya nilai terbitan sama dengan nilai sebenar atau nilai pasaran. Harus juga menerbitkan saham baru dengan nilai terbitan sama ada lebih tinggi, kurang atau sama dengan nilai catatan , kerana perlu melihat kepada realiti semasa , suasana pasaran dan risiko untung rugi. Tetapi tidak harus sekiranya kurang daripada nilai sebenar kerana akan menyebabkan kemudaratan kepada pelabur lama. Jika lebih tinggi daripada nilai sebanar, maka dinilaikan mengikut harga pasaran meka hukumnya harus.

c. Nilai sebenar / instrinsik(الفيمة الحقيقية) :
iaitu bahagian yang sebenarnya dimiliki daripada harta bersih syarikat termasuk modal yang dibayar, keuntungan,harta benda syarikat,setelah ditolak hutangnya. Hukum : harus kerana keuntungan dan harta benda syarikat bertambah hingga menyebabkan nilai sebenar lebih tinggi daripada nilai catatan, dengan syaat pertambahan harta itu melalui cara yang halal.

d. Nilai pasaran (القيمة السوقية)
: iaitu nilai saham di bursa saham yang mengikut pemintaan dan penawaran , spekulasi ,suasana politik dan ekonomi semasa serta kebiasaannya berubah-ubah. Hukum : harus menjual saham mengikut harga pasaran sama ada kurang atau lebih daripada nilai catatan kerana ia seumpama barangan lain yang terdedah kepada faktor permintaan dan penawaran serta kewangan syarikat.

4.1.5 Jenis-jenis Saham Mengikut Kategori dan Hukumnya

a. Dari Sudut Hak Pelabur

i. Saham Biasa ( Ordinary Shares الأسهم العادية - ) : iaitu saham yang memberi pemiliknya persamaan hak mendapat keuntungan setelah dibahagikan keuntungan saham keutamaan. Pemilik saham ini mempunyai hak mengundi dalam mesyuarat agung syarikat, hak melantik proksi, hak mendapat terbitan hak, hak terhadap aset dan hak membuka buku akaun. Pemilik saham ini akan dipertanggungjawabkan berdasarkan nilai saham yang dipegang dalam syarikat.

Saham ini hukumnya harus selagimana pelaburan syarikat bukan pada aktiviti yang haram.

ii. Saham Keutamaan (Preference Shares-الأسهم الممتازة ) : iaitu saham yang memberikan keistimewaan/ keutamaan kepada pemiliknya berbanding pemilik saham biasa.

Antara keistimewaannya ialah :
• Keutamaan dari sudut tuntutan perolehan syarikat. Pemegang saham keutamaan akan dibayar dividen terlebih dahulu dan dividennya telah ditetapkan terlebih dahulu kadarnya pada masa ia diterbitkan, tidak kira syarikat untung atau rugi
• Sekiranya syarikat dibubarkan ,pemegang saham keutamaan akan diutamakan dalam pengagihan aset syarikat berbanding pemegang saham biasa
• Kuasa mengundi yang lebih dalam mesyuarat tahunan (di Malaysia, pemilik saham ini tidak mempunyai kuasa mengundi).

Saham ini hukumnya tidak harus kerana pemilik saham ini mempunyai kelebihan berbanding pemegang saham lain. Ini tidak adil kerana dengan nilai saham yang sama sepatutnya mereka memiliki persamaan hak. Begitu juga tidak harus memberikan dividen atau keuntungan yang tetap kepada mereka dalam keadaan risiko keuntungan dan kerugian ditanggung oleh pelabur lain.

Dividen ini merupakan riba yang diharamkan oleh syara’ kerana bertentangan konsep syarikat yang diharuskan oleh syara’, iaitu sama-sama menanggung risiko untung rugi berdasarkan kadar saham masing-masing. Hak mengundi yang lebih juga tidak harus diberikan kepada mereka kerana sepatutnya pemegang saham yang sama nilainya mesti mempunyai hak yang sama.

Bentuk keistimewaan yang diharuskan oleh syara’ ialah hak keutamaan kepada pelabur sedia ada untuk menambah pelaburan apabila syarikat menawarkan saham-saham baru berbanding pelabur-pelabur yang baru. Ini kerana mereka lebih berhak terhadap pemilikan syarikat dan tidak harus syarikat mengeluarkan saham baru kecuali dengan persetujuan mereka. Ini sesuai dengan prinsip syaf’ah yang diakui oleh syara’.
--
b. Dari sudut bentuk pemilikan yang dibayar pelabur

i. Matawang/tunai (Cash Shares – الأسهم النقدية ) : iaitu saham yang dibayar dalam bentuk mata wang. Saham ini hukumnya harus secara ittifaq kerana asal dalam syarikat ialah mengemukakan modal dalam bentuk matawang, sama ada emas, perak atau mata wang masakini.

ii. Barangan (Vendors Sharesالأسهم المعينة-) : iaitu saham yang berbentuk barangan yang menjadi modal syarikat

Para fuqaha’ berselisih pendapat tentang saham ini kepada 3 pendapat :
• Ulama’ Malikiah dan satu pendapat Imam Ahmad : Harus jika barang berbentuk qiymi.
• As-Syafi’e dan Muhamad bin Hasan dari ulama’ Hanafiah : Harus jika barang berbentuk mithli.
• Imam Abu Hanifah dan zahir mazhab Hambali : Tidak harus secara mutlak

Pendapat yang rajih : ialah pendapat yang pertama kerana pendapat yang kedua dan ketiga melihat dari sudut zat barang dan tidak terjamin selagi tidak digunakan. Pendapat pertama mengatakan harus setelah dipersetujui barang dan nilainya. Dengan itu, nilai itu menjadi modal syarikat dan terjamin. Apatah lagi pada zaman sekarang, banyak cara untuk menilai harga barangan dengan lebih tepat iaitu dengan nilai mata wang.

c. Dari Sudut bentuk Sijil

i. Saham Penama (Nominal Shares – الأسهم الإسمية) : iaitu sijil yang tercatat nama pemiliknya

Saham ini hukumnya harus dari sudut syara’ kerana pemilikan hak pelabur thabit dengan tertulis di atas sijil saham.

ii. Saham Pembawa ( Bearer Shares – الأسهم لحاملها ) : Sijil yang tidak dicatat nama pelabur yang menjadi pemiliknya , tetapi pembawanya. Oleh itu pembawa sijil itu dikira pemilik saham mengikut pandangan syarikat.

Saham ini tidak harus dari sudut syara’ kerana tidak diketahui pemilik sebenar saham tersebut. Ini akan membawa kepada risiko perselisihan, permusuhan dan kemungkinan kehilangan hak serta mudarat kepada pemiliknya sama ada dirampas atau dicuri.

iii. Saham Dengan Perintah (An Order Shares الأسهم للأمر او الإذن -): saham yang mengandungi perkataan dengan perintah. Saham ini boleh ditandatangani untuk tujuan perpindahan milik, sama seperti sjil-sijil bon yang memakai syarat ‘dengan perintah’.

Saham ini mengikut pendapat Dr Abd Aziz Khayyat adalah harus kerana pemilik saham tersebut masih dapat dikenalpasti kerana ditulis di atas sijil saham. Pemilik kedua dikira pengganti kepada pemilik pertama.

e. Dari sudut modal boleh ditebus/dipulangkan atau tidak

i. Saham Modal ( Capital Shares – أسهم رأس المال): saham yang nilainya tidak boleh ditebus. Saham ini harus kerana merupakan prinsip asal dalam syarikat.

ii. Saham Boleh Tebus ( Redeemable Shares – أسهم التمتع) : saham yang boleh ditebus dengan dipulangkan semula modal kepada pelabur sebelum syarikat ditutup.

Pada asalnya tidak harus bagi pelabur menebus sahamnya. Namun, terdapat beberapa keadaan yang berbeza yang menentukan sama ada saham tersebut harus atau tidak.

Antara bentuk saham boleh tebus yang tidak harus ialah :
• Jika nilai sebenar saham dikembalikan sama ada lebih tinggi atau lebih rendah daripada nilai catatan. Ini kerana hubungan pelabur dengan syarikat terputus, maka dia tidak berhak mendapat keuntungan atau dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kerugian
• Jika dipulangkan nilai catatan dan nilai itu lebih tinggi daripada nilai sebenar saham kerana dia mendapat modal yang dibayar secara sempurna. Dalam hal ini ,sama seperti di atas, dia tidak berhak mendapat keuntungan kerana hubungannya dengan syarikat telah terputus.

Keuntungan syarikat berhak dimiliki dengan 3 sebab : harta, kerja atau jaminan. Dalam 2 bentuk saham boleh tebus di atas, pemegang saham yang telah menebus sahamnya tidak mempunyai satu pun sebab mendapat keuntungan syarikat .

Bentuk saham boleh tebus yang harus ialah :

• Syarikat memberikan nilai catatan saham yang lebih rendah daripada nilai sebenar, maka masih berbaki modalnya di dalam syarikat. Dengan itu, dia berhak mendapat keuntungan berdasarkan nisbah baki modal yang masih belum dipulangkan oleh syarikat.
• Penawaran secara berjuzu’ dan berterusan oleh syarikat dengan memberikan setiap pelabur nisbah tertentu daripada saham secara sama rata dan mengikut bilangan saham.
• Memotong nilai tertentu daripada keuntungan tahunan dan menyimpannya atas nama pelabur,hingga nilainya terkumpul ketika berakhirnya syarikat, lalu pelabur boleh mengambilnya.

4.2 Bon (السندات)

4.2.1 Definisi Bon

Bon ialah instrumen hutang jangka panjang yang penerbitnya berjanji untuk membayar pokok pada tarikh matang dan membayar kupon secara berkala.

Oleh kerana bon merupakan hutang penerbitnya, maka pemegang bon dikira pemiutang, bukan pemilik. Bon merupakan salah satu sekuriti hutang jangka panjang, di mana tempoh matangnya adalah melebihi satu tahun.

4.2.2 Perbezaan bon dengan saham

Saham Bon
1. Sekuriti yang merupakan sebahagian daripada modal syarikat. 1. Sekuriti yang merupakan sebahagian daripada hutang syarikat.
2. Pemegangnya adalah rakan kongsi. 2. Pemegangnya adalah pemiutang bukan rakan kongsi.
3. Diterbitkan sebelum pengasasan syarikat dan selepasnya. 3. Diterbitkan selepas pengasasan syarikat.
4. Setiap syarikat awam mempunyai saham. 4. Tidak semestinya semua syarikat menerbitkan bon.
5. Pemegang saham berhak hadir dan bersuara dalam mesyuarat agung tahunan syarikat. 5. Pemegang bon tidak berhak hadir dan bersuara dalam mesyuarat agung tahunan syarikat.
6. Pemegang saham berisiko untuk kehilangan bahagiannya apabila syarikat muflis. 6. Pemegang bon tidak berisiko kerana bahagiannya terjamin.
7. Pemegang saham berhak mendapat keuntungan yang berubah-ubah mengikut keuntungan syarikat. 7. Pemegang bon berhak mendapat faedah yang tetap dan tidak berubah sama ada syarikat untung atau rugi.
8. Tidak dikembalikan nilainya melainkan apabila syarikat dibubarkan. 8. Bon mempunyai waktu yang ditetapkan untuk tuntutan nilai.
9. Penerbitan saham kaedah pembiayaan daripada pemodal syarikat. 9. Penerbitan bon kaedah pembiayaan dengan cara peminjaman daripada pihak lain.


4.2.3 Jenis-jenis Bon Mengikut Kategori dan Hukumnya

Terdapat pelbagai jenis bon yang diniagakan di bursa saham seluruh dunia, di bawah ini disebutkan sebahagian daripadanya.

a. Dari sudut pihak yang menerbitkan

i. Bon kerajaan (Government Bonds – السندات الحكومية) :
Bon ini diterbitkan untuk membiayai projek pembangunan ekonomi negara, perbelanjaan peperangan, mengatasi masalah kelemahan dalam imbangan belanjawan negara atau mengatasi inflasi. Bon ini diterbitkan secara penawaran awam, disenarai di bursa saham secara berperingkat atau dengan bantuan institusi kewangan.

Di Malaysia, bon kerajaan dikenali sebagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MDS) dan tidak diniagakan di bursa saham. Keistimewaan bon kerajaan ialah tidak berisiko , memiliki kecairan yang tinggi dan dikecualikan daripada cukai. Bon ini mempunyai faedah yang tetap dan dijamin oleh kerajaan.

ii. Bon korporat / swasta (Corporate Bonds – ستدات الشركات)
: Bon yang diterbitkan oleh institusi kewangan, syarikat swasta, syarikat peniagaan, perindustrian atau perkhidmatan untuk membiayai projek mereka dan biasanya terjamin. Keistimewaan bon ini berbanding bon kerajaan ialah kadar faedah yang lebih tinggi , tetapi berisiko tinggi untuk ketidakmampuan syarikat membayar faedah yang dijanjikan dan faedah tahunan.

Bon korporat terbahagi kepada 5 jenis :

Bon Biasa (Ordinary Bonds السندات العادية - ) : Bon yang diterbitkan dengan nilai catatan tertentu, ditetapkan pembayaran penuh oleh penerbitnya, mendapat faedah tetap secara berkala sepanjang tempoh pinjaman dan mendapat bayaran pokok sepenuhnya pada tarikh matang.

Bon Terbitan Premium (Issue Premium Bonds سندات علاوة الإصدار - ) : Bon yang diterbitkan dengan nilai yang lebih rendah daripada nilai catatan, tetapi syarikat yang menerbitkan akan membayar nilai catatan secara sempurna ketika akhir tarikh matang. Oleh itu, perbezaan antara nilai catatan dan nilai terbitan dikira sebagai sebagai premium yang merupakan faedah tetap yang dibayar bukan secara berkala, tetapi secara sekaligus pada akhir tempoh matang. Kebiasaannya peratus faedah itu lebih rendah berbanding bon biasa.

Bon Cabutan (Lottery Bonds سندات ذات النصيب-) : Bon ini memberikan peluang kepada pemiliknya untuk mendapat premium atas faedah tetap yang diperolehi setiap tahun dengan mendapat ganjaran harta yang besar melalui proses cabutan yang melayakkannya memiliki ganjaran harta. Sesebuah syarikat menerbitkan bon jenis ini untuk menggalakkan masyarakat membeli bon syarikat tersebut.

Bon Gadai Janji (Mortgage Bondsالسندات المضمونة -) : Bon yang diterbitkan dengan nilai catatan seumpama bon biasa, yang membolehkan pemiliknya mendapat faedah tetap, tetapi bezanya bon ini dijamin dengan jaminan sama ada jaminan peribadi, contohnya bon yang dijamin oleh bank atau kerajaan, atau jaminan benda contohnya bon yang dijamin dengan cagaran rasmi ke atas harta benda syarikat.

Bon Boleh Tukar ( Convertible Bonds السندات القابلة للتحويل -) : Bon membolehkan pemiliknya mendapat hak untuk menukar bon tersebut kepada saham biasa yang diterbitkan oleh syarikat. Kadangkala pertukaran itu adalah pilihan mengikut kehendak pemilik dan kadangkala secara ijbari mengikut panggilan syarikat.

b. Dari sudut bentuk


i. Bon Penama (Nominal Bonds ( السندات الإسمية - : Bon yang tercatat nama pemiliknya dan berubah pemilik dengan cara pendaftaran.

ii. Bon Pembawa (Bearer Bondsالسندات لحامله - ) : Bon yang tidak tercatat nama pemiliknya, bertukar pemilikan dengan cara penyerahan ,maka pemegangnya akan mendapat faedah dengan menuntut nilai kupon yang beserta bon tersebut di bank yang tertentu.

c. Dari Sudut Cara Penjelasan Faedah

i. Bon Biasa (Ordinary Bondsالسندات العادية - ) : Bon yang memberi pemiliknya faedah tetap secara berkala sehingga berakhir tempoh matang.

ii. Bon Perkongsian Untung (Profit Sharing Bondsسندات مشاركات في الربح-) : Bon yang memberikan pemiliknya hak untuk mendapat keuntungan yang diperolehi oleh projek syarikat apabila mencapai kadar tertentu, selain daripada mendapat faedah tetap yang dijanjikan oleh syarikat.

iii. Bon Faedah Tertangguh (Deferred Bondsالسندات متزايدة سعر الفائدة لأجل معلوم-) : Bon yang diterbitkan dengan kadar faedah lebih rendah daripada yang ditawarkan di pasaran, tetapi harga akan meningkat secara berperingkat-peringkat sehingga pada tarikh tertentu yang ditetapkan, kadar faedah akan menjadi tetap.

iv. Bon Kadar Indeks (Indexed Rate Bonds سندات سعر الفائدة المرتبط بمستوى الأسعار-) : Kuasa membeli bagi matawang bergantung kepada kadar indeks secara bertentangan, iaitu kuasa membeli meningkat apabila indeks matawang turun, manakala kuasa membeli menurun apabila indeks meningkat. Perkara ini menyebabkan pelabur tidak melabur dalam insrumen pelaburan yang mempunyai faedah tetap yang nilainya kurang daripada peratus inflasi, yang menyebabkan berkurangnya kuasa membeli instrumen pelaburan. Oleh itu, bon ini dicipta di mana kadar faedahnya berubah secara berkala tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih dari dua tahun , dan perubahan ini bergantung kepada perubahan kadar indeks harga .

v. Bon Pendapatan (Income Bonds سندات الدخل - ) : Bon yang memberi pemiliknya hak untuk mendapat faedah tetap yang ditetapkan, tetapi dengan syarat syarikat mencapai target yang mencukupi untuk membayar faedah. Sekiranya syarikat tidak mencapai target tersebut, syarikat perlu membayar pendapatan yang kurang daripada faedah yang ditetapkan , ataupun gugur sepenuhnya kewajipan pembayaran di mana pemilik bon ini tidak boleh meminta untuk syarikat dibubarkan atau mengisytiharkan syarikat tersebut muflis jika tidak mampu membayar faedah tersebut.

4.2.4 Pandangan Islam Terhadap Bon

Oleh kerana bon termasuk dalam kategori pinjaman atau hutang, maka penentuan hukum mestilah melihat kepada hukum qardh dalam fiqh Islam.

Qardh dalam fiqh bererti ialah meminjamkan sejumlah harta kepada orang yang berhajat untuk memanfaatkannya dan dipulangkan gantinya. Hukum qardh pada asalnya ialah sunat bagi yang memberi pinjaman dan harus bagi yang meminjam. Bagaimanapun haram pemiutang mengambil tambahan manfaat daripada pinjaman yang diberikan, dan sebarang bayaran tambahan yang dikenakan kepada pinjaman tersebut dikira riba. Oleh sebab itu, bon menjadi haram kerana pertambahan faedah dalam urusniaga bon terhimpun padanya ciri-ciri riba hutang yang tiga iaitu: hutang, bertempoh dan pertambahan hutang disyaratkan berdasarkan pertambahan tempoh.

Hukum riba adalah haram secara ijma’ berdalilkan ayat Al-Quran dan hadith yang banyak. Antaranya :
a. Firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ{278} فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ فَأْذَنُواْ بِحَرْبٍ مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ{ 279

Maksudnya :”Hai orang-orang beriman,bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba) maka bagimu hartamu, kami tidak akan menaniaya dan tidak (pula) dianiaya.”

b. Hadith sohih :
ما رواه مسلم عن جابر قال : لعن رسول الله آكل الربا و موكله وكاتبه وشاهديه ، وقال : هم سواء.

Maksudnya :”Diriwayatkan oleh Muslim dariapda Jabir bahawa Rasulullah melaknat pemakan riba, orang yang mewakilkan, penulisnya dan saksinya. Baginda bersabda: Mereka adalah sama.”

Para ulama’ ijma’ mengatakan sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan manfaat dikira riba berdasarkan kepada hadith :
روي الحارث بن أسامة من حديث علي رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن قرض جرى منفعة .
وفي رواية :"كل قرض جر منفعة فهو ربا ".

Maksudnya :Al-Harith bin Usamah meriwayatkan daripada hadith Ali r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW melarang daripada pinjaman yang mengambil manfaat. Dalam satu riwayat : “ Setiap pinjaman yang ada manfaat adalah riba”.

Hadith ini walaupun dhoif, para ulama’ ijma’ mengatakan beramal dengan hadith ini. Hadith ini dikuatkan beberapa hadith mauquf daripada Ibnu Mas’ud, Ubai bin Kaab, Abdullah bin Salam dan Ibnu Abbas bahawa mereka melarang daripada pinjaman yang mengambil faedah.

Ketetapan Majma’ Fiqh Islami di Jeddah dalam Daurah keenam berkenaan bon ialah :
“Bon yang mewajibkan pembayaran nilai muka beserta pembayaran faedah atau manfaat yang disyaratkan adalah haram dari sudut syara’ sama ada menerbitkannya, membeli atau menjual semula, kerana ia adalah pinjaman ribawi sama ada penerbitnya sector swasta atau awam yang berkait dengan kerajaan, atau menamakan faedah tetap ribawi itu dengan nama keuntungan, komisen atau pendapatan.”

4.2.5 Alternatif kepada Bon

Antara ketetapan Majma’ Fiqh Islami dalam daurah Keenam di Jeddah ialah :
“ Antara alternatif bagi bon yang haram hukumnya ialah bon atau sekuriti yang dibina atas asas mudharabah bagi sesuatu projek atau aktiviti pelaburan yang tertentu, di mana pemiliknya tidak mendapat faedah atau manfaat yang tetap, tetapi berdasarkan nisbah keuntungan projek tersebut dan kadar sekuriti tersebut, dan keuntungan tersebut tidak akan diperolehi melainkan betul-betul tercapai.”

4.3 Instrumen Kewangan Lain dan Hukumnya

4.3.1 Sekuriti Kewangan ( Finance Securities) : Dokumen kewangan yang membolehkan pemiliknya mendapat faedah yang berubah-ubah tetapi tidak melebihi had tertentu, di samping mendapat nilai muka pada tarikh matang , tetapi pemiliknya tidak berhak terhadap pengurusan syarikat.

Hukumnya : Tidak harus sama seperti bon, kerana pemiliknya merupakan pemiutang bukan pemegang saham.Manakala pulangan yang diperolehi bukan berdasarkan keuntungan syarikat, tetapi ditetapkan oleh bank pusat berdasarkan kadar faedah semasa,kadar inflasi dll.

4.3.2 Sekuriti Pelaburan ( Investment Securities) : Dokumen kewangan yang membolehkan pemiliknya mendapat keuntungan atau kerugian berdasarkan kadar wang yang dilaburkan, dan pemiliknya berhak mendapat pulangan berkala berdasarkan keuntungan , cuma tidak boleh menyertai pengurusan syarikat. Pemilknya bukan pemiutang seperti bon, dan berbeza dengan saham kerana tidak boleh menyertai pengurusan.

Hukumnya: Harus dengan syarat syarikat itu tidak melabur dalam aktiviti yang diharamkan.

4.3.3 Sijil Pelaburan ( Investment Certificate) : Dokumen kewangan yang membolehkan pemiliknya mendapat hak keuntungan dan kerugian berdasarkan nilai pelaburannya , tetapi dia tidak berhak terhadap pengurusan syarikat. Pemiliknya akan memperoleh pendapatan berkala dan pertambahan modal.

Hukumnya : Harus dengan syarat syarikat menjalankan peniagaan yang dihalalkan.

4.3.4 Saham Pengasas (Founders Shares): Dokumen kewangan yang memberi pemiliknya hak untuk mendapat keuntungan syarikat tanpa memiliki apa-apa bahagian dalam modal syarikat, di mana saham ini diberikan sebagai ganjaran kepada khidmat yang diberi oleh para pengasas syarikat. Saham ini tidak mempunyai nilai catatan. Pemegang saham juga tidak terlibat dengan pengurusan syarikat, tiada hak ke atas mana-mana bahagian syarikat apabila syarikat dibubarkan dan biasanya saham ini boleh diperdagangkan.

Hukumnya: Pemilik saham ini bukan ahli kongsi(syarik) atau pemiutang (dain). Pemilik saham ini seolah-olah penjual yang redha menjual dengan harga yang tidak pasti kadarnya bagi suatu barang jualan yang maknawi. Oleh itu, jualbeli ini tidak harus mengikut syara’ kerana harga barang tidak diketahui.Maka tidak harus syarikat menerbitkan saham ini. Sebagai gantinya, syarikat boleh memberikan ganjaran wang kepada pengasas syarikat, menilai usaha mereka dengan nilai wang yang diberikan dalam bentuk beberapa saham yang akan menjadikan mereka sebagai ahli kongsi syarikat.

5.0 OPERASI DAGANGAN DI BURSA SAHAM DAN PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA

5.1 Broker dalam Bursa dan Pandangan Islam mengenainya

5.1.1 Definisi Broker Dalam Bursa dan Fiqh Islam

Broker (mengikut istilah ekonomi) ialah individu yang menjadi pengantara bagi penjual dan pembeli dan mendapat komisen atas khidmat yang diberikan.

Broker (سمسرة ) dalam fiqh Islam ialah nama bagi individu yang bekerja bagi pihak orang lain untuk jualbeli.

Kesimpulannya, tidak terdapat perbezaan yang jelas antara definisi broker dalam urusniaga bursa dan fiqh Islam.

5.1.2 Tugas Broker Dalam Urusniaga Bursa Saham
c. Melaksanakan arahan pelanggan
d. Bermuamalah mengikut tatacara kerja di bursa
e. Memastikan kejayaan operasi dagangan
f. Mendahulukan urusan kewangan pelanggan
g. Tidak melanggar batasan tugas seorang broker

5.1.3 Broker (سمسرة ) di dalam Fiqh Islam

Broker –mengikut takrif fiqh dan bursa- ialah kerja yang dilaksanakan oleh profesional yang memberi khidmat kepada orang lain dengan suatu ganjaran yang tertentu sebagai balasan kerja tersebut. Sesetengah fuqaha’ menamakan broker sebagai dallal (tukang tunjuk). Kerja ini hukumnya harus selagi mana barangan yang diniagakan itu harus diurusniagakan mengikut hukum syara’.

Dalil keharusan tugas ini ialah berdasarkan :
• Firman Allah SWT :
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya :” Dan bertolong-tolonglah kamu dalam kebaikan dan kebenaran, dan janganlah tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.”

• Nabi tidak pernah mengingkari tugas ini sewaktu hayat baginda berdasarkan hadith:

عن أبي وائل عن قيس بن أبي غرزة قال كنا بالمدينة نبيع الأوساق ونبتاعها وكنا نسمي أنفسنا السماسرة ويسميناه الناس فخرج إلينا رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم فسمانا باسم هو خير من الذي سمينا أنفسنا وسمانا الناس فقال يا معشر التجار انه يشهد بيعكم اللغو فشوبوه بالصدقة
Tiada fuqaha’ yang mengatakan tidak harus akad ini, maka dikira ijma’.

Terdapat juga pendapat fuqaha’ mu’asirin yang mengatakan broker boleh dikategorikan dalam bab wakalah dalam fiqh Islam dari sudut jual beli. Akad wakalah adalah harus dari sudut syara’ berdasarkan dalil Al-Quran iaitu :

فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَاماً فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ

Maksudnya : ”Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak ini, maka hendaklah dia melihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu.”

Komisen yang diambil oleh broker juga harus hukumnya kerana Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh pekerja baginda mengutip zakat dan memberikan mereka komisen.

5.2 Kontrak Lani (Spot Contract- العقود العاجلة )dan Pandangan Islam mengenainya

5.2.1 Definisi Kontrak Lani

Kontrak lani ialah kontrak jual beli sekuriti di mana transaksi dibuat sejurus selepas berlaku kontrak, penjual terus menyerahkan sekuriti tersebut, manakala pembeli menyerahkan harganya secara serta-merta atau dalam tempoh yang singkat biasanya kurang 48 jam. Dengan itu pembeli akan memiliki sekuriti tersebut dan berhak memperoleh untung atau ruginya.

Transaksi ini biasanya berlangsung di dewan penjelasan di bursa saham yang hanya boleh dimasuki oleh broker dan pegawai bursa, di mana penyerahan dilaksanakan oleh broker bagi pihak pembeli dan penjual sekuriti.

5.2.2 Pandangan Islam terhadap Kontrak Lani

Apabila melihat kepada sifat kontrak ini, ia mempunyai cukup syarat jualbeli sebagaimana yang digariskan oleh Islam : cukup syarat ijab dan qabul, syarat pihak penjual dan pembeli serta syarat barang yang dijualbeli iaitu sekuriti dan harga.Oleh itu, transaksi ini adalah harus hukumnya mengikut syara’ jika sekuriti/instrumen kewangan yang diniagakan adalah halal dan dimiliki oleh syarikat yang aktiviti perniagaannya halal.

5.3 Kontrak Hadapan ( Forward Contract ( عقود الآجلة - dan Pandangan Islam Mengenainya

5.3.1 Definisi Kontrak Hadapan

Kontrak hadapan ialah kontrak yang ditangguhkan transaksi pembayaran barang dan harga ke satu tempoh yang tertentu dinamakan tarikh penjelasan (settlement date – يوم التصفية ), yang penjual dan pembeli akan menyerahkan dan menerima sekuriti dan harga berdasarkan kepada tarikh, cara dan syarat penangguhan yang disepakati.

Tujuan utama kontrak ini ialah mendapat keuntungan daripada perbezaan harga antara hari akad dan hari penjelasan, di mana penjual mendapat untung jika harga naik dan pembeli mendapat untung apabila harga turun. Kontrak ini pasti akan menyebabkan salah satu pihak akan mengalami kerugian, melainkan kedua-dua harga itu sama.

5.3.2 Pandangan Islam Terhadap Kontrak Hadapan

Di dalam fiqh Islam, terdapat jual beli bertangguh (البيوع الآجلة) yang dibolehkan dan tidak dibolehkan. Jualbeli bertangguh yang dibolehkan ialah :
a. Jualbeli salam ( بيع السلام ) : iaitu jualan yang mendahulukan harga dan menangguhkan/menta’khirkan barang.
b. Jualbeli tangguh ( البيع إلى أجل ) : iaitu jualan yang mendahulukan barang dan menangguhkan harga.

Manakala jualan bertangguh yang diharamkan ialah :
a. Jualan hutang dengan hutang (بيع الكالئ بالكالئ ) : iaitu jualan di mana harga dan barang kedua-duanya ditangguhkan.
b. Jualan matawang secara tangguh ( الصرف الآجل ) : iaitu menjual matawang ( sama ada emas,perak atau wang kertas ) secara bertangguh.

Ini bermakna, sesuatu jualan bertangguh dibolehkan jika salah satu sama ada harga atau barang secara tangguh dan bukan jualan matawang. Manakala jualan yang melibatkan pertangguhan kedua-dua harga dan barang adalah diharamkan.

Jika diteliti, dalam kontrak hadapan di bursa saham, penyerahan kedua-dua harga dan barang (sekuriti) tidak dilakukan secara tunai tetapi ditangguhkan ke suatu tarikh dan ini menyamai bai’ al-kali’ bil kali’ yang diharamkan oleh syara’.

Dalil pengharaman bai’ al-kali’ bil kali’ :

Pengharaman bai’al-kali’ bil kali’ sabit daripada hadith Nabi dan ijma’ ulama’.

سنن الدارقطني ج3/ص71
عن موسى بن عقبة عن نافع عن بن عمر أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الكالئ بالكالئ
Maksudnya:

Al-Kali’ bererti tangguh (النسيئة) dan maksud bai’ al-kali’ bil kali’ ialah bai’ an-nasiah bi an- nasiah atau bai’ ad-dayn bi ad-dayn.

Ibnu Qayyim berkata: Al-Kali’ ialah benda yang ditangguhkan yang tidak diserahkan sebagaimana kalau seseorang menyerahkan sesuatu yang menjadi tanggungjawabnya dan kedua-duanya bertangguh, in tidak harus secara ittifaq dan ia adalah bai’ kali’ bil kali’.

Ibnu Munzir mengatakan dalam kitab Al-Ijma’ bahawa para fuqaha’ telah ijma’ bahawa jualan hutang dengan hutang adalah tidak harus.

5.4 Kontrak Opsyen ( Options Contract – ( عقود الإختيارات / الآجلة الشرطية dan Pandangan Islam Mengenainya

5.4.1 Definisi Kontrak Opsyen

Kontrak Opsyen ialah sekuriti boleh pasar iaitu kontrak antara dua individu yang memberikan pemegangnya hak untuk membeli atau menjual sesuatu aset pada harga tertentu dalam satu jangka masa tertentu.

Berdasarkan takrif ini, jelas bahawa yang dijual atau dibeli bukanlah sekuriti tersebut tetapi hak untuk membeli atau menjual sekuriti tersebut.Penjual atau pembeli hak ini mestilah menjual atau membeli sekuriti tersebut pada harga yang disepakati ( harga laksana / exercise price )dalam tempoh tersebut dan amaun yang dibayar untuk jualbeli opsyen ini dikenali sebagai premium opsyen (علاوة الصفقة الشرطية ).

Kontrak ini terbahagi kepada dua kontrak asas iaitu:
a.Opsyen jual (Put Option): iaitu kontrak yang memberi hak kepada pembeli opsyen untuk menjual beberapa sekuriti dengan harga tertentu dalam jangka masa tertentu.Maka pembeli sekuriti wajib membeli sekuriti daripada pembeli opsyen dalam tempoh yang disepakati dengan harga yang disepakati juga. Biasanya yang memilih untuk membeli opsyen jual ini adalah mereka yang meramal harga sekuriti akan turun.

b.Opsyen beli (Call Option): iaitu kontrak yang memberi hak kepada pembeli opsyen untuk membeli beberapa sekuriti dengan harga tertentu dalam jangka masa tertentu.Maka penjual sekuriti wajib menjual sekuritinya kepada pembeli opsyen jika dituntut oleh pembeli opsyen dalam tempoh yang disepakati dengan harga yang disepakati juga. Biasanya yang memilih membeli opsyen beli ini adalah mereka yang meramal harga sekuriti akan naik.

Satu lagi jenis kontrak opsyen ialah : Opsyen Berkembar ( Double Option) iaitu kontrak yang memberikan pembeli opsyen ini hak untuk membeli atau menjual sekuriti pada harga tertentu dan pada jangka masa tertentu dan menghimpunkan dua akad (jual dan beli) dalam satu kontrak.

5.4.2 Pandangan Islam Terhadap Kontrak Opsyen

Para fuqaha’ mensyaratkan bahawa mahal al-aqd (barang jualan/belian) mestilah benda yang sah untuk dijualbeli, dan tidak sah akad sekiranya benda tersebut bukan mal mutaqauwim yang dimiliki.Dalam kontrak opsyen, hak membeli atau menjual bukanlah benda yang boleh dibeli dan dijual, juga bukan mal mutaqawwim yang menjadi syarat sah sesuatu akad. Justeru, kontrak opsyen adalah tidak sah. Kontrak opsyen juga berbeza dengan khiyar yang disyariatkan kerana khiyar syarat dalam Islam tidak terpisah dripada akad jualbeli sesuatu barang tertentu, sedangkan kontrak opsyen pula terpisah daripada akad jualbeli sekuriti berkenaan dan hak tersebut bukanlah barang yang sah untuk dijualbeli. Kontrak opsyen juga berbeza dengan bai’ urbun (jualbeli dengan deposit) kerana deposit adalah sebahagian daripada harga sebenar barangan , tetapi premium opsyen adalah hak.

5.5 Dagangan dengan Margin ( Trading On The Margin -( التعامل بالهامش dan Pandangan Islam Mengenainya

5.5.1 Definisi Dagangan dengan Margin

Dagangan dengan margin ialah urusniaga di mana pelabur membayar sebahagian harga secara tunai,manakala bakinya dipinjam dengan mencagarkan sekuriti yang dibeli sebagai jaminan.

Untuk urusniaga ini, pelabur membuka akaun margin di firma broker, dan dengan persetujuan khas, broker meminjam daripada bank untuk mencukupkan nilai sekuriti yang ingin dibeli setelah ditolak wang tunai yang telah dijelaskan sebagai margin dengan mencagarkan sekuriti yang ingin dibeli. Pinjaman ini akan dikenakan faedah bulanan.

5.5.2 Pandangan Islam Mengenai Dagangan dengan Margin

Berdasarkan penjelasan tadi, dapat disimpulkan bahawa dagangan dengan margin terbina atas dasar pinjaman yang disyaratkan faedah tetap yang telah ditentukan kadar dan tempohnya. Oleh itu, urusniaga ini termasuk dalam pinjaman ribawi yang terhimpun padanya 3 ciri riba hutang iaitu : adanya hutang bagi sebelah pihak kepada pihak yang lain, tempoh dan pertambahan yang disyaratkan berdasarkan jangka masa pinjaman. Riba adalah haram secara ijma’ berdasarkan dalil yagtelah disebutkan sebelum ini.

5.6 Jualan Singkat ( Short Sale - ( البيع على المكشوف dan Pandangan Islam Mengenainya

5.6.1 Definisi Jualan Singkat / Jual Dahulu

Jualan singkat (short sale) ialah penjualan sekuriti yang tidak dimiliki oleh penjual.

Pelabur membuat jualan singkat ini sekiranya mereka menjangkakan harga sesuatu sekuriti akan turun dan akan membeli sekuriti tersebut semula apabila harga benar-benar turun. Ini bermakna pelabur menjual sekuriti dengan harga yang tinggi kemudian membelinya semula dengan harga yang lebih rendah apabila harga benar-benar jatuh.

Bagi menjalankan jualan singkat ini, kebiasaanya pelabur tidak mempunyai sekuriti dalam simpanannya. Mereka menjual sekuriti yang dipinjam daripada pihak broker. Apabila harga benar-benar turun, pelabur membeli semula dengan harga yang lebih rendah . Skrip yang diterima akan menggantikan skrip yang dipinjam. Pelabur mendapat untung modal iaitu perbezaan antara harga jual dan harga beli. Sekiranya jangkaan pelabut tidak tepat, maka pelabur akan menanggung kerugian.

5.6.2 Pandangan Islam Mengenai Jualan Singkat

Berdasarkan takrif tadi, hukum jualan singkat adalah tidak harus kerana boleh disamakan dengan 2 jenis jualan yang disebut oleh ulama’ iaitu:

a. Jualan sesuatu barang yang tidak dimiliki


Jualan ini thabit pengharamannya dalam hadith Nabi Muhammad SAW :

عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لا يحل سلف وبيع ولا شرطان في بيع ولا ربح ما لم يضمن ولا بيع ما ليس عندك هذا حديث على شرط حمله من أئمة المسلمين صحيح


b. Jualan sesuatu barang yang dibeli sebelum diterima

Jualan ini hukumnya haram berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW:

من عمرو بن دينار سمع طاوسا يقول سمعت بن عباس رضي الله عنهما يقول أما الذي نهى عنه النبي صلى الله عليه وسلم فهو الطعام أن يباع حتى يقبض قال بن عباس ولا أحسب كل شيء إلا مثله

6.0 KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan tadi, jelas kepada kita bahawa hukum bermuamalah dalam bursa saham adalah harus , sekiranya seseorang pelabur muslim bermuamalah dengan sekuriti halal yang diterbitkan oleh syarikat yang aktivitinya halal, juga menggunakan operasi dagangan yang tidak menyalahi syara’. Jika tidak, maka hukum akan menjadi haram.

Dewasa ini, pelabur muslim di tanahair boleh merujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti, sebuah badan yang memantau pasaran modal di Malaysia untuk memastikan kedudukan sesebuah syarikat sama ada 100% halal atau sebaliknya sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam apa jua sekuriti. Kita menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan untuk mengislamisasikan bursa saham di Malaysia walaupun masih belum 100 peratus berjaya. Kemampuan fiqh Islam menyelesaikan masalah semasa manusia menjadi bukti bahawa Islam sebagai Ad-Din yang relevan di setiap tempat dan zaman. Semoga cita-cita melihat Islam didaulatkan secara syumul akan menjadi nyata dengan syarat Al-Quran dan As-Sunnah kembali dijadikan dustur dan panduan hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Wallahu’alam.


Al-Faqirah ila ‘afwi Rabbiha,
Ust.Radin Seri Nabahah Ahmad Zabidi,
BA Syariah, Universiti Al-Azhar, Mansurah,
Sedang menulis tesis MA Syariah , Universiti Terbuka Amerika, Cairo.
14 September 2006

BIBLIOGRAFI

Al-Quran Al-Karim dan terjemahan

Abd. Aziz al-Khayyat,(Dr), Al-Ashum wa As-Sanadat min Al-Manzur Al-Islami, terjemahan Abu Al-Amin As-Sakandari, As-Syabab Media, Bandar Baru Bangi,cet.pertama, 2002

Abdullah Mohamad Zain, Glosari Pasaran Modal ,Dewan Bahasa dan Pustaka, cet. pertama,2005

Adnan Fadhil, Kertas Kerja Saham dan Bursa Sekuriti, Damanhur, 1997

Al-Barwary, Sya’ban Muhamad Islam, Bursoh Al-Awraq Al-Maliah min Manzur Islami :Dirosah Tahliliah Naqdiah, Dar al-Fikr, Damsyiq, cet. pertama, 2002

Asyraf Muhamad Dawabah, (Dr), Nahwa Suq Maliah Islamiah, Dar As-Salam, Kaherah, cet.pertama 2006

Ismail Ibrahim, Pelaburan dalam Pasaran Sekuriti, Hadapan dan Opsyen, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994

Kumpulan Profesor Fakulti Syariah dan Qanun Kaherah, Qodhoya Fiqhiyah Mu’asirah, Juzu’ 4, Fakulti Syariah dan Qanun, Al-Azhar, Kaherah, tt

Majma’ Al-Fiqh Al-Islamy, Qararat wa Tausiat Majma’ Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Qalam, Damsyiq, cet kedua,1998

Othman Yong, Saham Satu Pengenalan tentang Gelagat Perubahan Harga Saham dan Maklumat Asas Bursa Saham Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1995

Samir Abdul Hamid Radwan, Aswaq Al-Awraq Al-Maliah wa Dauruha fi At-Tanmiah Al-Iqtisodiah, Al-Ma’had Al-‘Alami li al-Fikr al-Islami, tt.

Suruhanjaya Sekuriti, Capital Market Development in Malaysia: History and Perspectives, Kuala Lumpur, 2003

________________, Majallah As-Syariah wa Ad-Dirasat Al-Islamiah, Majlis An-Nasyr Al-‘Ilmy fi Jami’ah Kuwait, bil 18, Zulhijjah 1412H

________________,Majallah Majma’Al-Fiqh Al-Islami, Ad-Daurah As-Sadisah,li Mu’tamar Majma’ Al-Fiqh Al-Islami, Majma’ Al-Fiqh Al-Islamy, Bil 6, Juzuk 2, 1410 H = 1990M

CD Al-Maktabah Al-Alfiah li As-Sunnah An-Nabawiyah, Vol 3.0

http://www.klse.com.my
http://sc.com.my
http://sin.com.my
http://lfxsys.lfx.com.my

Langgan: Catatan (Atom)