Mengapa orang lain berjaya, anda tidak? Apakah yang menjadikan tokoh-tokoh seperti Imam As-Syafi'e, Al-Ghazali, Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Einstein, Ford dan ribuan yang lain begitu tersohor dan nama mereka disebut-sebut orang hingga ke hari ini? Mereka sudah tiada, namun nama dan sumbangan mereka masih tetap dikenang orang. Apakah sebabnya? Adakah kerana mereka mempunyai IQ yang tinggi? Jawapannya, tidak!
Kebanyakan mereka mempunyai tahap kecerdasan yang sama dengan kebanyakan orang. Mereka sama sahaja dengan orang lain yang mempunyai bakat atau kebolehan semula jadi yang istimewa di dalam pelbagai bidang. Cuma yang membezakan mereka dengan orang lain ialah mereka mempergunakan tahap kecerdasan dan bakat yang ada pada mereka itu semaksima mungkin. Oleh itu mereka berjaya memperolehi hasil dan kesan yang maksimum. Lantaran itu sumbangan mereka dengan sendirinya menjadi penting dan bermakna.
Pemikir Barat, Goleman menyatakan bahawa 80% kejayaan seseorang adalah bergantung kepada EQ atau kecerdasan emosinya berbanding dengan cuma lebih kurang 20% sahaja yang disebabkan oleh IQ atau kecerdasan mentalnya. Konsep EQ atau ‘Emotional Intelligence’ atau kecerdasan emosi ini adalah satu konsep kecerdasan yang lebih luas dan ada kaitan dengan kesedaran terhadap emosi dan perasaan dan bagaimana perasaan boleh berinteraksi dengan kecerdasan mental atau IQ. Goleman menyatakan bahawa EQ mengandungi beberapa faktor iaitu: memahami emosi sendiri, kebolehan mengendalikan emosi , memotivasikan diri , menyedari emosi orang lain dan mengendalikan hubungan sillaturrahim dengan orang lain.
Justeru, peranan hati yang menjadi tunjang kepada perasaan dan emosi (EQ) itu mempunyai pertalian yang begitu rapat dengan kejayaan manusia dalam melayari kehidupan sehariannya. Hakikat ini jelas kerana Nabi Muhammad SAW telah menyatakan bahawa : "Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada seketul daging. Sekiranya baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan sekiranya buruk daging itu,maka buruklah jasad keseluruhannya, dan daging itu adalah hati." Dengan erti kata lain, seseorang perlu bijak mengendalikan hatinya sendiri jika dia ingin berjaya.
Salah satu daripada faktor kejayaan tokoh-tokoh terkenal ialah mereka mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi terhadap bakat atau keupayaan diri mereka untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat bagi manusia seluruhnya. Tentunya keyakinan itu letaknya di hati! Mereka tidak cepat merasa kalah atau berputus asa dengan ujian dan halangan yang ditempuh, walaupun gagal beribu-ribu kali! Dengan adanya keyakinan diri, dibantu oleh faktor-faktor lain, seperti matlamat utama hidup yang jelas, rancangan bertindak yang betul dan teratur, sedia bertindak dan menghadapi segala ujian dan halangan dengan tabah dan tenang, maka apa jua matlamat hidup kita tetap akan tercapai. Apatah lagi, selaku mukmin, kita sepatutnya memiliki keyakinan diri dan mampu mengurus emosi dengan lebih baik mengatasi manusia yang lain. Jangan biarkan emosi menguasai diri anda hingga hanyut dan akhirnya karam! Firman Allah SWT : "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu beriman."- Ali Imran : 139.
Benar, hidup tidak selalunya indah. Adakalanya hidup kita disapa kekecewaan, kesedihan,dan kegagalan, walaupun kita sering mengimpikan kebahagiaan, kejayaan dan kegembiraan. Namun, semua ini bukanlah alasan untuk kita menjadi pesimis dalam menanggapi hidup. Gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya kerana sesuatu kejayaan mempunyai banyak jalan untuk sampai kepadanya. Barangkali kegagalan mendidik kita lebih kreatif mencipta jalan kejayaan. Kekecewaan pula mengajar kita erti tabah dan tidak berputus asa. Kesedihan tidak seharusnya menjadikan kita lupa akan nikmat Allah yang terlalu banyak untuk kita syukuri. Bukankah Rasulullah berpesan :" Alangkah ajaib hal orang mukmin, apabila beroleh kesenangan dia bersyukur,maka hal tersebut menjadi baik bagi dirinya, dan apabila ditimpa musibah dia bersabar,maka hal tersebut menjadi baik baginya." Imam Al-Gazali juga ada menukilkan : "Apabila besar yang dituntut, dan mulia yang dicari, nescaya panjanglah jalannya dan banyaklah rintangannya." Yang penting, kita mesti berusaha, berdoa dan akhirnya bertawakallah kepada Allah.
Untuk mengatasi masalah ketiadaan keyakinan diri ini dan membina kembali keyakinan diri anda, beberapa langkah yang disarankan di bawah mungkin boleh membantu:
• Insafilah bahawa keyakinan diri itu pada asasnya ada pada setiap individu. Lawan segala perasaan dan sikap hidup yang negatif. Jangan biarkan lagi ia bertapak di dalam diri anda. Gantikannya dengan perasaan dan sikap yang positif. Berjanjilah pada diri anda bahawa mulai saat ini anda sudahpun mula memulihkan kembali keyakinan diri anda dan jangan teragak-agak. Anda kini tegak sejajar dengan tokoh-tokoh besar yang telah dan yang sedang menempa nama di dalam sejarah kehidupan mereka
• Sedarilah bahawa anda mempunyai segala potensi dan kekuatan untuk berjaya di dalam hidup anda. Anda sekarang baru sahaja menggunakan 10 peratus daripada keseluruhan potensi yang ada pada diri anda. Dan kebanyakan orang tidak menyedari hakikat ini.
• Kenalilah diri, bakat dan minat anda. Asah dan kembangkan bakat dan minat anda supaya anda memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang lengkap di dalam bidang-bidang yang berkenaan.
• Jangan terlalu memikirkan diri sendiri, mengharapkan pujian atau penghargaan daripada orang lain. Daripada bersedih tidak mendapat perhatian daripada orang lain, lebih baik anda ikhlaskan hati, taburkan bakti untuk kebajikan dan kebahagiaan orang lain. Anda akan memperolehi keyakinan diri, seterusnya ia akan menjadi mangkin kejayaan hidup anda. Ingatlah, manusia mungkin mengecewakan anda tetapi Allah tidak akan sekali-kali mengecewakan anda!
• Cipta suasana ceria, menarik, kemas dan teratur di dalam persekitaran anda dan juga di tempat anda bekerja. Isi fikiran anda dengan harapan dan kebahagiaan. Dari suasana yang indah ini, lahirlah pula keyakinan diri yang sememangnya anda cari-cari selama ini.
• Tetapkan matlamat hidup anda yang utama. Apa yang harus anda lakukan ialah anda hendaklah semaikan matlamat itu di dalam fikiran anda. Kemudian berusahalah untuk mencapai matlamat itu.
• Jangan lakukan perkara buruk yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai akhlak yang murni. Tindakan itu bukan sahaja akan menjadikan anda mendapat kemurkaan Tuhan, bahkan semakin menjauhkan anda daripada impian anda. Berdoa dan mengadulah kepada Allah kerana Dia Maha Mendengar.Doa juga akan mendorong anda bertindak sewajarnya.
• Bertindaklah dengan penuh hati-hati, bijaksana dan berdiplomasi dalam segala urusan dengan orang lain. Jangan sekali-kali membuang masa memikirkan tentang orang yang anda benci kerana dengan berbuat demikian, anda akan lebih menderita daripada dirinya.
• Biarlah masa yang berlalu terus berlalu, jangan dikenang lagi, dan jangan risaukan apa yang akan terjadi pada masa hadapan kerana nasib kita telah ditentukan oleh Allah, tiada apa yang perlu dirisaukan. Oleh itu, jangan bersedih, sebaliknya lakukan yang terbaik pada masa sekarang.
• Apabila anda dikritik, terimalah kritikan yang jujur dan membina dengan berlapang dada dan berusahalah memperbaiki kelemahan. Namun, ada kalanya kritikan melulu dan tidak kena pada tempatnya ialah pujian yang tersembunyi. Ini kerana anda telah berjaya membuat orang lain iri hati.Oleh itu, carilah kritikan yang jujur, konstruktif dan berguna dan anggaplah kritikan itu sebagai cabaran.
Kesimpulannya, selaku pewaris para nabi, kita WAJIB mempunyai keyakinan diri, berjiwa besar, optimis dan tidak mudah berputus asa. Kita mesti yakin kita akan berjaya, walaupun hari ini kita gagal. Kita mesti yakin bahawa masa depan adalah untuk Islam, walaupun saat ini umat Islam ditindas. Lihat bagaimana Rasulullah menjanjikan Suraqah bin Malik dengan gelang tangan Kisra dalam peristiwa hijrah, akhirnya terbukti selepas jatuhnya kerajaan Parsi pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab.
Bayangkan sahabat, alangkah indahnya suatu hari nanti perundangan Islam didaulatkan dan dunia aman damai di bawah naungan Islam, walaupun mungkin bukan zaman kita, tapi anak cucu kita kelak! Kitalah batu-bata binaan kegemilangan Islam. Kita akan berjaya dan apa yang kita impikan akan tercapai, tetapi dengan syarat; mulakan dengan diri kita. Lalu, apalagi yang ditunggu? FIKIR, RANCANG DAN BERTINDAK!--
iTheme Techno Blogger by Black Quanta. Theme & Icons by N.Design Studio. Distributed by eBlog Templates